Wednesday, May 13, 2009

Tangguh rakam lagu


PELAKON jelita, Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan (Quiara), 21, yang mula dikenali selepas menyertai program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene dan One In A Million (OIAM) musim kedua kini dalam proses menghasilkan lagu single.

Bagaimanapun, rakaman lagu itu belum siap sepenuhnya kerana dia perlu menyelesaikan penggambaran telefilem terlebih dulu.

"Lagu single itu ciptaan bapa saudara saya, Pak cik Joe, berjudul Jangan Berikan Cinta. Selepas single pertama itu sudah dimainkan di radio, barulah saya akan merakamkan album penuh 10 lagu.

"Cadangnya mama (Zuraida Welham) mahu membuat pembikinan album itu di Indonesia yang akan dibantu komposer negara itu, Ryan Kyoto. Dia juga akan turut mempromosikan album itu di sana.

"Ryan juga akan menggubah beberapa lagu untuk album itu dan selebihnya lagu ciptaan komposer tempatan. Saya teringin sangat hendak bekerja dengan Aubrey Suwito, tetapi sekarang ini khabarnya dia terlalu sibuk. Saya tak kisah sangat hendak buat album di mana pun asalkan ia menjadi kenyataan.

"Bajet album sendiri dan saya harap dapat buat yang terbaik. Selain itu saya juga aktif berlakon dan sudah membintangi beberapa drama dan telefilem. Begitulah perubahan hidup yang dilalui daripada model, saya mencuba bakat dalam bidang nyanyian dan sekarang berlakon pula.

"Kedua-dua bidang itu saya minat dan biarlah ia berjalan seiringan. Selepas berlakon rasa seronok pula. Apabila orang tanya yang mana satu saya minat, tak tahu hendak jawab apa kerana saya suka menyanyi dan berlakon.

"Harap lepas ini dapat berlakon filem seram kerana kami sekeluarga suka menonton cerita seram. Saya mahu merasai sendiri macam mana berlakon dalam filem seram," katanya yang ditemui pada pelancaran program televisyen Megadrama Astro, baru-baru ini.

Quiara yang juga kerabat diraja Johor tidak keberatan bergaul dengan kru dan pelakon lain di lokasi kerana pada pandangannya yang penting dia dapat menimba ilmu dan pengalaman.

"Tiada bezanya saya dengan orang lain. Kami berkongsi minat yang sama dan melalui pergaulan itulah saya dapat memperkayakan ilmu lakonan,: katanya.



Antara drama lakonannya, Raya Sedondon, Kerana Karina 2 dan Sadis.



Quiara yang masih solo dan anak perempuan daripada empat beradik sejak berkecimpung dalam dunia seni lebih selesa ditemani ibu.

"Tiada rasa terkongkong kerana saya dengan mama macam kawan. Kami boleh berkongsi apa saja cerita dan mama lebih tahu apa yang baik buat saya. Sebab itu apa saja cadangan mama dengan hati terbuka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: