
PASIR MAS - Penyeludup kini menggunakan kawasan di belakang masjid sebagai tempat transit menyimpan beras seludup untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.
Namun, taktik itu berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) apabila pasukan itu mengesan sebuah lori masuk melalui belakang masjid di Kampung Kedondong, dekat Pasir Mas.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA, Deputi Supritendan Mohamad Latip berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam itu, pasukannya merampas 190 guni beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM38,000.
Ujarnya, ketika serbuan, tujuh lelaki yang berusia lingkungan umur 20-an dipercayai penyeludup itu sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukannya.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit, pihaknya menemui 160 guni beras masing-masing seberat 50 kilogram setiap satu.
"Kita kemudian masuk ke kawasan belakang masjid dan menemui 30 guni beras lagi yang beratnya juga 50 kilogram setiap satu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum serbuan, anggotanya telah melakukan risikan di pangkalan haram Kuala Jambu, Tumpat, yang mana kenderaan yang membawa muatan beras itu masuk melalui belakang masjid Kampung Kedondong, Pasir Mas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: