Tuesday, May 12, 2009

Tiara terjebak dalam dua dunia




BAGI gadis yang berusia 22 tahun, soal mencari jodoh, cinta dan mencintai orang lain bagai menjadi situasi yang terbiasa. Tidak hairanlah apabila ada yang berpendapat kalau belum punya teman istimewa pada umur itu, nampaknya putaran kehidupan seseorang bergelar manusia belum terukir sempurna.

Itu cuma kata-kata nakal yang sering dimainkan di bibir orang, namun tidak semestinya ia benar dan harus diikuti oleh orang lain.

Sama halnya dengan pelakon dan penyanyi baru, Tunku Tiara Yasmin Sofia yang lebih dikenali sebagai Tiara. Dia belum terfikir untuk mencari teman lelaki.

Meskipun usianya sudah berada di tangga 22, namun dia belum memiliki individu istimewa buat masa ini apatah lagi empunya diri ingin berusaha dengan gigih untuk memulakan langkah dalam dunia seni.

"Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan daripada bercinta kerana saya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang lakonan dan nyanyian terlebih dahulu.

"Tidak semestinya kalau sudah berusia 22 tahun, saya kena ikut macam orang lain kena ada kekasih," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri, Gadis Cuci yang diadakan di Damansara, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, kelibat Tiara sering sahaja dilihat muncul dengan ditemani ibunya, Zuraida Selamat ketika menghadiri acara keramaian yang berkaitan dunia seni.




Lantaran itu, timbul persoalan apakah ada golongan lelaki di luar sana yang takut untuk mendekati Tiara disebabkan dia sentiasa bersama ibunya ke mana-mana sahaja.

"Soal emak saya menemani pergi ke sana sini tidak menjadi sebarang hal yang merungsingkan saya.

"Lagipun saya lebih suka kalau dia ikut saya. Tiada salahnya kalau dia hendak berada di samping saya setiap masa kerana dia juga bertindak sebagai pengurus dan pembantu peribadi saya," jawab wanita peramah itu.

Minati bidang lakonan

Tiara sebelum ini pernah menyertai rancangan realiti terbitan 8TV, One In A Million musim kedua (OIAM2), namun perjuangannya hanya terhenti sekerat jalan.

Dia tersingkir awal sekali gus membantutkan harapannya untuk bergelar juara dan meraih wang berjumlah RM1 juta.

Tidak dinafikan minatnya jelas terarah untuk bergelar penyanyi pada waktu itu. Dengan suara yang lunak, lantas membuatkan kehadiran Tiara dalam dunia nyanyian cukup dinanti-nantikan.


TIARA mula menyukai bidang lakonan.


Tetapi, entah di mana silapnya hingga kini peminat masih belum dapat mendengar alunan suara Tiara baik di corong-corong radio apatah lagi melihat dirinya muncul dengan sebuah album penuh atau mini.

Paling mengejutkan, wajah putih gebu Tiara bagaimanapun cukup sinonim di kaca TV sebagai pelakon. Tidak pula dia berdiri di pentas sambil melontarkan vokalnya seperti yang dilihat awal kemunculannya di laman seni.

"Memanglah pada mulanya saya ingin menyerlahkan bakat nyanyian, namun tawaran berlakon juga datang dalam waktu sama.

"Tidak salah kalau saya ingin mencuba. Jadi saya sengaja melibatkan diri sebagai pelakon dengan menerima watak-watak yang kecil terlebih dahulu.

"Biarlah dapat watak yang biasa-biasa asalkan saya dapat belajar banyak perkara tentang asas lakonan daripada pelakon senior lain dan pengarah," jelasnya.

Wajah Tiara boleh disaksikan dalam Gadis Cuci mulai 21 Mei nanti setiap hari Khamis pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104).

Selain Tiara, drama sebanyak 13 episod itu turut dibarisi oleh Fara Fauzana, Anne dan Darling Ngasri.

Bercerita lebih lanjut tentang wataknya dalam drama itu, Tiara memberitahu, dia diamanahkan membawa watak Diana yang merupakan anak saudara kepada tauke kedai mencuci kereta.

"Diana diibaratkan seorang wanita yang cukup berbeza sifatnya berbanding tiga rakannya yang bekerja di pusat mencuci kereta.

"Watak ini tidaklah sesukar mana kerana saya cuma menzahirkan personaliti seorang wanita yang lurus bendul, keliru dan berkomunikasi dalam stail tertentu.

"Dengan sikapnya yang lain sedikit, maka Diana sering dibuli oleh kawan-kawannya. Namun lama-kelamaan, kami mulai ada keserasian dan menjadi sahabat baik," ungkap Tiara.


TIARA ingin menghasilkan album yang mendapat seratus peratus sentuhan karyawan luar.


Ditanya mana satu pilihan hatinya sama ada menyanyi atau berlakon, Tiara menjelaskan, dia mencintai kedua-duanya sekali gus.

Kedua-duanya bagi Tiara memerlukan penumpuan serius dan mendorong dirinya menjadi lebih bertanggungjawab, selain mencabar.

"Pada mulanya Darling memberikan peluang kepada saya untuk berlakon dalam drama Nur musim kedua.

"Kemudian saya menerima tawaran lain antaranya Raya Sedondon dan Loqlaq.

"Diam tak diam, sudah lima atau enam buah drama saya sudah berlakon. Saya juga teringin untuk berlakon filem. Cuma malangnya saya belum dapat kesempatan untuk muncul di layar lebar.

"Saya teringin untuk pegang watak hantu dan berlakon dalam filem jalur seram. Ini cuma angan-angan saya, tetapi saya harap sangat dapat muncul sebagai pelakon filem kelak," jelasnya penuh harap.

Gunakan komposer Indonesia

Tiara yang meminati muzik R&B, pop dan balada juga sempat bercakap tentang penghasilan single pertamanya yang bakal muncul tidak lama lagi.

"Proses rakaman lagu yang berjudul Jangan Berikan Cinta ciptaan Uncle Joe sudah pun dilakukan, cuma saya masih menanti untuk peringkat seterusnya sebelum benar-benar boleh diperdengarkan kepada peminat.

"Pembikinan single ini sepatutnya sudah keluar sejak awal lagi, namun ia tertangguh kerana waktu saya banyak dihabiskan di set penggambaran drama.

"Jadi ia tergantung sekejap, tetapi saya tidak kisah kerana kalau boleh biarlah single saya ini dihasilkan dengan berkualiti dan tidak terlalu tergesa-gesa.

"Kalau tiada aral melintang, rasa-rasanya dalam waktu sebulan atau dua, single yang berentak rancak ini akan disiapkan," katanya yang mengagumi Tony Braxton.


TIARA teruja dapat berlakon dengan Fara Fauzana, Anne dan Darling Ngasri dalam Gadis Cuci.


Belum tamat perancangan Tiara tentang karier nyanyian, dia juga sibuk bercerita tentang album perdananya yang bakal dibikin di Indonesia.

"Idea untuk melahirkan album dengan mendapat bantuan komposer di sana, Ryan Kyoto datangnya daripada emak saya.

"Dia ada kenalan yang mengenali Ryan. Lantaran itu, emak memberikan pendapat agar album saya mendapat sentuhan karyawan di negara seberang.

"Bukan tidak mempercayai kredibiliti komposer dan produser tempatan, sebaliknya saya cuma mahu gunakan peluang yang ada untuk bekerjasama dengan pemuzik luar.

"Mana tahu suatu hari nanti saya dapat melebarkan pengaruh di negara Indonesia pula," luah Tiara yang mengeluarkan bajet sendiri untuk muncul dengan album sulungnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: