Friday, May 29, 2009

Sikap gila-gila pikat pendengar


Fara Fauzana, Faizal Ismail akur cabaran lebih berat menanti untuk kekal nombor satu

SIKAP gila-gila dan selamba dua penyampai radio ini ketika mengendalikan slot pagi, Hot FM Am Krew berjaya memikat hati pendengar. Faizal Ismail dan Fara Fauzana tidak memerlukan masa yang lama untuk memancing pendengar melekat di corong radio setiap pagi.

Dalam tempoh tiga tahun Hot FM hadir dalam dunia penyiaran radio, slot mereka menjadi pilihan setiap pagi tidak kira di rumah, pejabat mahupun mereka yang memandu untuk ke pejabat sehingga slot kendalian Faizal dan Fara itu muncul rancangan pagi nombor satu di Malaysia.

Mereka tidak perlu melalui episod berliku-liku untuk menjadi nombor satu, selepas setahun ke udara kejayaan begitu pantas diraih mereka.

Memasuki tahun ketiga, mereka terus melakar kejayaan apabila slot itu sekali lagi muncul nombor satu untuk kali kedua menerusi laporan dikeluarkan Nielsen Radio Audience Measurement baru-baru ini.

Kejayaan itu tentunya menggembirakan mereka, namun dalam gembira menerima berita itu kedua-duanya sedar cabaran lebih berat menanti. Kejayaan juga bermakna usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memastikan dapat terus mengekalkan gelaran nombor satu itu.

“Menantikan laporan daripada AC Nielsen ibarat menantikan keputusan peperiksaan. Setiap kali keputusan kajian hampir keluar perasaan saya pasti berdebar-debar. Saya bukan bimbangkan peminat lari tetapi ia berkaitan dengan reputasi kerja kita, sama juga seperti orang lain yang bekerja. Cuma mereka dinilai oleh majikan tetapi penilaian kami berdasarkan pendengar,” katanya yang turut bergelar Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, untuk dua tahun berturut-turut.

Walaupun kejayaan itu dikecap dalam jangka waktu yang amat singkat, itu tidak bermakna Faizal mahupun Fara hanya bergantung kepada bakat semula jadi dimiliki tanpa melakukan sebarang usaha untuk membantu menaikkan nama stesen. Sebaliknya mereka sendiri turut melakukan kajian untuk mengenalpasti kecenderungan pendengar.

“Apabila berada di luar, kami sentiasa meletakkan diri sebagai pendengar. Dari situ kita tahu apa yang pendengar suka dan tidak. Biasanya saya, Faizal dan pengurusan akan berbincang lebih awal topik menarik yang sesuai untuk dibincangkan. Tetapi ia bergantung juga kepada keadaan semasa, jika ada isu semasa yang lebih menarik untuk dibincangkan, kami akan tukar topik pada saat akhir.

“Memang kami amat bersyukur dan lega kerana berjaya mengekalkan kedudukan slot kami di tangga pertama. Bagaimanapun pada waktu sama cabaran lebih besar menanti kami terutama untuk mengekalkan kedudukan yang kami capai ini,” kata Fara yang juga sekali lagi menjadi pilihan peminat sebagai Penyampai Radio Wanita Popular, ABPBH 2008.

Kedua-dua mereka berkata, ketika Hot FM sedang merangkak membina nama, memang mereka bekerja untuk mengejar sasaran pendengar yang tinggi. Namun setelah berjaya mencapai sasaran itu, tugas mereka kini adalah mengekalkan kedudukan yang sudah dikecapi itu.

Bagaimanapun Faizal dan Fara menafikan mereka anak emas stesen dan mempunyai kelebihan disebabkan kejayaan ini. Kata mereka tidak ada diskriminasi dari segi layanan tetapi mereka dilayan sama rata.

“Slot pagi mungkin mempunyai kelebihan kerana mendapat perhatian ramai pendengar. Jika diletakkan penyampai lain contohnya Jawa Rangers, kami percaya jumlah pendengar mereka juga tinggi. Mereka sudah pun membuktikan ketika menggantikan kami tempoh hari, ramai yang memuji sukakan mereka.

“Anak emas mungkin hanya persepsi orang dan kami tak pernah pula merasakan sebegitu ataupun tonggak kepada Hot FM. Setiap dari kami perlu bersedia untuk perubahan. Selagi pendengar mahu mendengar, kami akan terus bertahan dalam AM Krew. Jika satu hari nanti mereka tidak mahu lagi mendengar suara kami di waktu pagi, kami perlu akur,” kata Faizal dan Fara.

Fara Fauzana

  • NAMA PANGGILAN: Fara Fauzana Mohd Fadzil
  • ASAL: Shah Alam
  • UMUR: 29 tahun
  • ZODIAK: Aquarius
  • LULUSAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Faizal Ismail
  • NAMA: Mohd Faizal Ismail
  • ASAL: Seberang Jaya, Pulau Pinang
  • UMUR: 33 tahun
  • ZODIAK: Taurus
  • LULUSAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: