Saturday, May 30, 2009

Kulit harimau kering RM90,000 dirampas


Mohd. Noor (empat dari kanan) bersama anggota lain melihat kulit harimau siap diproses yang dirampas di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.


BUKIT KAYU HITAM - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas lima keping kulit harimau bernilai kira-kira RM90,000 serta menahan dua lelaki Thailand di sekatan jalan Kilometer 1.3 menghala ke Thailand di sini semalam.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, kulit harimau bernilai kira-kira RM18,000 setiap keping itu dirampas di sekatan jalan itu pada pukul 6.50 pagi.

Menurut beliau, semasa pemeriksaan, kulit harimau tersebut ditemui dalam bungkusan plastik berwarna kelabu yang disimpan dalam but kereta Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand yang dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 52 tahun.

"Kulit harimau kering sepanjang lebih dua meter dan selebar 0.6 meter itu dipercayai diseludup dari hutan sekitar kawasan negeri Perak dan Kelantan," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Noor berkata, kulit harimau terbabit dipercayai akan dijual di pasaran Thailand pada harga yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: