
KINI trend penyanyi bergerak sendiri tanpa bantuan mana-mana syarikat rakaman dan bertanggungjawab 100 peratus terhadap pembikinan album sudah menjadi senario biasa dalam industri muzik Malaysia.
Namun, buat penyanyi, pelakon dan pengacara, Amy Mastura yang sudah berada dalam industri seni selama 16 tahun, dia belum mempunyai keberanian untuk mengambil risiko meninggalkan syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia yang dinaunginya sejak sekian lama.
Menurut Amy, setiap penyanyi mempunyai pandangan dan misi yang berbeza kerana bukan semuanya mampu dan mahu bergerak sendirian dalam arena seni suara.
"Saya selesa dengan keadaan sekarang dan kerja saya hanya menyanyi, serta memikirkan perkara-perkara yang kreatif. Apa sahaja berkaitan perniagaan dan juga kewangan biarlah orang yang lebih arif uruskan.
"Apa yang saya tahu, saya akan dapat bahagian saya mengikut apa yang tertulis dalam kontrak dan setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin antara saya dan Sony Music," ujarnya tanpa selindung.
Tambahnya lagi, dia mengakui takut untuk menghadapi risiko jika bergerak sendiri kerana bimbang hasil yang diharapkan tidak sama seperti bekerja dengan label.
"Bergerak sendiri mungkin lebih memuaskan hati kerana semuanya kita buat sendiri tetapi hasilnya tidak tentu lagi. Belum sampai tahap untuk saya bergerak sendiri.
"Selagi kerjasama antara saya dan Sony Music boleh dikekalkan selagi itu saya akan bersama dengan label," ujarnya yang masih mempunyai baki kontrak satu album dengan Sony Music.
![]() |
| RAMAI wanita cemburu kepada apa yang dimiliki oleh Amy, sebagai artis yang berjaya mengekalkan bahagia rumah tangga. |
Menjelaskan jika kontraknya tamat, dia masih belum terfikir sama ada ingin terus bersama Sony Music atau bergerak sendiri kerana perjalanan ke arah itu masih panjang.
"Tentang itu saya tidak fikirkan lagi, biarlah ia berjalan mengikut arus yang dibawa. Saya percaya jika masih ada rezeki saya dalam bidang seni selagi itulah peminat boleh melihat dan mendengar lagu-lagu saya," tuturnya.
Ditanya apa rahsianya mengekalkan hubungan yang baik dengan syarikat rakamannya, sedangkan beberapa penyanyi terkenal pernah menghadapi masalah dengan Sony Music sehingga ada yang membawa kes ke mahkamah, Amy memberitahu tolak ansur merupakan kunci utamanya.
"Sebagai penyanyi kita tidak boleh meletakkan harga yang terlalu tinggi dan tak masuk dek akal serta membuat permintaan yang bukan-bukan walaupun ketika zaman popular.
"Dengan cara itu, saya yakin hubungan kerja yang terjalin akan sentiasa baik. Saya juga tidak pernah menganggap diri saya selebriti, setiap hari saya keluar rumah dengan niat bekerja sama seperti orang lain juga.
"Cuma bezanya, kerja saya keluar di televisyen, radio, majalah dan akhbar. Itu sahaja, yang lain saya rasa kehidupan saya tidak ada bezanya dengan rakyat Malaysia yang lain," jelasnya sambil tertawa.
Album air tangan sendiri
Setelah melahirkan tujuh album iaitu, Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Puteri Impian II (1998), BintangHati (2000), Akan Datang (2002) dan terakhir Lebih Baik yang dilancarkan dua tahun lepas, Amy sepi seketika daripada persada seni suara.
![]() |
| |
![]() |
| |
Namun, rindu peminat selama dua tahun itu terubat kerana kini isteri kepada Alvin Tham Suffian dan ibu kepada dua cahaya mata, Adriana dan Adalia, kembali memeriahkan industri seni tanah air dengan kemunculan album terbarunya yang berjudul Happy.
Uniknya, album terbarunya ini boleh dikatakan sebagai album air tangan Amy sendiri apabila lima daripada 10 buah lagu yang terkandung di dalamnya merupakan karya ciptaannya sendiri.
Bukan mahu syok sendiri, tetapi kreativitinya sebagai seorang pencipta lagu sudah jelas terbukti. Kebanyakan lagu ciptaannya mempunyai lirik yang ringkas serta muzik yang cukup cathay dan sering digunakan sebagai lagu tema banyak drama serta iklan.
Antara lagu ciptaannya ialah Happy, Langkah Di Hatimu, Dingin Malam, Ini Kasihku, dan Mencapai Bintang.
"Mulanya saya cipta hanya satu lagu Happy kira kesinambungan lagu Sha Na Na, rentaknya pun sangat cathay. Selepas itu diikuti dengan lagu-lagu lain.
"Apabila lagu-lagu yang lain diterima untuk dimuatkan dalam album terkejut juga saya tetapi saya berpuas hati kerana kira separuh album ini hasil tangan saya," katanya.
Album Happy yang telah berada di pasaran sejak 5 Mei lalu juga memberi erti yang cukup besar buat Amy apabila berjaya mengumpulkan semua rakan-rakan yang pernah bekerjasama dengan album kelimanya, Bintang Hati.
"Dalam album ini, bermula daripada kulit album sehinggalah ke muzik dibantu rakan-rakan lama. Antaranya Goh Boon Hoe yang merupakan orang terpenting dalam kejayaan album Bintang Hati serta Amri Ginang, orang yang sama mengambil gambar kulit album Bintang Hati.
"Bila album dibuat bersama rakan-rakan, keuntungan bukan lagi perkara utama tetapi kepuasan dalam membikin album yang diutamakan," ujarnya yang merakam semua lagu di studio milik Goh Boon Hoe iaitu di Bumble Bee Studios, Jakarta, Indonesia.
![]() |
| AMY terus kekal dengan peribadi sebagai orang biasa walaupun menjadi artis popular. |
Selain lima buah lagu ciptaannya, Amy juga bekerjasama dengan beberapa komposer lain seperti Lah, Killik, Axon, Rizal, Panji dan Putra dalam album yang dijual pada harga RM29.90 ini.
"Dalam album Happy ia menggabungkan komposer lama dan baru kerana ingin menyuntik elemen yang lebih segar, harap peminat boleh menerimanya," jelas Amy yang telah pun merakam klip video di bawah arahan pengarah, Aziz M.Osman.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: