Kemunculan album MJazz Trio - The Art of Jazz adalah untuk semua golongan
MUZIK jazz kebiasaannya dikaitkan dengan golongan elit tetapi kini masyarakat dari semua golongan sudah mula menerimanya sebagai satu genre muzik yang semakin mendapat tempat di Malaysia.
Ini boleh dilihat dari penganjuran pelbagai festival jazz seperti Penang Jazz Festival, Genting Jazz dan juga Mont Kiara Jazz Festival. Namun, menerbitkan album instrumental berkonsepkan jazz yang menggunakan 100 peratus pemuzik tempatan memang sukar ditemui.
Sehubungan itu, kemunculan album MJazz Trio - The Art of Jazz adalah antara album instrumental jazz tempatan pertama yang diterbitkan di negara ini.
Diterajui olah Datuk Mokhzani Ismail sebagai pemain piano, pencipta dan penggubah bersama-sama dengan Jimmy Ali (bass) dan Acun (drum), album ini yang berkonsepkan lagu-lagu jazz standard Inggeris turut menyelitkan dua lagu irama klasik tempatan iaitu Sungai Pahang ciptaan Jimmy Boyle dan lagu Dari Mana Mulanya Cintaan ciptaan Shaharuddin Amin yang agak popular pada era tahun 60-an.
Kedua-dua lagu itu digubah semula dalam bentuk big band membuatkan persembahannya lebih unik, segar dan menghiburkan.
Malahan, lagu Sungai Pahang yang menggunakan elemen alatan bertali dan oboe memberikan satu keasyikan muzik berkonsepkan chamber.
Mokhzani yang juga Pengarah Muzik RTM berkata, album MJazz Trio - The Art of Jazz menyatakan bertepatan dengan moto Menghibur, Mendidik, Inspirasi (Entertain, Educate, Inspire), kerana matlamat penerbitannya adalah lebih kepada mendidik masyarakat menghargai muzik jazz selain memberi inspirasi kepada pemuzik baru untuk menyelami alunan muzik yang lebih mencabar.
“Mungkin rakyat Malaysia tidak sedar bahawa pengaruh muzik jazz sudah menular melalui Orkestra RTM sejak tahun 60-an seperti kemunculan pemain piano, Alfonso dan Tony Soliano, penyanyi Julie Sudiro dan Allahyarham Zain Azman tetapi apresiasi masyarakat terhadap muzik ini amat terhad.
“Tetapi kini rakyat Malaysia sudah mula menerima muzik sedemikian melalui sambutan terhadap beberapa konsert jazz di negara kita.
“Malahan kemunculan pemuzik muda yang memainkan irama sedemikian menjadikan jazz semakin di terima oleh masyarakat Malaysia dan tidak lagi terhad kepada golongan elit,” katanya.
Lagu Inggeris pembuka jalan ke peringkat antarabangsa
---------------------------------------------------------
Mokhzani yang mendapat pendidikan khusus dalam piano jazz dan penggubahan orkestra dari Kolej Muzik Berklee di Boston, Amerika Syarikat memang terkenal sebagai pencipta lagu komersil untuk Adibah Noor, Saleem, Jamal Abdillah, Mawi dan Azharina.
Beliau juga turut terbabit menghasilkan lagu-lagu patriotik seperti Cemerlang Gemilang Terbilang, Gemilang Malaysia serta lagu tema Hari Kebangsaan iaitu Akhlak Mulia Masyarakat Jaya, Bersatu Menuju Wawasan dan lain-lain.
Selain itu, beberapa karyanya berbentuk simfoni seperti Overture Tuah dan Jebat, Di atas Runtuhan Kota Melaka di dirikan Putrajaya, Overture Makan Sirih telahpun dimainkan di konsert-konsert besar seperti Simfoni Putrajaya dan Malam Simfoni Irama Malaysia. Melalui sentuhannya dalam pelbagai genre muzik menjadikan Mokhzani pemuzik serba boleh dalam mewarnai dan memperkayakan khazanah seni muzik tempatan dan mampu ditonjolkan di peringkat antarabangsa.
Di tanya kenapa memberi penonjolan kepada lagu-lagu Inggeris di dalam penerbitan albumnya, Mokhzani menjelaskan, beliau perlu meletakkan muzik bercorak antarabangsa sebagai pembuka jalan selain dari mencurahkan segala bakat dan ilmu yang dipelajari untuk dinikmati oleh masyarakat Malaysia.
“Malah saya sedang di dalam persiapan menyiapkan album seterusnya yang akan memaparkan lagu-lagu Melayu tradisional di dalam bentuk chamber dan symphonic work seperti lagu Suar Suir, Overture Makan Sirih, Variation on Ikan Kekek dan sebagainya,” jelasnya.
Mengulas lanjut lagu-lagu dalam album MJazz Trio, Mokhzani berkata lagu I Cant Get Started yang menggunakan elemen trio, manakala lagu But Not For Me menampilkan Razak Rahman (bekas Juara Bakat TV 1971) sebagai pemain saksofon di samping jazz orkestra.
Begitu juga lagu ciptaan klasik Jerome Kern seperti All the Things You Are dan The Song is You disusun semula dalam memberi nafas baru kepada ciptaan malar segar.
Mokhzani juga menghasilkan dua lagu ciptaannya iaitu Here I come dan JB Blues yang diberikan pendekatan orkestra. Lagu-lagu lain seperti Witchcraft, In A Sentimental Mood dan Who Can I Turn To adalah ciptaan klasik jazz yang sentiasa menjadi pilihan pendengar yang meminati irama jazz standard.
Album ini juga dimuatkan dengan koleksi istimewa DVD yang menampilkan persembahan live trio dan orkestra bersama dengan penyanyi jazz Singapura Rani Singam mengalunkan ciptaan Gershwin I Got Rhythm dan juga penyanyi Malaysia Liza Hanim dalam Fly me to The Moon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: