Thursday, May 28, 2009

Kuasa propaganda Schwarzenegger


KARIER sebagai ahli bina badan menjadi tiket buat anak kelahiran Austria ini menjadi selebriti tersohor dan ahli politik di Amerika Syarikat.


KARISMA lelaki bernama Arnold Schwarzenegger sebagai hero, lelaki berotot penyelamat dunia serta robot yang memiliki emosi sangat menebal di kalangan peminat setianya di serata pelusuk dunia. Sehinggakan ada yang dengan mudah menyangka, dia sengaja dipilih sebagai Gabenor atas dasar populariti, bukan sahaja di kalangan kanak-kanak, remaja, golongan intelektual bahkan pemimpin negara.

Populariti Schwarzenegger dikatakan menjadikan lelaki gagah itu sebagai produk kempen propaganda Amerika Syarikat (AS) yang paling berjaya. Menerusi pelbagai karakter lakonannya di layar perak, Schwarzenegger seolah-olah simbolik kepada AS sebagai bangsa yang paling berkuasa, bijak, berhati mulia serta paling berpengaruh.

Terminator adalah kuasa paling hebat yang pernah dan akan selamanya menjadi milik Schwarzenegger. Namanya sudah sinonim dengan watak mesin berfizikal manusia itu. Tidak kira sama ada Terminator yang telah mempopularkan Schwarzenegger atau aktor itu yang menaikkan fenomena Terminator, kedua-duanya saling 'memerlukan'.


GAGAH. Penampilan Arnold dalam filem Commando.


Di sebalik wajah perkasa Terminator, pemilik nama sebenar, Arnold Alois Schwarzenegger itu mula menarik perhatian umum dengan menceburkan diri sebagai ahli bina badan, sebelum menjadi aktor, ahli perniagaan dan yang akhirnya dilantik Gabenor California pada 17 November 2003 untuk menghabiskan tempoh perkhidmatan Gabenor California sebelumnya, Gray Davis.

Anak kelahiran Thal, Austria itu kemudian dipilih semula pada 7 November 2006 pada pilihan raya California. Dia mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Gabenor pada 5 Januari 2007.

Hidup dalam keadaan miskin ketika kanak-kanak, Schwarzenegger tidak rapat dengan bapanya, Gustav, seorang anggota polis tetapi mesra dengan ibunya, Aurelia Jadrny.

Pada usia 14 telah dia mula berkecimpung dalam sukan bina badan. "Sebenarnya saya memulakan latihan angkat berat pada usia 15 tahun dan mula bertanding pada usia 17 tahun.


ARNOLD bakal bertanding di kerusi senat AS menjelang tahun 2010.





"Ayah saya mahukan saya menjadi pegawai polis sepertinya dan ibu pula ingin saya mempelajari bidang perniagaan," ceritanya.

Dalam satu temu bual bersama majalah Fortune pada tahun 2004, Schwarzenegger telah mendedahkan dia didera bapanya itu semasa kecil. "Rambut saya ditarik. Saya dipukul dengan tali pinggang. Itu adalah perkara biasa yang dilihat di kampung kami. Mereka mahu membuatkan anak-anak mereka supaya memberontak.

"Maka, setiap kali saya dipukul, saya akan bertekad akan berpindah dari situ dan bakal menjadi kaya. Saya mahu menjadi orang terkenal," luahnya.

Pernah berkhidmat sebagai askar pada tahun 1965 selama setahun, dia meraih gelaran Mr. Universe pada usia 20 tahun dan telah memenangi pertandingan Mr. Olympia sebanyak tujuh kali. Gelaran Mr. Universe yang diraihnya itu menjadi tiket buatnya untuk berhijrah ke AS pada usia 21 tahun, sebelum diterima menjadi warganegara negara itu 11 tahun kemudian.

"Semasa saya tiba di AS, dialek pertuturan saya amat teruk. Ia menjadi halangan terbesar saya untuk menjadi pelakon," katanya.

Selepas kariernya sebagai ahli bina badan berakhir, Schwarzenegger mula menceburi dunia lakonan dengan filem pertamanya, Hercules in New York (1970). Namun, hasil lakonannya menerusi Conan the Barbarian (1982) telah meletakkan namanya di peta global, yang kemudian membuatkan dirinya menjadi pilihan utama watak bagi menerajui filem Terminator (1984).

Namanya semakin mantap menerusi kemunculan barisan filem aksi pecah panggung yang termasuklah Commando (1985), Raw Deal (1986), The Running Man (1987), Red Heat (1988) dan Predator (1987).

Langsung tidak terbabit dengan siri filem Terminator terbaru iaitu, Terminator Salvation, kegemilangannya sebagai aktor nombor satu mulai merudum selepas beberapa filem lakonannya gagal pecah panggung, dicetuskan oleh filem Batman and Robin (1997) serta filem sekuel kedua Terminator iaitu Terminator 3: Rise of the Machines (2003).

Schwarzenegger kini masih berkhidmat sebagai Gabenor California dan dia dikhabarkan akan bertanding di kerusi Senat AS pada tahun 2010. Schwarzenegger tidak menerima gajinya sebagai Gabenor yang berjumlah AS$175,000 (RM610,750) setahun tetapi mendermanya kepada badan amal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: