Friday, May 29, 2009

Asri tak pentingkan diri




ANUGERAH demi anugerah serta pencapaian yang diraih menjadikan kumpulan nasyid Rabbani terus kukuh sebagai kumpulan nasyid paling popular ketika ini.

Sedar atau tidak, melepasi fasa pertama tahun 2009, kumpulan yang diketuai Ustaz Asri itu sudah menginjak usia 12 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1997.

Awalnya 13 anggota, kini Rabbani bersama sembilan orang anggota. Selain Ustaz Asri dan Azadan yang rajin membuka mulut setiap kali disapa media, ahli-ahli lain lebih selesa untuk berdiam dan setuju dengan hujah yang diluahkan ketua mereka.

Bertanyakan Asri tentang situasi berkenaan, apakah kata sepakat telah diputuskan bahawa yang layak bercakap hanya Asri atau wujud dominasi dalam kumpulan nasyid yang sangat disegani itu.

Penonjolan dan tumpuan terhadap Asri juga dilihat jauh meninggalkan ahli lain sementelah pula, vokal utama kumpulan penasyid itu adalah Asri sendiri.

Berbanding kumpulan pop bahkan ada kumpulan nasyid lain yang terpaksa berdepan situasi vokal utama mencuba aliran solo, Asri dan kumpulan Rabbani pula sebaliknya.

"Ada juga yang kata begitu dan saya faham apa yang dimaksudkan. Tapi kekuatan Rabbani adalah komitmen semua ahli. Itulah antara faktor kenapa kami masih bersama sehingga ke hari ini. Komitmen kawan-kawan itulah yang memberikan keberkatan kepada Rabbani.

"Setakat ini tidak ada yang ambil hati atau timbul masalah kerana penonjolan saya ini. Mereka faham konsep ketua. Kejayaan ketua adalah kejayaan bersama. Saya pula tidak pernah buat keputusan sendiri semuanya hasil perbincangan bersama dan kalau dijemput secara solo, saya akan pastikan tidak mengganggu aktiviti Rabbani," jelas Asri menyedari penonjolan dirinya yang dilihat mengatasi ahli kumpulan yang lain.

Melihat situasi ada di kalangan penasyid kumpulan yang berubah dan bertukar haluan ke arah solo, tidakkah pengaruh itu 'mengusik' pendirian Asri. Peluang untuknya terbentang jika tanpa ahli, Asri pasti tidak kalah daripada menerima tawaran.


MASIH dengan barisan anggota asal Rabbani 'hidup' atas berkat komitmen sesama sendiri.


"Saya tidak pernah terfikir untuk bergerak solo. Ada juga yang cuba pengaruhi saya untuk muncul dengan produk solo tapi saya tolak. Kalau setakat ceramah, selawat atau bacaan doa, itu saya terima tapi Rabbani tetap didahulukan," ujar Asri lagi.

Dalam tuturnya, Asri meluahkan bahawa dia tidak pernah terfikir untuk terkenal secara individu sebaliknya peluang yang sama rata turut dikongsi bersama-sama kawan-kawan yang lain.

Menjelaskan keadaan yang sering menampakkan hanya dirinya yang tampil ke depan atau bertindak sebagai jurucakap, kata Asri: "Setiap orang ada karakter yang berbeza, macam kawan-kawan saya juga, ada yang mahu dan mampu berkomunikasi dengan baik dan ada yang menyerahkan tugas itu kepada orang lain kerana merasakan ada kekurangan. Ada yang tak mahu ke depan kerana rasa tak mampu untuk berbuat begitu."

Selain kekuatan vokal serta lagu-lagu yang meninggalkan impak, itu antara resipi pengukuhan nama Rabbani selama 12 tahun dalam industri muzik nasyid di Malaysia.

Berbanding kumpulan nasyid lain yang hampir seusia dengannya, Rabbani ada kelainan tersendiri terutama dalam bab kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat.

Jika Hijjaz gemar menjalin hubungan sebagai rakan bisnes yang turut sama menyuntik modal ke dalam bisnes yang diceburi, Rabbani pula mengambil pendekatan berbeza.

"Memang tumpuan kami tidak begitu, kami sekadar menerima 'salam' pihak luar sebagai artis atau jurucakap atau duta produk. Untuk buat bisnes bersama-sama kami belum mampu.


BAKAL berganding dengan kumpulan Ungu menerusi konsert gergasi menjelang Ogos nanti.


"Saya anggap tawaran itu sebagai satu usaha untuk saling membangunkan ekonomi saudara sesama agama, kami cuma bantu apa yang mampu," kata Asri yang ditemui selepas majlis kesyukuran sebagai duta produk Permata Hijrah Enterprise di Hotel Singgahsana, baru-baru ini.

Permata Hijrah beroperasi sejak empat tahun lalu di Kelantan dan terkenal sebagai pengeluar produk penjagaan mata selain penyakit resdung yang diperakui mujarab dan halal.

Selain itu juga, fokus Rabbani kini dalam perancangan untuk tampil dengan album studio terbaru selewat-lewatnya hujung tahun 2009.

Dua tahun tanpa rangkaian lagu-lagu nasyid yang kontemporari yang sinonim dengan mereka, Rabbani sendiri merindui untuk kembali meneruskan kerancakan irama nasyid yang dilihat semakin suram.

"Kami sendiri rindu dengan lagu seperti Intifada, jadi tidak mustahil kami akan kembali berkolaborasi dengan KRU serta beberapa komposer selain bercadang untuk duet dengan Amy Search sekali lagi," ujar Asri.

Dalam menyebarkan pengaruhnya, Rabbani dan kumpulan popular Indonesia, Ungu akan berkolaborasi dalam konsert berskala besar di Stadium Malawati, Shah Alam sekitar awal Ogos depan.

Konsert yang bertema ketuhanan dan keagungan Illahi itu bakal menampilkan persembahan terhebat dua kumpulan bernama besar dalam industri hiburan tempatan dan Indonesia itu, sebagai medium hiburan yang menyampaikan mesej-mesej yang sarat dengan nilai keagamaan.

"Kemunculan dengan Ungu adalah persembahan yang dirancang sudah sekian lama. Kami berharap peminat Rabbani tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan tentang konsert berkenaan dari semasa ke semasa," kata Asri lagi sebagai langkah promosi awal konsert berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: