Saturday, May 30, 2009

Metafora Bryce Dallas




DILAHIRKAN sebagai anak kepada aktor dan pengarah popular, Ron Howard, Bryce Dallas Howard sudah mula mengenali dunia lakonan sejak lahir. Melihat rantaian keluarganya yang merupakan antara pelakon hebat Hollywood, datuk dan neneknya masing-masing ialah Rance Howard dan Jean Speegle Howard serta bapa saudaranya, Clint Howard, maka tidak menghairankan jika Bryce turut mengikuti jejak mereka dengan menjadi anak wayang.

Dia bersama dua adik kembarnya, Jocelyn dan Paige serta adik bongsunya, Reed sebenarnya dibesarkan di luar dari dunia hiburan. Mereka berempat tidak dibenarkan menonton televisyen tetapi lebih digalakkan untuk membaca dan memiliki hobi masing-masing.

Walaupun begitu, mereka sering muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem-filem bapa mereka. Bryce yang sudah menimba pengalaman bersama bapanya muncul di layar perak buat pertama kalinya menerusi karya arahan Alan Brown, Book Of Love pada tahun 2004. Namun, namanya mula dikenali umum menerusi naskhah arahan M. Night Shyamalan, The Village (2004).

Selepas itu, dia juga dipilih untuk menggantikan Nicole Kidman sebagai Grace dalam filem Manderlay (2005). Bryce sekali lagi bekerjasama dengan Shyamalan pada tahun 2006 menerusi filem Lady In The Water.

Tahun 2007 telah mencatatkan nama Bryce secara komersial apabila dia menjayakan watak Gwen Stacy, seorang model yang menyimpan perasaan terhadap Peter Parker dalam blockbuster filem arahan Sam Raimi, Spider-Man 3. Dia telah mengalahkan Elisha Cuthbert dan Sienna Miller untuk mendapatkan peranan itu.

Bakal terlibat dalam filem The Loss of a Teardrop Diamond, Bryce kini muncul menerusi sebuah lagi karya blockbuster, Terminator Salvation sebagai Kate Connor, isteri kepada John Connor, watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Christian Bale.

Di alam realiti, Bryce yang sudah berkahwin dengan Seth Gabel pada 17 Jun 2006, memiliki seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 16 Februari 2007.


BRYCE (belakang) menjadi penyokong jiwa dan semangat yang penting di sebalik tonggak utama Terminator Salvation, Christian Bale yang menghidupkan watak John Connor.


Berkongsi pengalamannya berlakon dalam Terminator Salvation, ikuti petikan temu bual bersama Bruce Dallas Howard yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).

Bagaimana anda menjayakan watak Kate Connor? Apakah perwatakan sebenar Kate?

BRYCE: Kate merupakan anak askar yang nakal. Ayahnya berkhidmat untuk pasukan askar dan saya rasa dia memahami tanggungjawab dan tekanan yang dipegang oleh seorang ketua. Maka, dia merupakan calon isteri terbaik untuk John Connor.

Kate memahami erti pengorbanan serta kehilangan, bijak dan berfikir secara praktikal. Dia seorang doktor yang sedang hamil tujuh bulan, antara individu penting dalam misi perjuangan menentang Skynet - kuasa jahat mesin yang menjajah manusia. Jadi, saya rasa dia memiliki metafora yang cuba digunakan untuk mencipta masa depan.

Sejauh manakah 'gelapnya' dunia yang didiami oleh watak-watak itu?

Sangat 'gelap' dan dingin. Filem ini adalah cerita mengenai peperangan. Anda akan melihat kemusnahan yang mampu dilakukan oleh satu Terminator dalam ketiga-tiga filem sebelum itu. Maka, anda boleh bayangkan apa yang berlaku jika berjuta-juta Terminator berjalan di atas muka bumi. Jadi filem ini memerlukan kedinginan dan ketegangan sebegitu.

Saya banyak melakukan babak aksi walaupun mengandung. Mereka mahukan saya menunjukkan imej seorang wanita mengandung yang masih perlu memegang senjata kerana ingin menonjolkan keadaan dunia sebenar. Kita dilengkapi senjata untuk melindungi diri sendiri. Malah, ada seorang kanak-kanak perempuan yang juga terpaksa memegang senjata dalam filem ini.


MENUKARKAN warna rambut kepada perang ketika berlakon dalam filem Spider-Man 3.


Bagaimana dengan perkembangan karakter lakonan anda dalam filem itu?

Seperti semua watak manusia yang wujud dalam filem ini, perkembangan karakter lakonan kami itu banyak bergantung kepada nasib kerana John Connor sebenarnya telah ditakdirkan menjadi ketua puak penentang Skynet.

Saya rasa pada permulaannya, semua karakter cuba untuk mengawal takdir mereka dan akhirnya kami sedar bahawa kami cuma perlu lakukan yang terbaik kerana tiada siapa yang tahu mengenai masa depan. Kami tidak tahu sama ada kami akan selamat atau tidak.

Anda menjayakan watak sebagai wanita mengandung sepanjang filem. Adakah status sebagai ibu membantu anda menjayakan watak itu?


MEMILIKI bakat dalam penulisan skrip.


Pastinya kerana saya lebih memahami Kate dan apa yang dia lalui sebagai seorang wanita mengandung. Saya berasa amat selesa kerana saya memahami bagaimana perasaan dan jiwa seorang yang hamil.

Bagaimana anda boleh menggambarkan Terminator Salvation?

Saya akan menyatakan bahawa ini adalah episod kemuncak dalam francais Terminator dan satu penggambaran terbaik terhadap dunia masa kini. Terminator Salvation merupakan filem perang yang penuh ketegangan tetapi pada masa yang sama anda akan melihat perasaan kemanusiaan. Ia adalah sebuah produk yang emosional.

Filem itu juga adalah mengenai pilihan dan tanggungjawab. Terdapat kejutan psikologi dan pada setiap masa watak-watak itu berdepan dengan kesukaran untuk membuat keputusan sama ada baik atau jahat.

Namun, pada kebanyakan masa mereka masih tidak jelas walaupun sudah jelas apa yang perlu dilakukan. Persoalannya apa yang akan berlaku kepada anda jika anda melakukan keputusan yang salah? Ia adalah mengenai bagaimana kita mencipta masa depan untuk kita sendiri.

Apa agaknya yang menarik mengenai Terminator Salvation yang membuatkan penonton dari seluruh dunia setia menunggu?

Filem itu memaparkan ketakutan kita terhadap teknologi dan ketakutan terhadap idea hari kiamat yang mungkin akan muncul suatu hari nanti. Ia juga membuatkan kita berfantasi mengenai hero. Ditambah dengan jalan cerita yang menarik, filem ini amat mendebarkan. Apa yang penting adalah ceritanya.

Adakah anda masih teruja terhadap kerja anda seperti dulu memandangkan kini anda sudah menjadi ibu?

Rasanya keghairahan saya terhadap lakonan telah meningkat sebenarnya kerana ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk berkongsi cerita dengan anak saya, Theodore Norman. Saya membesar dalam industri hiburan dengan gembira dan berharap dia juga begitu. Bagaimanapun kami tidak memaksa dia untuk memasuki dunia hiburan.

Bolehkah anda ceritakan pengalaman bekerja dengan Moon Bloodgood? Dia ada memberitahu bahawa dia banyak mempelajari daripada anda.

Saya rasa dia akan mempunyai masa depan yang cerah selepas filem ini kerana dia merupakan aktres berbakat. Dia sangat dinamik, bertenaga, bijak dan kelakar. Bloodgood pasti akan berjaya dalam bidang ini dan dia amat cantik.

Sebagai ibu yang sibuk dan pelakon, anda mempunyai minat lain selain daripada berlakon?

Selain daripada menjaga anak, saya suka menulis. Saya suka menulis karangan peribadi dan cerita pendek. Bagaimanapun saya sebenarnya baru sahaja menulis skrip bersama seorang teman. Ia amat mengujakan kerana Universal Studio telah membelinya. Kami masih mengubah suai skrip itu tetapi ceritanya amat sesuai dengan generasi kini. Diharap ia akan berjaya dan diterjemah kepada filem.

Kehidupan anda sekarang amat hebat dan bermakna. Adakah anda menikmatinya?


IMEJ terbaru Bryce ketika hadir pada tayangan perdana Terminator Salvation di Los Angeles baru-baru ini.


Selepas melahirkan anak, kehidupan saya lebih mencabar. Saya berdepan dengan kemurungan yang teruk dan saya tidak dapat menanganinya sehingga perlu mendapatkan bantuan pakar. Namun, pengalaman itu amat penting bagi saya kerana ia telah menyedarkan saya dan saya kini boleh melihat kehidupan dengan lebih jelas.

Saya merupakan seorang yang optimis dan berterima kasih dengan kehidupan. Bagaimanapun kemurungan adalah sesuatu yang teruk kerana tidak kira betapa hebatnya hidup anda, semua benda akan bertukar teruk dan dingin. Saya amat bertuah kerana berjaya menangani kemurungan dan ingin berbicara mengenainya.

Ia amat penting kerana ramai wanita berdepan dengan masalah sama tetapi tidak tahu cara untuk berdepan dengannya. Pada mulanya, saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Kini saya lebih menghargai kehidupan saya terutama saat-saat di samping keluarga.

Dalam kesibukan menjadi pelakon dan ibu, adakah anda mempunyai masa untuk fesyen dan stail?

Sebenarnya hanya kira-kira sebulan lalu saya mula memberi fokus terhadap fesyen kerana saya perlu menyediakan diri untuk promosi jelajah Terminator Salvation. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di depan komputer untuk melihat pertunjukan fesyen berlainan. Saya rasa fesyen adalah sesuatu yang menarik kerana ia membolehkan anda mencari jalan untuk menonjolkan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: