Saturday, May 30, 2009

Artis promosi pelancongan


TOMOK MENYOKONG USAHA TOURISM MALAYSIA BAGI menggalakkan KANAK-KANAK DAN IBU BAPA MEREKA MELANCONG di DALAM NEGARA.


JARANG kita dapat menyaksikan persembahan hiburan yang disatukan dengan limpahan elemen kebudayaan dan kesenian yang bertunjangkan kesejagatan hidup masyarakat di negara Malaysia.

Biasanya hiburan laras popular akan berdiri sebagai persembahan yang bergerak dengan sendirinya, khususnya dalam usaha untuk menjadi tarikan kepada khalayak dalam sesuatu acara.

Bagaimanapun pihak Tourism Malaysia memilih elemen yang jauh lebih bermakna apabila menggabungkan elemen persembahan popular dan kebudayaan dalam acara Zoom Malaysia Travel Fair di Kuantan, Pahang pada 22 hingga 24 Mei lalu.

Acara yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini bukan sahaja menampilkan penyanyi bergred A seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Mila dan Stacy, bahkan turut mengadunkan persembahan kebudayaan untuk pelbagai kaum dalam menterjemahkan kesejagatan hidup pelbagai kelompok budaya dalam negara yang kita cinta ini.

Melalui persembahan kebudayaan daripada Kumpulan SUK Pahang, Kumpulan Kebudayaan Terengganu dan The Citra Dancers Kelantan, acara ini kelihatan begitu bermakna dalam membudayakan kesenian seni dan budaya bangsa.

Bukan sekadar menjadi tempat untuk khalak mencari pakej-pakej pelancongan terbaik dengan harga terendah, sebaliknya acara ini memberi peluang kepada seni dan budaya untuk terus dihayati oleh kumpulan generasi muda hari ini.

Begitulah gambaran yang paling sesuai diberikan kepada kejayaan Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 yang meriah dengan pelbagai acara hebat dan menarik.

Selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tiba giliran kompleks membeli-belah East Coast Mall, Kuantan, Pahang diserbu hampir 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari pada hujung minggu lalu.

Kumpulan De Citra Dancers dari Kelantan menampilkan persembahan kijang sari yang menggabungkan elemen i dengan tarian klasik Kelantan.

Manakala lagunya gabungan muzik moden, muzik Kelantan dan muzik unsur - unsur irama Jepun. Selain itu, irama yang menggunakan elemen - elemen tradisional klasik negeri Kelantan, ala donde, menghadap balai, inang nazam berkasih, zapin rajuk rindu, tarian wau bulan dan tiba-tiba tembok turut diangkat menjadi elemen cukup menghiburkan.

Sementara kumpulan kebudayaan Pahang tampil dengan tarian gamelan, zapin pekan, tarian pelanduk, walinong sari, sewang dan zapin raub.

Kumpulan kebudayaan Terengganu memilih persembahan gamelan, zapin teluk belanga serta tarian songket. Tarian songket adalah konsep yang menggabungkan elemen pemakaian songket yang cukup terkenal di kalangan orang besar Istana pada zaman dahulu di Terengganu, kemudian di olah dalam bentuk tarian yang menggambarkan kecantikan dan keindahan songket tersebut.

Selain acara kebudayaan itu, sudah pastinya kehadiran artis popular yang ditunggu khalayak.

Penampilan Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Saleem dan Ameng memberikan makna yang tersendiri kepada orang Kuantan.

Tidak ketinggalan artis-artis muda seperti Bunkface, Mila, Stacy, Tomok, Amylea, Aneese Anisa, Ifa Raziah dan Farah yang turut menyampaikan mesej penting kepada khalayak.

“Kalau hendak bercuti, tak payah ke luar negara. Dalam negara pun sudah cukup. Sebagaimana anda menyokong band tempatan, sokonglah juga pelancongan dalam negara sendiri,” pekik vokalis Bunkface kepada khalayak sambil disambut dengan tepukan bergemuruh.

Deretan artis yang hadir dalam acara itu menampilkan pelbagai genre lagu daripada rock, pop, joget sehingga ke dangdut lantas memberikan aroma persembahan yang tersendiri.

Setiap artis tampil dengan gaya unik untuk menggegarkan bandar Kuantan menerusi aksi mereka yang memukau dan menghiburkan penonton.

Bukan sahaja Bunkface, artis-artis lain turut melobi tempat menarik untuk dilawati oleh khalayak dengan memberikan penerangan berguna tentang negeri-negeri kelahiran mereka.

Jamal Abdillah misalnya, sempat mengajak khalayak bercuti di negeri kelahirannya, Perak Darul Ridzwan sekaligus menamakan beberapa tempat menarik seperti di Zoo Taiping dan sebagainya.

“Saya memang suka bercuti dalam negara. Kalau bercuti dalam negara ni, banyak masa boleh diperuntukkan, lagipun kosnya menjimatkan.

“Saya syorkan kepada anda semua datanglah ke Perak untuk bercuti sebab banyak tempat cantik dan menarik,” kata Jamal.

Amylea pula sibuk bercerita tentang keindahan Pulau Langkawi yang sempat menjadi tempat di mana dia membesar sehinggalah memasuki pertandingan Akademi Fantasia.

“Bila ingat cuti, saya akan sentiasa ingat Pulau Langkawi. Memang best sangat, ada pulau, ada tempat menarik lain seperti Tasik Dayang Bunting, ada Makam Mahsuri, macam-macam ada,” beritahu Amylea.

Saleem pastinya sibuk dengan agenda mempromosikan negeri kelahirannya iaitu Terengganu. Kata Saleem, pakej percutian domestik akan lebih bermakna andai peminat-peminatnya singgah di Terengganu.

“Macam yang ada dalam lagu Blues Terengganu Kita, semua tempat di Terengganu memang menarik. Dari Maran sampailah ke Kuala Berang, sampaikan ke Kemaman, semuanya indah dan mempersona,” beritahu Saleem dengan bangganya.

Apa yang pasti, penampilan artis tersebut yang cukup sporting sememangnya menghiburkan penonton. Apatah lagi melihat wajah penonton yang tersenyum puas tanda terhibur selesai konsert itu adalah satu kenikmatan buat semua pihak yang terlibat.

Selain kehadiran artis popular itu, pentas yang sama turut meriah dengan persembahan kebudayaan tempatan, promosi tenunan Pahang, ukiran tembaga, anyaman mengkuang, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan melalui kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia bagi memudahkan orang ramai membeli pakej pelancongan domestik.

Sebanyak 72 buah gerai terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan pengusaha produk pelancongan domestik mengambil bahagian menjayakan promosi itu.

Pengunjung juga sangat bertuah kerana selain boleh memilih pakej-pakej pelancongan domestik yang disediakan, mereka dapat mengelilingi bandar Kuantan dengan bas dua tingkat, dikenali sebagai Hop On Hop Off (HOHO) yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, dengan bayaran minima.

Program anjuran Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan itu akan meneruskan siri promosinya di Kuching, Sarawak pada 31 Julai hingga 2 Ogos ini dan berakhir di Zon Selatan iaitu di Johor Bahru pada November akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: