|
|
BIARPUN mula terbabit dalam dunia seni pada usia yang agak lewat namun sedikitpun tidak menjadi halangan buat Airis Yasmin, 30, atau nama sebenarnya Yasmin Md Isa. |
Menyedari saingan yang terpaksa dilalui untuk bergelar anak seni bukan mudah apatah lagi dengan kemunculan bakat baru yang sering bertambah menyebabkan Yasmin sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Ternyata minat dan kesungguhan menjadi kunci kepada pembabitan ibu tunggal kepada seorang puteri bernama Salma Nurdina berusia sembilan tahun dalam dunia seni itu.
Mula aktif dalam dunia lakonan sejak tiga tahun lalu. Selain lakonan dia turut mendalami ilmu yang diminati berkaitan kecantikan dan kesihatan. Yasmin baru saja selesai menghadiri kursus pengurusan berkaitan bidang anatomi fisiologi di Akademi Energy, Kuala Lumpur.
"Bidang ini ia juga sebahagian daripada pekerjaan saya selain terbabit dalam lakonan. Ternyata saya dapat mempelajari pelbagai kaedah dan keperluan berasaskan kesihatan dan kecantikan. Malah menerusi seorang rakan kongsi perniagaan saya sudah menubuhkan sebuah syarikat, Fine Beauty Sdn Bhd.
"Ini sebagai permulaan buat saya menceburi bidang perniagaan. Memang saya meminati bidang ini sudah lama cuma kesempatan untuk menceburinya baru diperoleh.
"Malah sebahagian daripadanya sudah mula beroperasi. Boleh dikatakan bidang ini juga mempunyai kaitan dalam bidang seni.
"Bidang ini mampu menjamin masa depan. Selain mencuba nasib dalam perniagaan saya juga mengintai peluang dalam bidang seni," katanya.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pelakon yang sudah membintangi lebih 20 drama televisyen itu mengakui tidak boleh terlalu bergantung kepada lakonan semata-mata. Sebaliknya perlu bersedia selain sentiasa memanfaatkan peluang yang diperolehi dengan sebaik mungkin.
Yasmin tidak menyembunyikan hasratnya untuk melakar kejayaan seperti beberapa artis ternama tanah air.
"Memang saya meletakkan sasaran untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Begitu juga dalam bidang seni. Kalau boleh saya mahu duduk sebaris dengan artis-artis hebat seperti Fazura, Nasha Aziz, Fauziah Nawi dan Rusdi Ramli. Bukan hanya lakonan siapa tahu rezeki saya pada kemudian hari diberi kepercayaan sebagai penerbit pula.
"Begitupun, saya tengok apa saja peluang yang hadir dulu. Saya masih perlu belajar dan mendapatkan sebanyak mana ilmu untuk menguasai sesuatu bidang itu," kata Yasmin yang pernah bertugas sebagai pembantu peribadi di Syarikat Iris Teknologi selama tujuh tahun.
Nama Airis juga diambil daripada bekas majikannya itu.
Mengulas lanjut pembabitan dalam bidang seni gadis kelahiran Alor Gajah, Melaka ini menyifatkan segalanya bermula secara tidak sengaja selepas terbabit dalam program Jemputan Nona TV3 sekitar 2002 disusuli beberapa iklan komersial menerusi televisyen.
Percubaan membabitkan diri dalam arena seni dengan menghadiri beberapa sesi uji bakat akhirnya menimbulkan minat buatnya. Malah Yasmin sendiri menyifatkan bidang seni satu kerjaya menarik.
"Memang saya tidak pernah menyimpan impian untuk terbabit dalam bidang ini. Begitupun, selepas terbabit dalam program Jemputan Nona TV3. Saya seterusnya diberi peluang oleh beberapa produksi untuk terbabit dalam komersial dan drama televisyen. Sememangnya kesempatan itu cukup sukar dilepaskan.
"Saya tidak pernah menganggap pembabitan dalam bidang seni pada usia yang lewat sebagai halangan. Mungkin peluang ini baru saya peroleh. Pembabitan dalam bidang ini juga bukan untuk mengejar glamor. Sebaliknya lebih kepada mencari kepuasan. Memang saya nekad untuk mencuba bakat yang saya ada. Soal usia saya rasa ia langsung tidak menjejaskan," katanya.
Bercerita lanjut mengenai watak yang sering dijayakannya, Yasmin mengakui masih mentah dalam dunia lakonan. Malah dia hanya berusaha dan menaruh keyakinan kepada setiap pekerjaan yang dilakukannya.
Soal watak yang ditawarkan tidak menjadi persoalan buatnya memandangkan masih dalam proses belajar dan memahami tugas yang perlu dilaksanakan setiap kali menerima watak yang diberikan.
"Saya sebenarnya tidak kisah sangat diberi watak apa sekali pun. Apa yang lebih penting membawa watak yang ditawarkan dengan sebaik mungkin. Saya lebih takut apabila diberi peluang untuk berlakon dengan pelakon dan pengarah yang sudah ada nama dalam dunia seni. Saya takut tidak dapat memenuhi apa yang diperlukan oleh mereka.
"Begitupun, saya tidak mahu dicop penakut sebaliknya terima cabaran itu untuk menjadikan diri lebih berkeyakinan dalam setiap peranan yang diberikan.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Eman Manan, Elie Suriati dan Datuk Jalalludin Hassan," katanya.
Pada usia begitu dengan status janda sudah pasti Yasmin antara individu yang menjadi perhatian mana-mana lelaki untuk memikatnya apatah lagi karier lakonan dan perniagaan yang semakin berkembang.
Apabila ditanya mengenai teman istimewa dalam hidupnya, Yasmin memberitahu tumpuan kini kepada karier terlebih dahulu. Setakat ini, dia memaklumkan tidak menyimpan hasrat untuk mengakhiri zaman solonya. Begitupun, dia hanya berserah kepada takdir untuk ditemukan jodoh yang terbaik.
PROFIL
NAMA PENUH: Yasmin Md Isa
NAMA KOMERSIAL: Airis Yasmin
TARIKH LAHIR: 21 Jun 1979
TEMPAT LAHIR: Alor Gajah, Melaka
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada dua beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Institut Victoria
KERJAYA: pelakon, pengacara, model dan ahli perniagaan
DRAMA: Lebih 20 drama antaranya Ranjang Penuh Luka (Astro), Memintas Seribu Bulan, Andai Semalam Kumiliki (RTM) Kasih Iftitah, Saka (TV3), Ghost (8TV), Aku Bukan Buaya (ntv7)
FILEM: Sereem, Syy.. Dia Datang, Ee... Hantu, Janin dan filem Bollywood, Don (Cameo)
IKLAN: Colgate, Fair & Lovely, Time Broadband, Pantene, Astro, Celcom, Good Year Tyre
PENCAPAIAN: Finalis Pengacara Jemputan Nona TV3 (2002)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: