![]() |
| AWAL mendapat banyak pengajaran positif selepas berlakon |
DIAWAL pembikinan filem Syurga Cinta terbitan Metrowealth Production Sdn. Bhd. (MIG), yang berunsur islamik banyak tentangan dan kekangan yang terpaksa dihadapi.
Bukan sahaja dikatakan meniru karya daripada pembikin filem Indonesia menerusi filem Ayat-Ayat Cinta dan Kiamat Sudah Dekat tetapi mendapatkan kritikan hebat apabila foto kontroversi pelakon utamanya Awal Ashaari mengenakan subang sambil memakai jubah dan serban disiarkan di akhbar ketika penggambaran filem ini berlangsung.
Namun, semua itu bukan halangan buat produksi yang dikepalai oleh pengarah Ahmad Idham, malah semua cerita-cerita panas dianggap sebagai satu cabaran buat dirinya untuk mengekalkan reputasi sebagai pengarah berkaliber.
Menurut Idham yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Syurga Cinta lakonan Awal, Heliza Helmi (Heliza) dan Muhamad Hadziq Hazem (Haziq), Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam di TGV Mines Shopping Fair, Seri Kembangan baru-baru ini segala publisiti yang diberikan baik negatif mahupun positif, amat membantu melariskan filem ini.
"Saya tidak kisah, walaupun mendapat tentangan hebat tetapi saya mempunyai alasan untuk berbuat demikian terhadap watak dalam filem arahan saya.
![]() |
| HELIZA banyak belajar daripada pelakon lama seperti Awal. |
"Malah, saya kupas balik isu kontroversi itu dalam filem. Selepas penonton menonton filem ini baru mereka memahami kenapa saya berbuat demikian.
"Kalau nak ikutkan sekarang ini memang bersepah orang lelaki memakai subang dan itu realiti yang ingin ditampilkan," tuturnya.
Jelasnya lagi, meskipun banyak pihak cuba membuat perbandingan antara filemnya dan beberapa filem berunsur islamik yang lain, Idham dengan tenang mengatakan filemnya terlalu berbeza untuk disamakan dengan filem-filem tersebut.
"Memang judul ceritanya nampak berat tetapi sebenarnya ia sebuah komedi ringan untuk seisi keluarga tetapi mempunyai mesej yang cukup berguna.
"Saya tahu kalau saya sampaikan secara berat pasti tiada siapa yang nak tengok filem ini, tetapi sepanjang filem ini orang ketawa sahaja.
"Ini bermakna ia sebuah filem yang sangat ringan, saya harap penonton tidak akan terbeban dengan mesej dan judulnya, saya berharap mereka menonton sambil berhibur," luahnya.
Tambah Idham lagi, pada mulanya amat sukar buat dirinya untuk memilih pelakon perempuan bagi memegang watak Syuhadah kerana ingin mencari pelakon yang bukan hanya memakai tudung di dalam filem tetapi juga dalam kehidupan realiti kerana skripnya dicampurkan dengan hadis dan Al-Quran.
![]() |
| |
"Saya boleh saja guna pelakon yang tidak bertudung dan pakaikan mereka tudung dalam filem ini, tetapi akan nampak kekok kerana mesejnya hanya kekal dalam filem sahaja.
"Sebab itu, kami telah menyenaraikan beberapa nama selebriti tempatan yang bertudung termasuk Heliza dan dalam ramai-ramai itu dia menepati kriteria yang saya inginkan," ujarnya.
Ditanya, tidak takutkah mengambil pelakon baru seperti Heliza dan Haziq memegang watak utama.? Mereka bukan saja tiada pengalaman, tetapi khalayak peminat yang cukup terhad. Idham kemudian mengatakan, dia tidak percaya pada konsep pelakon menjual filem sebaliknya filem yang menjual pelakon.
"Banyak filem saya yang menggunakan bakat baru, kalau kita tidak beri peluang bagaimana industri hendak mencari pelapis.
"Apa yang saya lihat, Heliza seorang pelakon yang bertutur secara mendatar. Kalau pengarah lain mesti dah tolak sebab nampak macam kayu, tetapi itu yang saya mahukan. Dia juga seorang yang sangat rajin bertanya dan persembahannya membanggakan buat pelakon baru sepertinya," kata Idham lagi.
![]() |
| |
Berkenaan skrip filem ini, Ahmad Idham memberitahu selain ditulis oleh panel penulis skrip MIG, ia turut dibantu oleh mereka yang pakar tentang agama untuk memperkuatkan lagi jalan cerita dan bahasanya.
"Kalau diamati dengan teliti, semua dialog yang dituturkan pelakon mempunyai makna di sebaliknya dan maksud setiap dialog amat tajam terutama yang membabitkan hadis dan falsafah," terangnya.
Penerbit filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini, David Teo mengharapkan kejayaan julung kali filem genre islamik selepas kegagalan filem genre serupa terbitannya dahulu iaitu Syukur 21.
Menurut David, dia sebenarnya sudah lama merancang untuk menerbitkan filem yang mempunyai mesej ketuhanan meskipun dituduh sebagai penciplak idea karya-karya seumpamanya.
Bagi David walaupun filem Syurga Cinta memiliki mesej yang serupa tetapi dia bukannya meniru idea sesiapa kerana apa yang dipaparkan dalam filem ini berlaku di mana-mana sahaja termasuk Malaysia.
"Genre filem seperti ini universal dan boleh berdiri dengan sendirinya walaupun ia membuatkan penonton tertawa. Saya memang sengaja memilih konsep sebegitu kerana dalam tawa orang akan berfikir.
"Awal dan Heliza nampak serasi dalam filem dan kalau sambutan menggalakkan berkemungkinan besar akan sambung lagi tetapi tidak tahu sama ada mahu lakukan sekuel atau pun filem lain," tutur David.
Air mata Awal
Menyentuh tentang pelakonnya pula, Awal yang memegang watak Irham seorang anak orang kaya yang hanyut dan lupa jalan yang benar memberikan lakonan yang berkesan tidak seperti enam filem lakonannya sebelum ini.
Perkara itu turut diakui oleh Awal yang juga terkejut dengan kemampuan dirinya memberikan lakonan semula jadi bukannya dibuat-buat.
"Setelah berlakon filem ini baru saya tahu apa erti lakonan yang sebenar. Selama ini kalau orang panggil berlakon main belasah saja, tengok pelakon senior berlakon saya pun ikut saja.
![]() |
| TERAJU Syurga cinta, dari kiri Awal, Heliza dan adik Haziq. |
"Tetapi filem ini lain, skripnya yang nampak klise pada mulanya tentang anak orang kaya, di mana watak yang sering saya bawakan dalam beberapa filem sebelum ini, ternyata berbeza setelah dicampur dengan hadis-hadis.
"Ia sekali gus menyentuh jiwa saya. Sebelum ini semua adegan menangis sukar untuk saya lakukan, kadang-kala tidak keluar pun air mata. Namun, dalam Syurga Cinta saya benar-benar menangis sampaikan babak di mana Idham hanya mahukan air mata bergenang di kelopak mata tetapi saya pula menangis sakan," katanya dalam tawa.
Apabila ditanya tentang Heliza, Awal menyifatkan gadis kelahiran program Akademi Fantasia itu mampu pergi jauh dek kerajinan dan kesungguhan yang ditunjukkan.
"Heliza dia rajin bertanya sampai saya pada mulanya naik rimas, tetapi lama-lama saya yang datang ke lokasi tidak bersedia apa terus bertukar menjadi rajin kerana melihat dia yang bersungguh-sungguh.
"Kami juga selalu berbincang sebelum penggambaran bermula, dan hasilnya kami nampak serasi dalam filem," jelasnya tentang gadis berusia 23 tahun itu.
Heliza terlebih lembut
Heliza pula yang tidak dapat menyembunyikan perasaan gugup apabila melihat lakonan sulungnya memberitahu, dia tertarik untuk menerima tawaran filem ini kerana mesej yang ingin disampaikan.
Tambahan watak sebagai seorang guru dalam filem ini umpama melakonkan wataknya sendiri yang akan menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sabah pada 15 Jun depan.
"Saya mengambil jurusan pendidikan Biologi dan Kimia, kira berlakon watak sendirilah. Mula-mula takut, tetapi dengan tunjuk ajar semua orang ketika di lokasi lama-lama jadi seronok pula," jelas Heliza.
Jelas gadis bermata bundar ini lagi, berkenaan watak Syuhadah, meskipun mempunyai persamaan tetapi kelembutan yang ditonjolkan dalam filem sedikit berbeza dengan dirinya.
"Dalam filem ini saya lembut sangat sedangkan di luar saya agak lasak. Namun, itulah watak yang diinginkan pengarah. Saya sudah berikan yang terbaik dan rasanya banyak lagi yang perlu diperbaiki." tuturnya yang menganggap lakonan sebagai satu cabaran.
Filem Syurga Cinta akan ditayangkan pada 21 Mei depan. Ia bermula sebagai pertaruhan buat Irham (Awal) dan rakan-rakan yang memintanya bercinta bersama gadis bertudung selama sebulan iaitu Syuhadah (Heliza).
Irham yang membesar sejak kecil di luar negara dan hanya Islam pada nama tetapi tidak pada kelakuannya yang penuh noda cuba memenangi pertaruhan itu.
Secara kebetulan Syuhadah bekerja sebagai guru di sekolah adik angkatnya, Ikmal (Haziq), oleh itu dia telah meminta bantuan Ikmal untuk menjayakan misinya itu.
Namun dalam tempoh sebulan, Irham berubah secara sedikit-sedikit tetapi adakah dia berjaya berubah sepenuhnya atau pun tidak? Nantikan filem ini di pawagam terdekat anda.





No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: