Friday, May 29, 2009

Cinta kedua yang 'dewasa'

Sebelum putik cinta mereka bercantum rasa, kedua-dua hati pasangan popular ini pernah melewati detik kegagalan berumah tangga. Namun itu, bukan punca untuk mereka tidak percaya pada cinta.


PENGALAMAN lalu banyak mengajar mereka lebih matang dalam membuar keputusan.


IBARAT pohon yang baru hendak mengukuhkan akar, usia perkahwinan pasangan ini sebenarnya masih muda, masih terlalu awal untuk mereka melafazkan segala luahan rasa bahawa mereka berjaya mengatasi cabaran dalam hidup berumah tangga.

Faham dan arif bahawa asam garam berumah tangga itu hanya difahami oleh pasangan yang telah lama hidup berkelamin, dua jiwa yang dikenali sebagai Linda Rafar, 31, dan Syed Aiman, 34 atau nama sebenarnya Syed Kamarulzaman Syed Mahmud sangat berhati-hati dalam membingkiskan kisah mereka di ruangan ini.

Mereka berkahwin pada hujung tahun 2006 dan sampai hari ini, usia hubungan mereka baru menginjak tahun ketiga. Biarpun begitu, sebelum putik cinta mereka bercantum rasa, hati kedua-dua pasangan popular ini pernah melewati detik kegagalan berumah tangga. Namun, itu bukan punca untuk mereka tidak percaya pada cinta.

Ketika akad dilafazkan pada 2 Disember 2006, Linda pernah berkata, dia terharu dan sebak apabila memandang dua anak bersama bekas suaminya, Rezaril bin Keifli yang ketika itu baru berusia tujuh tahun dan Rezaimen, 4, tersenyum girang melihat ibunya disarungkan cincin pernikahan oleh si ayah tiri.

"Saya tidak pernah melihat anak saya segembira itu," luah Linda.

Ketika mereka berkahwin juga, usia perkenalan mereka masih lagi hijau, baru berputik mekar kira-kira setahun setengah, tetapi Linda dan Aiman yakin ikatan perkahwinan yang dibina itu telah dibaja bagi menyuburkan kasih sayang mereka.

Setelah hampir tiga tahun, kasih bersiram cinta tulus dua pasangan ini masih utuh dan semakin teguh. Apatah lagi, selain diserikan dengan tawa dua putera, Rezaril dan Rezaimen, masing-masing berusia 10 dan tujuh tahun ketika ini, perkahwinan Linda dan Aiman semakin dirahmati dengan kehadiran orang baru, Syed Rezaqiib kini berusia setahun.


LINDA dan Aiman sama cantik sama padan sewaktu majlis persandingan mereka 2 Disember 2006.


Hajat di hati memang mereka mahu merasai nikmat menimang anak perempuan, namun rezeki ke arah itu belum berpihak kepada mereka. Kehadiran Rezaqiib menjadi pelengkap menambahkan lagi keceriaan Linda dan Aiman dalam mendaki hari muka yang penuh warna.

"Kami bertemu dulu dalam suasana yang tidak terjangka. Bermula sekadar hubungan kerja, perasaan cinta mula tumbuh. Oleh kerana kami sama-sama telah matang, kami tidak mengambil masa yang lama untuk mengakhiri zaman solo," sambung Linda.

Larut dalam memori beberapa tahun lalu, Linda menambah cerita: "Beberapa hari sebelum kami berkenalan, saya selalu didatangi mimpi berjumpa dengan seorang lelaki berkulit putih, tetapi wajahnya tidak kelihatan.

"Lalu saya buat solat istikharah agar diberikan petunjuk dan berdoa supaya dipercepatkan jodoh. Alhamdulillah, selepas itu saya akrab dengan Aiman. Saya yakin dengan kata hati bahawa dia adalah jodoh saya."

Disebabkan petunjuk awal itu juga, tanpa ragu-ragu Linda tidak berlengah untuk menerima dengan hati lapang kehadiran rombongan peminangan yang datang bertandang ke rumah ibunya selepas tujuh bulan mereka berkenalan.

Mereka memilih tarikh 11 Ogos 2006 sempena tarikh lahir Aiman untuk mengikat tali pertunangan.

Secara kebetulan, tarikh lahir Linda juga jatuh pada 11 Februari. Justeru, mereka membuat keputusan untuk mengambil angka 11 untuk diabadikan pada nilai wang hantaran dan mas kahwin pernikahan mereka iaitu RM11,111.11.

Masing-masing pernah bergelar janda anak dua dan duda anak satu pada usia yang muda, namun pengalaman itu banyak mengajar dan menjadikan mereka lebih matang dalam membuat keputusan hidup khususnya untuk perkahwinan kedua ini.

"Saya tidak pernah anggap status yang menemukan kami, tetapi mungkinlah, kerana kami pernah berdepan dengan kegagalan dalam perkahwinan pertama. Perkahwinan ini menjadikan kami lebih dewasa. Kami akan sama-sama dewasa lagi," kata Aiman.

Tidak pernah skeptikal terhadap wanita yang bergelar ibu tunggal, sebaliknya Aiman mengagumi Linda. Wanita yang bertakhta di hati sebagai teman dan isteri itu disifatkannya sebagai penyabar, tabah dan kuat berdepan dengan cabaran hidup.


KEHADIRAN Syed Rezaqiib tidak pernah melunturkan rasa kasih Syed Aiman kepada anak tirinya, Rezaril dan Rezaimen.


"Saya tertarik dengan sifat keibuan Linda, dia boleh menjaga anak-anak dan dalam masa yang sama masih aktif dengan karier seni," puji Aiman.

Tentang anak-anak tiri, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi dan menggantikan tempat bapa sebenar mereka, Keifli Othman.

"Dia (Keifli) akan tetap menjadi bapa mereka. Saya cuma menjalankan tanggungjawab saya sehabis baik dan tidak mensia-siakan peluang untuk membesarkan mereka. Saya anggap mereka tidak ubah seperti anak sendiri, bahkan mereka juga teman baik saya," ujar Aiman.

Dalam soal ini, Linda yang juga duta produk kecantikan Cenderawasih Secret dan Zazen itu semestinya insan bertuah kerana keputusan untuk berkahwin lagi selepas bercerai bukan satu keputusan yang silap.

"Saya percaya kepada takdir dan selagi kita berusaha dan berdoa untuk mendapat hidup yang lebih baik, kita pasti dapat melaluinya.

"Aiman juga manusia biasa, pasti ada salah dan silapnya tetapi saya bersyukur kerana dia selalu ada di sisi ketika saya dan anak-anak memerlukannya. Masa depan kami masih panjang dan harap-harap kami akan menjadi tua bersama," kata Linda.

Bergelar ibu kepada tiga cahaya mata, Linda kini tidak banyak terlibat dengan aktiviti seni. Tumpuannya kini lebih terarah kepada keluarga, tambahan pula kafe Jom Lepak yang diusahakannya sejak Ogos 2008 di Seksyen 13, Shah Alam baru hendak membina nama. Sebab itulah, Linda kini jarang ada masa untuk fotografi dan kerja seni.

Rutin hariannya juga sudah banyak berubah memandangkan anak pertama dan kedua sudah bersekolah.

Sebenarnya bukan Linda seorang yang dilihat banyak mengurangkan aktiviti seni, suaminya, Aiman juga sudah agak lama menyepi dari dunia lakonan. Dalam diam, Aiman kini sibuk mengusahakan perniagaan sendiri dan fokusnya kini bukan lagi lakonan.

"Bidang lakonan masih tersimpan kemas dalam hati saya, tetapi rezeki saya kini lebih banyak berpunca daripada perniagaan. Untuk jangka panjang, saya merasakan perniagaan lebih utama kerana anak-anak sedang membesar, mereka memerlukan sandaran yang kukuh agar masa depan mereka lebih terjamin," kata Aiman yang sebelum ini pernah popular menerusi siri TV, Misi XX-Ray karya Aziz M. Osman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: