Wednesday, May 13, 2009

Tampil kelainan, lebih ceria


SEJAK 4 April lalu genap setahun program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9 disiarkan. Program yang disiarkan setiap Jumaat hingga Sabtu bermula jam 8 pagi itu ternyata mempunyai kelainan yang tersendiri.

Tidak dinafikan keunikan program yang dijalankan secara santai itu berjaya menarik minat penonton terpaku di hadapan televisyen awal pagi untuk mengikuti topik dan program yang disiarkan.

Sesuai dengan operasi stesen televisyen yang terkenal dengan tagline, Di Hatiku yang menjangkau usia tiga tahun. Penampilan program berkenaan juga disifatkan lebih ceria dan kontemporari selaras dengan usaha stesen televisyen itu dalam menyiarkan pelbagai program menarik dan bermutu bagi memenuhi cita rasa penonton setianya.

Demi memastikan program berkenaan sentiasa menjadi pilihan penonton setianya, pihak penerbitan TV9 turut melakukan beberapa perubahan dan pembaharuan membabitkan pengisian program serta pengacaranya.

Penerbit Eksekutif, Wan Sabariah Shikh Ali berkata perubahan berkenaan dilakukan demi memantapkan dan menambah kandungan program itu.

“Program ini ternyata berbeza dengan program bual bicara yang sedia ada. Di samping disiarkan secara langsung ia turut menampilkan persembahan kumpulan muzik secara langsung.

“Begitu juga membabitkan rakaman menerusi siaran luar. Malah menerusi pemerhatian kami konsep seperti ini sudah banyak dipakai oleh stesen televisyen yang menyiarkan program bual bicara. Jadi untuk memantapkan kandungan ini kami perlu melakukan pembaharuan dan perubahan,” katanya.

Menurutnya, pembaharuan sejak 8 Mei lalu membabitkan kandungan segmen dan pengacara yang terbabit menerusi program yang disiarkan sepanjang tiga hari seminggu itu.

Program ini muncul dengan wajah baru serta menjanjikan informasi yang lebih padat serta pelbagai, berbeza dengan rancangan bual bicara yang sedia ada. Ia menampilkan tiga tema menarik setiap Jumaat iaitu Rest & Relax sementara Sabtu (Savvy & Witty) dan Ahad (In Style).

Ketiga-tiga tema yang dipilih ini bersesuaian dengan jiwa penonton yang inginkan kepelbagaian maklumat sebagai juadah pembuka minda pada hujung minggu. Penonton bukan hanya disajikan dengan wajah baru yang lebih menarik, malah segala topik perbincangan juga semakin kreatif dan memberi maklumat bermanfaat.



Segmen Rest & Relax dikendalikan oleh Aziz Desa disamping Sharifah Shahirah mengetengahkan beberapa segmen seperti Tolong jawab, di mana hos akan mengemukakan soalan mengenai isu semasa kepentingan umum yang mendesak, segmen Eh Dia Ni, dan segmen Jom Cuti. Disamping segmen Diari atau ‘Public Service Announcement’ yang menyentuh isu sosial masa kini.



Manakala program Sabtu yang menampilkan pengacara baru, Abu Talib dan Syarifah Nur mengetengahkan tema Savvy & Witty atau prihatin & bijak. Antara segmen yang ditekankan adalah Yang Terhangat iaitu jemputan yang dikategorikan penting, selain segmen 1 Malaysia video, foto, surat, filem dan teater.

Selain segmen baru whatever/Gen Y yang ditujukan khas buat remaja meluahkan masalah yang dihadapi bersama kaunselor yang bertauliah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Turut disiarkan persembahan komedi dan penampilan istimewa artis jemputan.

Bagi peminta gaya dan fesyen, pagi Ahad yang membawa tema ‘In Sytle‘ pasti memberi kepuasan menonton serta menyegarkan minda. Dihoskan oleh Farrah Adeeba dan Syarifah Nur menerusi empat segmen utama menarik iaitu Tip Top, Pedas, Jom Masak, Polis & Orang Ramai dan Cantik (Fesyen & kecantikan).

Malah segmen E Gosip yang membabit isu semasa dunia seni dipetik daripada keratan akhbar turut dikupas menerusi program hujung minggu itu.

Program yang masih mengekal format santai dan bermaklumat malah perubahan berkenaan menunjukkan paparan bukan hanya untuk golongan berusia malah sesuai ditonton oleh generasi muda khususnya remaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: