TIA dan Suzan memberi ciuman kepada anak bongsunya, Ahmad Nifail setelah selamat diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan, baru-baru ini. |
Vokalis Jinbara, tamatkan zaman bujang bersama wartawan Bintang Popular, Suzan Ahmad hujung minggu lalu
MANIS alam percintaan yang dikecapi vokalis Kumpulan Jinbara, Tia bersama kekasihnya, wartawan Berita Harian, Suzan Ahmad selama setahun, membawa mereka ke gerbang perkahwinan apabila selamat diijabkabulkan di Melaka, Ahad lalu.
Upacara pernikahan yang berlangsung di rumah pengantin perempuan di Batu 3, Pasir Puteh, Kampung Bachang, itu disempurnakan Imam Dua masjid kampung berkenaan, Abdul Rahman Ibrahim dengan disaksikan wali yang juga bapa wartawan Bintang Popular Berita Minggu itu, Ahmad Samad.
Berlangsung dalam suasana sederhana, pasangan yang berpakaian serba putih rekaan Calvin Thoo itu disahkan sebagai suami isteri apabila Tia atau nama sebenarnya Syamsul Bakhtiar Zakaria, melafazkan hanya sekali akad tepat jam 11.40 pagi.
Dengan hantaran sebanyak RM10,000, vokalis kumpulan yang popular dengan lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) itu turut membawa sembilan dulang hantaran, sambil dibalas 11 dulang oleh pihak pengantin perempuan.
Lebih 500 tetamu terdiri daripada saudara terdekat dan sahabat handai menghadiri majlis pernikahan pasangan berkenaan, termasuk artis, Jaclyn Victor, selain Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Ketua Biro Berita Harian Melaka, Amirullah Andi Nur serta wartawan Bintang Popular, Zubir Mohd Yunus.
BAHAGIA bersama tiga anak Suzan daripada perkahwinan terdahulu. |
Mengimbau detik percintaan mereka yang mula berputik sejak setahun lalu, Tia, 39, yang juga anak bungsu dari 11 beradik itu mengakui terdapat keistimewaan tersendiri pada diri isterinya dan ia mungkin tiada pada orang lain.
"Mula-mula ketika bertemu beliau di Angkasapuri, pada Mei tahun lalu.... saya seolah-olah terpandang satu nur (cahaya) pada di wajahnya. Saya tidak tahu mengapa, adakah ia hanya pandangan mata atau hati saja. Bagaimanapun, selepas mengenali hati budinya, baru saya sedar dialah yang bakal menjadi suri hidup saya.
"Memang, pada mulanya dia menolak ketika saya mengusulkan untuk melamarnya, tetapi hampir setahun selepas itu beliau akhirnya bersetuju berkahwin dengan saya," katanya yang agak sibuk melayan tetamunya yang ramai ingin bergambar pada majlis itu.
Menceritakan sejarah bermulanya episod percintaan mereka, Suzan, 34, pula berkata ia berlaku tanpa diduga.
PENGANTIN pada majlis makan beradab. |
"Saya mengatur untuk mengadakan sesi fotografi dengan ahli kumpulan berkenaan di pusat rekreasi Rimba Jinbara di Kemensah, Ulu Klang pada awal Mei tahun lalu.
"Saya terpaksa menunggu hampir sejam di lokasi tugasan itu kerana ada hanya empat rakan kumpulan Jinbara manakala Tia tak muncul langsung. Sesi itu akhirnya gagal menyebabkan hati saya kecewa dan marah," katanya yang kelihatan sentiasa tersenyum sepanjang hari bahagianya itu.
Tia yang berada disamping Suzan ketika ditemubual, sempat mencelah untuk memberi penjelasan lanjut. Sambil tersenyum dia mengakui memang berasa bersalah kerana tidak dapat menghadiri sesi fotografi itu atas faktor yang tidak dapat dielak.
Bagaimanapun selang seminggu selepas itu, katanya, dia bernasib baik kerana akhirnya dapat bertemu dengan isterinya itu, sekali gus memberi penjelasan mengenai ketidakhadirannya tempohari.
"Saya berjaya bertemu dia ketika kami sama-sama berada dalam satu majlis persembahan di Angkasapuri. Sebaik selesai mengadakan persembahan, saya mengambil kesempatan bertemunya di belakang pentas untuk memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran pada sesi fotorgrafi itu.
"Apabila dia datang, saya terus memohon maaf dan memberi penjelasan. Alhamdulillah, dia menerimanya dengan sikap terbuka dan senang hati," katanya.
Suzan pula yang menyambung ceritanya, berkata dia hanya datang untuk menyaksikan persembahan Jinbara pada malam itu apabila, tiba-tiba pengurus kumpulan berkenaan menghampiranya dan menyatakan Tia ingin berjumpa di belakang pentas.
"Apabila saya tiba, saya lihat Tia seperti orang takut, berpeluh-peluh untuk meminta maaf atas ketidakhadirannya pada sesi fotografi itu. Namun, seperti insan lain, saya memaafkannya dan berpesan supaya tidak mengulanginya pada masa akan datang.
"Sejak itu, kami saling berhubung melalui telefon serta sistem pesanan ringkas (SMS) sehinggalah akhirnya kami bersetuju untuk berkahwin," kata Tia lagi.
Dalam pada itu Suzan mengakui sifat kebapaan yang ada pada Tia khususnya ketika melayan karenah tiga anaknya menerusi perkahwinan terdahulu, iaitu Ahmad Naqiuddin,8, Qystina Nayli,6, dan Ahmad Nifail, 3. menyebabkan beliau memilih penyanyi rock itu sebagai teman hidup.
"Saya suka cara dia melayan ahli keluarga kami. Dia seorang yang baik, apatah lagi dia memang memenuhi ciri-ciri seorang lelaki yang saya minat iaitu tinggi, berambut panjang dan pandai bermain gitar," katanya.
Pasangan mempelai itu turut berharap, perkahwinan mereka akan berkekalan hingga akhir hayat.
Majlis di rumah pengantin lelaki dijadual berlangsung di Taman Seri Andalas, Klang pada 14 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: