KARYA-karya Seniman Negara, Datuk Noordin Hassan sama ada dalam bentuk drama atau teater yang dihasilkannya bukan sekadar untuk menjadi bahan hiburan semata-mata.
Sebaliknya, sasterawan berusia 80 tahun ini menyelitkan banyak natijah yang turut dijadikan sebagai salah satu nilai pemikiran yang mampu menjana jati diri segenap lapisan masyarakat.
Malah, anak kelahiran Pulau Pinang ini juga menulis karya-karya itu berdasarkan situasi sosial semasa yang telah dan sedang berlaku di sekeliling beliau sewaktu berkarya.
Menurut Noordin, skrip teater Mana Setangginya yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 13 hingga 21 Jun ini turut melalui resipi yang hampir sama.
"Lazimnya, setiap karya yang saya tulis ada kaitannya dengan insiden-insiden yang sedang berlaku di negara ini termasuklah Mana Setangginya, yang saya hasilkan 10 tahun lalu.
"Idea untuk menulis skrip teater itu juga sudah lama tercetus iaitu pada sekitar tahun 1969 lagi," katanya pada sidang media Mana Setangginya di IB baru-baru ini.
Jelas Noordin, beliau tergerak hati untuk menulis skrip Mana Setangginya sewaktu hadir pada suatu majlis yang dihadiri oleh ramai golongan atasan Melayu tidak lama dulu.
Kata penulis yang mesra dengan panggilan Cikgu ini, karya itu berdasarkan pengamatan beliau dalam usahanya menitip rasa kesedaran bangsa Melayu menerusi karya tersebut.
"Saya rasa tergerak untuk menulis skrip Mana Setangginya selepas menghadiri suatu majlis yang dihadiri ramai golongan elit Melayu. Saya tertarik mendengar ucapan salah seorang daripada mereka.
"Sayangnya, saya dan semua tahu butiran ucapannya pernah tersiar di akhbar. Kemudian seorang teman di sebelah berbisik kepada saya pada majlis itu berhubung ucapan itu.
"Teman saya itu kata, sebenarnya orang Melayulah yang merosakkan bangsanya sendiri. Saya fikir ia ada betulnya, di mana senario itulah yang sedang berlaku pada hari ini.
"Saya menulis karya-karya sebegitu bukannya mahu menunjukkan kelemahan orang Melayu, tetapi ia sebagai suatu peringatan supaya mereka lebih sedar akan kealpaan mereka selama ini," ujarnya.
Tidak dinafikan, Mana Setangginya sama seperti karya-karya Noordin sebelum ini yang bukan sahaja ditulis berdasarkan sesuatu peristiwa yang sedang berlaku ketika itu.
Malah, setiap karya beliau termasuk Mana Setangginya mempunyai banyak maksud-maksud yang tersirat yang seharusnya diselongkari oleh para penonton yang akan menyaksikannya pementasan teater itu kelak.
"Saya tidak mahu ulas sekarang kerana anda semua harus menontonnya sendiri. Selepas itu, barulah isu atau mesej yang terdapat di dalamnya dikaji daripada segenap aspek mengikut persepsi anda.
"Ini kerana, setiap orang mempunyai pandangan mereka yang tersendiri dalam menghurai serta mentafsirkan apa juga perkara yang disogokkan di hadapan mereka," katanya.
Bukan setakat Mana Setangginya, tetapi karya-karya beliau yang lain turut dihasilkan sewaktu berlakunya perkara-perkara besar yang pernah melanda negara ini.
Bagaimanapun, Noordin tidak mahu masyarakat memandang serong terhadapnya apabila menghayati atau mentafsir karya-karyanya.
"Sebagai contohnya, saya pernah menulis drama bertajuk Bila Lalang Ditiup Angin sewaktu saya mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada tahun 1969.
"Karya itu saya tulis berdasarkan tragedi 13 Mei iaitu rusuhan kaum yang terburuk di negara ini. Tetapi itu tidak bermakna saya ini seorang penulis yang membawa sentimen perkauman.
"Bagi saya, semua orang sama sahaja tidak kira apa juga bangsa dan agama. Cuma yang membezakannya adalah sama ada orang itu baik atau sebaliknya.
"Tetapi selepas 40 tahun lebih, saya dapati apa yang saya cuba paparkan dalam karya saya itu memang benar-benar berlaku hari ini. Malah, ia lebih dahsyat lagi," ulasnya.
Meskipun, kebanyakan karya Noordin bertujuan mencetuskan kesedaran masyarakat tentang isu-isu semasa yang berlaku, namun beliau bijak dengan mengutarakannya dalam gaya bahasa berlapik.
Kata bekas pensyarah ini, beliau mengambil pendekatan itu bagi memastikan karya-karyanya tidak mengguris hati mana-mana pihak.
"Semasa mengajar di Tanjung Malim, saya memang sudah mula menulis tetapi takut-takut juga kalau tulisan saya akan menyebabkan saya akan ditangkap di bawah akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
"Atas tuntutan itulah maka saya banyak menggunakan metafora (perlambangan) dan simbol-simbol tertentu bagi menyampaikan mesej-mesej di dalam karya-karya saya," jelasnya.
Idea pementasan Mana Setangginya yang akan diarahkan oleh Zaifri Husin bukanlah baru kerana ia sepatutnya dipentaskan di IB pada 1999 tetapi dibatalkan atas kehendak beliau sendiri.
Difahamkan teater itu juga sepatutnya dipentaskan buat pertama kalinya di IB sempena pembukaan rasmi panggung seni dan kebudayaan yang bertaraf dunia itu.
"Saya masih ingat lagi apabila IB tidak jadi mementaskan Mana Setangginya pada 1999. IB tidak tolak karya saya itu, tetapi saya yang tarik skrip itu supaya ia tidak dipentaskan di situ.
"Sebabnya, saya kurang senang apabila ada cadangan daripada pihak-pihak tertentu yang mahu merombak skrip dan dialog teater itu. Kalau ia dirombak, tujuannya (mesej) akan jadi lain.
"Ada di kalangan kawan-kawan saya yang kata, nasib baik Mana Setangginya tidak jadi dipentaskan di IB ketika itu. Kalau tidak, 'setangginya' itu tidak akan 'berbau' langsung," katanya dalam penuh makna.
Tambah Noordin, buat masa ini beliau masih mencari serta menggalakkan kalangan pengarah baru yang berminat serta mampu untuk mengarahkan karya-karyanya di atas pentas teater.
Terbaru katanya, pengkritik filem dan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), A. Wahab Hamzah akan mengarahkan karyanya yang berjudul Intan Yang Tercanai mulai 8 Julai ini.
"Khabarnya pementasan itu akan diadakan di Dewan Tun Syed Nasir di DBP. Tetapi saya minta kalau boleh biarlah ia dipentaskan di Auditorium DBP kerana ia lebih dekat di hati saya," ujarnya lagi yang juga merupakan penulis naskhah seperti Tak Kunjung Tiba, Tiang Seri Tegak Berlima, Pintu, Jangan Bunuh Rama-Rama dan Anak Tanjung .
Mana Setangginya akan menampilkan pelakon seperti Sabrina Ali, Tony Eusoff, Azman Abu Bakar, Shaharuddin Thamby, Iqbal Taufik, Azizah Mahzan dan Norhana Othman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: