
![]() |
| |
KEJAYAAN filem Slumdog Millionaire bukan sahaja mempopularkan mereka yang terlibat dalam karya itu. Malah filem yang meraih anugerah Oscar pada Februari lalu turut berjaya mempromosikan India kepada mata dunia.
Impaknya bukan kecil dan masyarakat luar mula belajar untuk menerima segala-galanya mengenai India. Industri perfileman India atau lebih dikenali sebagai Bollywood menerima kesan paling ketara.
Muzik, pelakon, filem dan tarian mereka mula diterima lebih meluas. Turut merasai tempiasnya adalah teater muzikal popular, The Merchants Of Bollywood yang sudah muncul sejak lima tahun lalu.
"Tidak dinafikan filem Slumdog Millionaire banyak membantu kami. Filem itu secara tidak langsung telah membawa Bollywood kepada arus perdana dan membuatkan ramai ingin merasai budaya Bollywood," kata penerbitnya, Mark Brady pada sidang media mempromosikan muzikal itu.
Memaparkan muzik yang digubah oleh komposer terkemuka, A.R Rahman, kesemua 53 pelakon dan penari di atas pentas ialah mereka yang pernah berlakon dalam filem sebelum itu. Maka, ia adalah seperti membawa filem ke atas pentas.
"Semua pelakon dan penari mempunyai latar belakang dalam dunia perfileman. Maka, kesannya dengan efektif. Kami akan memaparkan 75 peratus lagu asal dan selebihnya adalah lagu-lagu popular daripada filem Bollywood. Ada juga lagu medley dan jika dihitung, semuanya dalam anggaran 48 buah lagu," tambah Mark lagi.
Dibawa masuk ke Malaysia oleh Asiapromote Ventures Sdn. Bhd., dan LD Sports Sdn. Bhd., kos permulaan sehingga pelancaran muzikal itu di Sydney, Australia pada tahun 2005 telah menelan kos AS$4 juta (RM13 juta). Namun, disebabkan mempercayai pasarannya, Mark yakin The Merchants of Bollywood satu pelaburan yang menguntungkan.
Ditambah dengan kerjasama pereka tari popular India, Vaibhavi Merchant, muzikal yang merangkumi 90 minit itu bukan sahaja popular tetapi juga mampu kekal selama ini malah menjadi satu-satunya muzikal Bollywood yang berjaya merentasi serata dunia.
Menceritakan kisah Ayesha dan impiannya ingin menjadi popular dalam dunia Bollywood, muzikal itu akan diiringi oleh tarian klasikal yang diubah dengan sentuhan elemen moden seperti funk, disco dan hip-hop.
"Ini bukannya satu projek biasa tetapi adalah sebahagian daripada hidup saya. Sebahagian besar daripada cerita hidup saya dipentaskan dalam muzikal ini. Saya telah dilatih untuk menari sejak saya tahu berjalan.
"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi guru tari. Maka, ini bagaikan satu impian menjadi kenyataan seperti apa yang dipaparkan dalam muzikal ini," kata Vaibhavi mengenai pementasan yang memerlukan penukaran 1,200 kostum dan pelakonnya dihiasi oleh 2,500 barangan kemas India.
"Kami sedang menjamu selera di sebuah restoran India yang bernama Bollywood di New Zealand. Kami sedang menonton filem di TV yang memaparkan muzik, tarian dan kostum India.
"Selepas itu kami terus jatuh cinta dengan warna, emosi, eksotik, tenaga dan tarian serta ceritanya. Dari situlah idea muzikal Bollywood terdetik. Kini muzikal ini telah berkembang menjadi produk antarabangsa."
Telah membuat lebih 600 persembahan di United Kingdom, Sepanyol, Itali, Jerman, Switzerland, Afrika Selatan dan Australia, Malaysia dipilih sebagai perhentian pertama buat negara Asia lima tahun produksi muzikal itu ditubuhkan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: