Wednesday, May 20, 2009

Tiga lagi program realiti menarik di ntv7


PEMINAT siri realiti TV tentunya begitu teruja apabila ntv7 terus menghidangkan tiga lagi program realiti yang popular dari Amerika, America’s Got Talent Musim 3, American Inventor Musim 2 dan America’s Toughest Jobs.

Dihoskan oleh Josh Temple, personaliti ternama yang sentiasa tampil dalam filem, radio, TV dan teater, program realiti America’s Toughest Jobs akan memaparkan 13 peserta yang berjuang untuk mempamerkan keupayaan mereka menggalas pelbagai cabaran.

Setiap minggu, mereka berhadapan dengan tugas sukar yang memerlukan kesabaran dan melalui proses penilaian oleh ketua mereka. Seorang demi seorang meninggalkan rancangan selepas disahkan tidak layak untuk meneruskan perjuangannya.

Pada episod pertama yang mula bersiaran pada 18 Mei lalu, mereka diuji dalam kemahiran menangkap ketam di Dutch Harbor, Alaska. Pada penghujung pengembaraan itu, mereka kembali ke pelabuhan di mana terletaknya seorang kapten kapal yang digeruni dengan pembahagian tugas yang memerlukan mereka untuk membina bahagian kapal dan sekiranya ia mengikut syarat yang telah ditetapkan, mereka akan diberi pelepasan untuk tugas yang seterusnya dan jika tidak, mereka perlu meninggalkan rancangan itu.

Juara adalah peserta yang berjaya membuktikan dia mempunyai kekuatan stamina fizikal, mental dan keupayaan untuk menerobosi segala jenis keadaan yang mencabar. Pemenang juga akan diberi hadiah berupa wang yang akan mewakili jumlah pendapatan yang akan mereka peroleh dari tugas yang telah dilakukan. Jadi berjayakah individu ini menerima jolokan America’s Toughest Jobs? Saksikan America’s Toughest Jobs, setiap Isnin, 8.30 malam mulai 18 Mei lalu hanya di ntv7.

Tiada batasan umur, tiada sempadan bakat dan tiada peluang kedua. Daripada Simon Cowell dan penerbit American Idol, tibalah suatu pencarian bakat yang pelbagai dan unik di seantero Amerika Syarikat. Siri rancangan realiti ternama ini kembali dengan pengacara yang cukup menghiburkan, Jerry Springer di samping panel hakim yang cukup digeruni, Sharon Osbourne, Piers Morgan serta David Hasselhoff.

Kembali dengan format variasi yang dicipta khas untuk mempamerkan budaya Amerika yang beraneka warna, America’s Got Talent memaparkan bintang yang menawan daripada penyanyi, penari, pelawak dan pelakon dari semua lapisan umur yang didukung oleh satu misi utama yang sama iaitu untuk dinobatkan sebagai juara musim ketiga dengan memenangi satu juta dolar Amerika.

Hanya akan ada satu pemenang, sama ada seorang individu atau kumpulan yang berbakat. Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan siri realiti terkenal, America’s Got Talent Musim ketiga, setiap Selasa, 8.30 malam mulai semalam.

Seterusnya, jangan lepaskan siri realiti terbaru yang mencari individu kreatif dalam ciptaan sesuatu yang baru. American Inventor Musim 2 kembali dengan rekaan yang lebih kreatif, unik dan inovatif mulai 22 Mei setiap Jumaat, 8.31 hingga 9.30 malam.

Dihoskan oleh Nick Smith, seperti program lain, panel hakim akan menganugerahkan wang bernilai 50,000 dolar Amerika Syarikat untuk setiap peserta dari bandar yang berlainan bagi mengembangkan atau memperbaiki produk yang dicipta untuk ditampilkan pada pusingan separuh masa. Seterusnya, nasib peserta akan ditentukan oleh rakyat Amerika yang akan mengundi tiga calon akhir dan satu-satunya ciptaan terhebat yang akan memenangi satu juta dolar Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: