Wednesday, May 27, 2009

Keistimewaan dan kekurangan saluran TV Astro


dari kiri; VJ Khushboo, afdlin Shauki, Lisa Surihani dan Farid Kamil pada majlis pelancaran Mustika, baru-baru ini.

ASTRO adalah satu lagi kumpulan media berpengaruh ketika ini dalam perkhidmatan TV dan radio komersial Terus Ke Rumah atau Direct-To-Home (DTH). Ia memulakan operasi pada tahun 1996 dengan 22 saluran tetapi sekarang menyediakan lebih 100 saluran TV berbayar dalam empat bahasa - bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil - ke seluruh negara dan Brunei. Astro juga kini mempunyai dua juta pelanggan.

Kumpulan ini juga mengendalikan lapan daripada 17 stesen radio digital dengan lapan daripadanya adalah radio FM terestrial (radio percuma). Semua stesen radio ini secara keseluruhan mempunyai kira-kira 11 juta pendengar.

Baru-baru ini, TV Astro melancarkan pakej terbaru yang dikenali sebagai Mustika. Pakej Mustika ini yang ditawarkan pada harga RM12.90 mengandungi tiga lagi saluran baru iaitu Astro Warna, Astro Citra dan Astro B4U.

Pakej Mustika adalah antara beberapa pakej ditawarkan oleh Astro selain Dynasty, Maharaja, Astro On Demands, Astro Box Office Movies atau Astro Box Office Sport. Ia sebenarnya adalah kreativiti Astro untuk meningkatkan pendapatannya. Ia memberi pilihan kepada penonton. Bagi pelanggan yang berkemampuan mungkin boleh menambahkan pakej ini.

Kita juga akui betapa Astro juga sudah berusaha sebaik mungkin untuk memantapkan kandungannya. Dalam hal ini sudah tentu mereka memperbaiki kualiti perkhidmatan dan kandungan untuk saluran Astro Ria, Astro Prima, Oasis dan Ceria. Begitu juga dengan saluran yang khusus dengan kandungan berita iaitu Astro Awani.

Astro Awani juga semakin baik dan mendapat perhatian penonton apabila pengurusannya memperkenalkan pelbagai segmen dan slot baru sejak akhir-akhir ini.

Sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku dalam negara, sudah tiba masanya Awani memperkenalkan slot khusus untuk berita domestik.

Ketika ini, hal ehwal berita domestik kadang-kadang bercampur aduk dengan berita luar negara seperti dalam Awani Global. Malahan saluran Awani boleh menggunakan kelebihan yang dimiliki dengan melaporkan berita tempatan secara lebih mendalam dan terperinci kerana tempoh masa yang panjang.

Lagipun, inilah kelebihan saluran Astro Awani berbanding stesen lain yang waktu siaran beritanya agak terhad.

Hanya saluran Kirana saja sudah tiada. Kita tidak pasti sama ia digantung sementara waktu atau dimansuhkan terus bagi memberi laluan kerana tiada sebarang makluman diberikan daripada Astro.

Bukan saja saluran bahasa Melayu, pastinya Astro turut membuat tindakan yang terhadap kandungan dalam bahasa Cina dan Tamil.

Dalam persaingan yang sengit, sememangnya setiap stesen TV dan radio akan sentiasa lebih kreatif dan inovatif dalam usaha menarik seramai boleh penonton, pendengar atau pelanggan. Kemunculan media alternatif seperti internet juga turut memberikan cabaran kepada stesen radio dan TV.

Inilah yang dilakukan oleh Astro terhadap semua saluran radio dan stesen TV di bawah kumpulannya.

Dalam usaha memberikan nilai tambah dan memperbaiki kualiti kandungan programnya, TV Astro juga perlu melihat beberapa perkara yang tidak digemari oleh penonton/pelanggan.

Ini termasuk terhadap program yang diulang siar terlalu kerap. Memang betul alasan pengurusan Astro adalah untuk memberi peluang kepada pelanggan baru, tetapi pada masa janganlah pula mengetepikan kehendak pelanggan lama yang setia dengan Astro.

Ulang siar sesuatu program memang tidak dapat dielakkan kerana selain masalah stok program baru, ia juga memberi peluang kepada penonton yang terlepas menonton program kesukaan masing-masing. Cuma, penjadualan ulang siar itu perlulah dikemaskini supaya tidak terlalu dekat.

Mungkin sesebuah program itu boleh di ulang siar dua kali sehari dan setiap tiga atau empat hari dengan waktu siaran berbeza. Harus juga diingat kadang-kadang program yang di ulang siar pun bukan program baru tetapi sudah disiarkan di stesen TV lain pula. Jadi, program seperti ini jarak waktu ulang siar mestilah lebih jauh.

Selain ulang siar program, satu lagi perkara yang mengganggu keseronokan menonton program di Astro ialah kekerapan menyiarkan iklan promo.

Ini tidak berlaku dalam pakej Movies atau program yang disiarkan secara langsung.

Apa yang kerap berlaku ialah apabila menonton di saluran dokumentari seperti Discovery, National Geographic, History, Science & Technology, Travel, AFC, AXN dan sebagainya.

Ada ketikanya tertanya-tanya perlukan iklan promo program sendiri ini dibuat dengan bertalu-talu kepada penonton supaya jangan lepaskan peluang untuk menontonnya. Iklan promo itu seolah-olah hendak ‘berleter’ terhadap perkara yang sama sehingga akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penonton.

Memanglah iklan atau promo program sendiri itu penting, tetapi usahlah terlalu kerap sangat siarannya. Lakukanlah secara berpada-pada. Ini sudahlah dibuat setiap hari, dibuat pula sekerap yang boleh, bukan saja pada satu saluran, tetapi hampir semua saluran. Ia benar-benar ‘satu seksaan yang melemaskan penonton’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: