Thursday, May 28, 2009

Kristine tumpu kerjaya


WAJAH lembut dengan mata bercahaya, ditambah pula seulas bibir nipis menguntum senyum manis semenangnya Kristine Hermosa, 25, dilahirkan sebagai insan bertuah.

Tidak hairanlah namanya melonjak sebagai pelakon popular di Filipina, tetapi Kristine membuktikan tidak bergantung kepada rupa semata-mata malah juga berbakat. Di Malaysia, namanya mula menjadi sebutan ramai menerusi telenovela Pangako Sa'yo.

Pastinya dia dicemburui wanita kerana kecantikan dan popularitinya serta menjadi impian lelaki yang ingin memilikinya. Namun, wanita kelahiran Quezon City pada 9 September 1983 ini belum bertemu cinta sejati.

Percintaannya dengan Jericho Rosales, pasangannya dalam Pangako Sa'yo kecundang di tengah jalan manakala perkahwinannya dengan Diether Ocampo, 32, pada 12 September 2004 juga tidak kekal lama. Kristine jatuh cinta dengan Diether ketika membintangi Sana'y Walang Wakas.

Kristine memohon perkahwinanya dibubarkan pada 21 Jun 2005 dan sejak kembali solo, dia sering dikaitkan dengan beberapa lelaki. Terbaru, Oyo Boy Sotto yang kini hangat dikatakan sebagai buah hatinya kerana sejak beberapa bulan ini sering kelihatan bersama.

Bagaimanapun, Kristine menafikan antara dia dan Oyo Sotto mempunyai hubungan intim. Malah mengatakan dia dan Oyo Sotto baik-baik saja dan menyifatkan hubungan mereka tidak lebih sebagai kawan baik malah menyifatkan Oyo tempat mengadu.

Katanya, dia belum terdesak untuk mencari pengganti buat masa ini dan mahu menikmati sepuas-puasnya kehidupan solo selepas berpisah dengan Diether. Kristine juga baru membaharui kontraknya dengan Kapamilya yang pasti membuatkan dirinya begitu sibuk tahun ini.

"Saya baik-baik saja dan cukup tenang. Malah saya kini mempunyai cukup masa untuk diri sendiri. Saya kini sibuk dengan kerja dan mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya. Ini tahun saya dan tidak mahu lepas peluang itu," katanya mengakui rindu untuk kembali bekerja.

Mengenai seseorang yang menjadi sumber inspirasi dalam hidupnya kini, Kristine memberi jawapan selamat mengatakan kerja dan dirinya sendiri.

Dia baru saja memulakan penggambaran telenovela Maruja yang diadaptasi daripada filem Susan Roces yang dihasilkan pada 1968 dan turut dijayakan Derek Ramsay dan Karylle. Konsepnya masih dikekalkan, tetapi latar masanya disesuaikan dengan keadaan semasa.



Katanya, dia gembira kerana dipilih membintangi Maruja dan teruja untuk memulakan penggambaran. Dia tidak mengharapkan apa-apa, tapi berharap 2009 menjadi tahun yang cukup bermakna buat dirinya.

Malah Kristine ada berita gembira buat peminatnya kerana dia bakal kembali bergabung dengan kekasih lamanya, Jericho Rosales dalam satu projek telenovela Dahil May Isang Ikaw yang dijangka mula disiarkan Julai ini.

Turut berlakon, Gabby Concepcion, John Estrada dan Lorna Tolentino. Kristine memegang watak Katy Mendoza, wanita yang dahagakan kasih sayang keluarga. Dia mencari dua adiknya yang terpisah ketika kecil. Jericho memegang watak Jordan Chua, lelaki kaya yang mempunyai tiga wanita dalam hidupnya, Maelene, Allysa dan Katy.

Persoalannya, siapa yang berjaya merebut cinta Jordan dan hidup bahagia hingga ke akhir hayat? Kristine mengakui tidak sabar untuk kembali bekerja dengan Jericho kerana sudah lama tidak berlakon bersama. Katanya, dia tiada masalah digandingkan semula dengan bekas kekasih.

Apabila diminta komennya mengenai bekas suaminya kini yang sudah menemui pengganti, model dikenali sebagai Rima Lorza Ostwani dan dikatakan mempunyai wajah seiras dengannya, Kristine hanya ketawa.

Dia mengakui mengenali gadis itu, tetapi enggan mengulas lanjut. Apa pun katanya, dia tumpang gembira dengan kebahagiaan Diether.

Bagi penonton di Malaysia, tentunya setiap hari tidak ketinggalan menyaksikan lakonan Kristine melalui telenovela Gulong Ng Palad Di TV2. Ia diadaptasi daripada siri drama radio karya Lina Flor pada 1950-an kemudian diadaptasi kepada siri televisyen pada 1977.

Pada 9 Januari 2006, siri ini kembali disiarkan di televisyen Filipina di bawah arahan Eric Salud dan Jerome Pobocan. Jalan cerita sama dan dibintangi Kristine sebagai Luisa Santos Medel, TJ Trinidad (Ricardo 'Carding' Medel), Cherie Gil (Philomena "Menang" Medel), Rio Locsin (Caridad "Idad" Santos) dan Joel Torre (Tomas Santos).

Ia berkisar kehidupan Luisa dan Carding, yang datang dari dua dunia berbeza, tetapi disatukan oleh perasaan cinta mendalam. Ia juga mempunyai lagu tema baru, Hindi Ko Kayang Iwan Ka nyanyian Jerome Sala yang cukup menyentuh perasaan dan juga Dahil Mahal na Mahal Kita oleh Rachelle Ann Go.

Sementara itu, Diether kini dilihat cukup bahagia dan begitu terbuka apabila sering membawa buah hatinya menghadiri majlis yang dihadiri media. Dalam satu sidang akhbar projek terbarunya, Only You, Diether diusik dengan pujian wajahnya kini berseri-seri.

Diether mengakui perpisahan dengan Kristine satu pengalaman yang cukup pedih, tetapi Kristine kini sudah menjadi sejarah dalam hidupnya dan dia tidak mahu mengenang semua itu lagi.

"Saya banyak belajar daripada pengalaman pahit ini. Ia mengajar saya supaya melihat jauh ke hadapan. Saya juga banyak buat silap dan buat keputusan salah pada masa lalu.

"Sekarang ini setiap hari saya lalui dengan sesuatu yang baru atau permulaan baru yang sangat-sangat saya nantikan. Masih banyak yang ingin dilakukan walaupun mungkin ada yang melihat kehidupan saya kini sempurna, tetapi saya rasa masih banyak yang perlu dikecapi.

"Saya menemui satu titik kehidupan yang seimbang antara kerjaya dan kehidupan peribadi dan mempunyai matlamat yang begitu jelas. Saya sekarang lebih fokus dan tahu di mana arah yang harus dituju," katanya.

Diether juga tidak menolak jika dipertemukan dengan Kristine sama ada dalam drama atau filem. Katanya, dia profesional dan tiada masalah digandingkan dengan bekas isterinya selepas ini.

Bagaimanapun, Diether enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Kristine mengatakan dia kini takut menjalin hubungan dengan seseorang kerana pengalaman lalu.

Katanya, agak sukar menjawab soalan itu kerana dia pernah berada dalam hidup Kristine, tapi dia tidak pernah menyesal membuat keputusan untuk melepaskan isterinya. Ini kerana dia sudah berusaha sebaik mungkin mempertahankan perkahwinannya, tetapi tidak berjaya dan akhirnya rela mengundur diri.

Malah tiada siapa menyalahkan dirinya atas perpisahan itu kerana Kristine sebenarnya tidak bersedia dengan ikatan perkahwinan.

"Saya ingin jelaskan di sini apa-apa perkara berkaitan Kristine, saya tidak mahu campur lagi. Saya kini sudah mempunyai teman wanita dan apa saja yang dia katakan, saya tidak mahu masuk campur. Hidup saya kini cukup gembira dan berharap dia juga begitu," katanya.

Only You juga cukup bermakna buat Diether kerana ia projek besarnya untuk 2009. Diether juga mengambil keputusan membaharui kontraknya dengan Kapamilya Mac lalu sekali gus menjawab segala persoalan mengenai dirinya berpindah ke stesen lain sebagaimana diperkatakan Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: