Friday, May 29, 2009

Protege Rosyam Nor

Usaha cari 20 finalis program Pilih Kasih bukan tugas mudah

PENCARIAN yang memakan masa berbulan-bulan kini sudah sampai ke penghujungnya. Jumaat lalu bertempat di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Rosyam Nor buat pertama kalinya mendedahkan wajah 20 anak didiknya yang akan diasuh dan dibimbing untuk menjadi seorang pelakon yang bagus sekali gus menjadi pelapis kepada pelakon handalan sedia ada.

Sebaik saja kelibat mereka muncul di pentas, terdetik rasa kagum dengan apa yang diusahakan Rosyam bersama teamnya sebelum ini. Penat lelah serta jerih mereka menjelajah dari satu lokasi ke satu lokasi mencari mereka yang layak dipanggil pelakon terbayar apabila kesemua yang dipilih masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Bukan saja ada kelebihan dari segi rupa paras tetapi yang lebih penting, mereka mempunyai bakat seperti yang dikehendaki serta berkemampuan dalam bidang seni lain seperti menari dan menyanyi. Malah sewaktu sesi pengenalan itu, finalis terbabit juga dikehendaki menari dan menyanyi selain mempamerkan bakat lakonan mereka.

Apakah itu sebenarnya yang dicari Rosyam dan tenaga pengajar Pilih Kasih sewaktu membuat uji bakat yakni pelajar yang serba boleh dan mahir dalam pelbagai cabang seni?

“Sebenarnya memang matlamat kita untuk mencari pelakon pelapis dan kemahiran berlakon adalah perkara utama yang kami titikberatkan. Tetapi jika peserta itu mempunyai bakat sampingan, itu adalah satu kelebihan buat mereka,” ujar Rosyam ketika ditemui pada majlis memperkenalkan 20 finalis program realiti Pilih Kasih yang akan disiarkan di RTM, baru-baru ini.

Untuk mendapatkan 20 yang terbaik ini, menurut Rosyam bukanlah satu tugas yang mudah kerana sesi penjurian yang membabitkan dirinya serta tenaga pengajar lain iaitu Bade Azmi, Erma Fatima, Along Kamaruddin, Amy Maziah, Rohani Yusoff dan bekas penerbit program Akademi Fantasia musim pertama hingga empat dan Raja Lawak musim pertama, Adi Shamsul sebagai tenaga pengajar akademi Pilih Kasih adalah satu saat yang cukup mencabar buat mereka.

“Untuk mendapatkan mereka ini, kami terpaksa ‘bergaduh’ sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai peserta kegemaran mereka. Maksud kegemaran di sini adalah setiap juri akan cuba mempertahankan siapakah peserta yang mereka mahukan ke final.

“Mungkin saya suka dengan seorang pelajar ini, tetapi juri lain tidak berfikiran sebegitu. Jadi keputusan diambil berdasarkan siapakah yang berjaya mengumpul markah tertinggi, dialah yang tersenarai sebagai finalis. Dan ingin juga saya tegaskan di sini, walaupun nama program ini Pilih Kasih tetapi proses pemilihan peserta adalah telus,” tegas Rosyam jujur.

Melihat kepada barisan finalis terbabit, ada juga beberapa wajah yang pernah dilihat dalam program realiti lain sebelum ini serta mempunyai pengalaman sebagai pelakon. Apakah ini sengaja di lakukan bagi mencetuskan elemen kejutan atau jalan pintas untuk menaikkan rating?

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, Rosyam berkata pemilihan mereka berdasarkan bakat yang ada pada diri mereka dan bukannya kerana ada agenda yang tersembunyi.

“Sebagai contoh, Ahdan, walaupun sebelum ini dia adalah seorang penyanyi untuk kumpulan Flava dan juga pernah membintangi program realiti GangStarz namun bakat lakonan yang ada padanya membuatkan kami pilih dia.

“Begitu juga dengan Ray Redzuan, pengalamannya sebagai koreografer untuk program Sehati Berdansa juga membantu dia untuk menjadi seorang pelakon yang baik. Tarian juga sama dengan lakonan kerana ia membabitkan emosi,” ujarnya sambil memberitahu terdapat pasangan adik beradik yang turut tersenarai sebagai finalis program berkenaan. Mereka adalah Khafie dan Zara Suriana

Bukan saja cabaran untuk mencari peserta yang terpaksa dihadapi Rosyam, tetapi dia juga terpaksa berdepan dengan masalah bajet yang terhad demi merealisasikan program ini.

“Saya akui untuk menerbitkan program ini, soal bajet adalah kekangan utama kami. Tapi mujurlah RTM bersetuju untuk menyiarkan rancangan ini dan juga Telekom Malaysia sudi untuk menaja kami. Jadi kuranglah sikit bebanan dan bajet yang sedia ada bolehlah disalurkan untuk keperluan lain,” jelasnya.

Finalis:

  • Mereka yang terpilih adalah Iqbal Mazlan (Muhammad Iqbal Mazlan), Zulin Aziz (Farah Azleenda Abdul Aziz), Aris Yamin (Afi Faris), Nabila Dally (Nabilah Ali Dally) dan Indera Hafiz (Abdul Hafiz Abdul Halim), Shania (Nurul Ainshah Zulkifli) dan Ahdan (Mohd. Shahdan Salleh).

  • Lain-lain peserta termasuk Bea Rameshan (Rabiatul Balqis Rameshan), Diwan Nawi (Mohamad Redzuan Rosli), Ana Dahlia (Diyana Mastura Jaafar) dan Sofian Bujang (Mohamad Sofian Bujang), U. Haizah (Ayu Ruhaizah Rosly) dan Ray Redzuan (Ray Redzuan Awang).

  • Turut tersenarai ialah Emilie Hanif (Puteri Emelia Norfarihin Mohd. Hanif), Khafie (Mohd. Saqafi Jubar), Wanina Zaki (Nur Raihan Mat Zaki), Reza Hasbi (Mohamad Ridzuan Hasbullah), Fiona Benard (Laurendia Fiona Benard), Aman Sharoni (Abdul Rahman Shahroni) dan Zara Suriana (Bibi Norsarah).


Fakta: Pilih Kasih
  • Kisah PILIH KASIH - setiap Isnin hingga Khamis dari 4.30 petang hingga 5.00 petang dengan siaran ulangannya pada 9:00 malam (ASTRO 180) atau 1.00 pagi hingga 1.30 pagi (TV2).

  • Pentas PILIH KASIH - 8.30 malam - 10.30 malam (TV2)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: