Wednesday, May 27, 2009

Program khas bantu artis gawat

Karyawan wujud pangkalan data lagu baru

USAH dipedulikan lagi masalah krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini kerana jika kebimbangan itu sentiasa bermain di minda, nescaya semuanya yang dirancang tidak akan menjadi.

Menjurus kepada industri hiburan hari ini, pelbagai cara masih lagi boleh dilakukan karyawan tempatan untuk meneruskan perjuangan dan kesinambungan industri muzik kita agar tidak terus terkubur.

Masih ramai lagi artis, terutama yang baru menapak di dalam industri ini, gentar untuk menghasilkan album memandangkan kos untuk menghasilkan album penuh memerlukan modal yang besar, paling tidak pun RM50,000 bagi satu album.

Bakat sudah dikesan namun ke mana haluan harus dibawa untuk kerjaya sebagai penyanyi sekiranya tidak ada pihak yang berminat untuk mengambil tahu perihal artis baru ini.

Dalam diam, rupa-rupanya Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebenarnya sudah memasang strategi untuk membantu artis tanah air yang masih terkejut dengan masalah yang melanda sehingga menjejaskan ekonomi dunia.

Melalui program yang dipanggil Program Artis, Komposer dan Single, artis sama ada baru atau lama serta komposer dapat terus berkarya.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, objektif utama untuk menyemarakkan kembali industri hiburan melalui program yang bakal dilaksanakan ini akan memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

“Karyawan sentiasa memikirkan apakah yang akan dilaksanakan untuk terus membantu industri hiburan hari ini. Program ini berupa satu usaha mengumpul seberapa banyak karya daripada komposer profesional yang bernaung di bawah biro komposer kita.

“Kita akan menggalakkan komposer tempatan menghasilkan seberapa banyak karya untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan. Kita juga menggalakkan komposer baru untuk terbabit sama dalam program ini.

“Namun semua karya yang dihasilkan komposer akan dinilai panel profesional bagi memenuhi kualiti dan piawaian yang diperlukan stesen televisyen dan radio sebelum dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan,” katanya yang akan membahagikan beberapa genre muzik di dalam pangkalan data itu.

Antara komposer yang bakal terbabit dalam program ini diketuai oleh M Nasir, Aidit Alfian, Aznan Alias, Tam (Spider), Ajai, Ad Samad dan Neves (Pretty Ugly).

Tujuan Karyawan mengumpul seberapa banyak karya dari komposer adalah untuk memberi laluan mudah kepada artis terutama artis baru yang ingin memulakan langkah pertama sebagai penyanyi.

“Kita menyedari ramai artis baru yang ingin merakamkan lagu tetapi tidak mempunyai modal untuk berjumpa dengan komposer dan memulakan proses rakaman. Caranya kini mudah, artis harus menjadi ahli kepada Karyawan dan dia bebas memilih lagu mengikut kehendaknya melalui pangkalan data yang kita sediakan.

“Melalui program ini, Karyawan menyediakan kesemua kemudahan untuk penyanyi bermula menghasilkan lagu sehingga mempromosikan di stesen radio dan TV. Namun mereka harus membayar kos penerbitan dengan nilai yang paling rendah daripada kos yang dikenakan di luar.

“Kita turut menyediakan kontrak kerjasama ini agar tidak ada pihak yang akan tertipu dan saya amat yakin dengan cara ini keselamatan komposer dan penyanyi akan lebih terselamat,” katanya yang menetapkan kos minimum sebanyak RM6,000 bagi satu single.

Pelaburan jangka panjang ini juga akan dirancang dengan teliti untuk melaksanakan pelbagai agenda seterusnya.

“Menerusi lagu yang sudah diterbitkan ini juga kita akan memperkenalkan lagu ini melalui muat turun telefon yang dapat menjana pendapatan penyanyi dan komposer secara berterusan.

“Selain itu apa yang kita nampak sebaik RTM memperkenalkan muzik aktif yang boleh disaksikan di saluran 180 Astro, banyak peluang yang boleh diambil oleh artis sekiranya mereka menghasilkan lagu bersama video klip. Kita mempunyai hubungan yang baik dengan RTM dan mereka turut memerlukan bahan yang baru dari artis tempatan untuk disajikan kepada penonton.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masalah industri kita. Peluang inilah yang harus diambil oleh artis untuk memasarkan bakat mereka,” katanya yang akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk memperkenalkan Program Artis Komposer dan Single.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi terus pejabat Karyawan di talian 03-79552967 atau melayari laman web karyawan www.karyawan.com.my.

Bee Gees Show kutip skim pencen

BAGI mengisi tabung dana kebajikan artis Karyawan untuk Skim Pencen Karyawan, penganjur Music For KL akan mengadakan persembahan istimewa Sempena The Australian Bee Gees Show.

Persembahan majlis makan malam yang akan diadakan di Ballroom Sunway Resort And Spa di Bandar Sunway pada 31 Mei ini turut menyediakan tempahan meja untuk menyaksikan persembahan The Bee Gees dengan lagu malar segar mereka.

Menurut Freddie, pihaknya kini sedang membantu seramai 27 artis veteran dengan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan kepada penerima skim ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat penganjur Music For KL di atas keprihatinan mereka untuk menderma ke tabung kebajikan ini dan membolehkan kami pihak Karyawan dapat meneruskan program pencen untuk artis veteren.

“Biarpun persembahan pada malam itu nanti bukanlah The Bee Gees yang asli tetapi sebuah kumpulan yang sudah menjelajah ke seluruh dunia dengan lagu yang pernah dipersembahkan oleh Bee Gees.

“Walaupun mereka ini bukanlah kumpulan The Bee Gees yang asli tetapi mereka cukup popular kerana sememangnya mereka membawa nama, imej dan gaya persembahan menyerupai kumpulan yang asli.

“Persembahan itu nanti adalah konsert dengan pelbagai dimensi bunyi yang menakjubkan serta pencahayaan yang bakal memukau penonton,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: