SETELAH berjaya tersenarai di dalam ‘Malaysia Book Of Records’ melalui acara tarik tali terbesar di Karnival Jom Heboh Lumut bulan lalu, TV3 kini menganjurkan kempen menderma buku terbesar untuk kebajikan yang bakal direalisasikan di Teluk Danga, Johor bersempena dengan Karnival Jom Heboh yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 30 dan Ahad, 31 Mei ini.
Menurut Puan Nurul Aini, pengurus besar kumpulan pengurusan jenama TV3, “Bertujuan untuk memupuk semangat suka membaca di kalangan kanak-kanak khasnya dan seluruh rakyat Malaysia, penganjuran kempen ini juga dilihat sebagai satu platform positif yang menyediakan peluang untuk orang ramai berkongsi buku dan bahan bacaan melalui sumbangan buku-buku terpakai daripada para pengunjung Karnival Jom Heboh di Johor.”
“Bagi menjayakan kempen berlandaskan kemasyarakatan ini, penyertaan daripada orang ramai amatlah dialu-alukan. Kepada mereka yang ingin menyertai kempen ini, anda hanya perlu membawa buku atau bahan bacaan terpakai yang masih di dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk dikumpulkan semasa berlangsungnya acara Karnival Jom Heboh pada hujung minggu ini,” tambah beliau.
Selari dengan misi utama kempen agar rajin membaca, pihak TV3 juga mengambil inisiatif tambahan untuk mengumpul sebanyak mungkin buku dan bahan bacaan yang bakal didermakan kepada mereka yang memerlukan seperti rumah-rumah anak yatim, sekolah-sekolah termasuklah pusat tadika selain daripada individu yang disenarai pilih.
Kempen menderma buku ini akan dijalankan selama dua hari (Sabtu dan Ahad) dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam bertempat di gerai-gerai terpilih seperti MyTV3 dan TV3 Kids dan akan ditutup untuk memberi laluan kepada proses pengiraan bagi menentukan syarat kelayakkan untuk ‘Malaysian Book of Records’.
Selesai acara kempen, kesemua buku dan bahan bacaan yang berjaya dikumpulkan akan diagihkan kepada sekolah, rumah anak yatim dan pusat tadika melalui program TV3 Kids School Attack yang mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk sekolah yang terpilih, Kementerian Pelajaran Malaysia dan beberapa badan korporat bertindak sebagai penaja.
Menariknya, program TV3 Kids School Attack menampilkan satu sudut bacaan yand dinamakan Reading Room TV3 Kids di mana terdapat satu rak buku khas yang dilengkapi pelbagai buku-buku baru dan juga terpakai yang bakal didermakan kepada perpustakaan sekolah, rumah-rumah anak yatim dan pusat tadika. Jadi buat mereka yang membuat perancangan untuk berkunjung ke Karnival Jom Heboh, bertempat di Teluk Danga pada hujung minggu ini, jangan lupa untuk membawa bersama buku dan bahan bacaan terpakai untuk diderma! Di samping menyumbang, rebutlah peluang untuk mencipta sejarah!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: