Bagi Intan Ladyana hidupnya bukan untuk orang lain, akur lumrah dunia anak seni yang ada kala dipuji, ada kala dikeji
TIGA tahun mengorak langkah sebagai anak seni, masih ada pihak yang meragui bakat seni gadis kacukan Melayu dan Thailand bernama Intan Ladyana ini.
Tidak benar jika ada yang mengandaikan dakwaan sebegitu menjadi kudis buat dirinya kerana hakikat sebenarnya, gadis berusia 26 tahun ini tidak mempedulikannya. Malah, dia terus kuat berjuang mengatur langkah untuk sampai ke tahap sekarang.
Baginya dia hidup bukan untuk orang lain dan lumrah bergelar manusia ataupun selebriti, ada kalanya dipuji dan begitulah sebaliknya.
"Saya sedar bukan senang untuk memuaskan hati dan perasaan orang. Saya sudah malas nak ambil 'pot'. Orang yang sudah lama dalam bidang seni pun dikutuk, inikan pula saya yang masih baru.
"Saya hanya mengikut aturan hidup dan apa yang saya lakukan demi mencari duit meneruskan kehidupan mendatang. Saya pun tak menganggap diri sudah popular atau paling mudah untuk berlagak diva," pintasnya pada awal perbualan.
Seiring usia pembabitan seninya, dia pernah menjalin cinta dengan pakar kesihatan, Kevin Zahri. Biarpun tidak terlalu gemar mendedahkan hubungan yang terpateri, pasangan ini lebih suka mengalih perhatian supaya cinta yang disemai tidak terlalu diperkatakan.
Namun belum sempat benih cinta yang dibina itu terus mekar, khabar duka singgah menyapa apabila kasih yang diharap berpanjangan tidak mampu lagi dipertahankan. Tamat sudah riwayat cinta antara mereka, ikatan itu terlerai perlahan-lahan tanpa isyarat tertentu.
Dan belum sempat berakhir kisah perpisahan mereka, tersebar pula gosip baru yang kencang diperkatakan mengenai Intan kononnya sudah menemui pengganti. Lelaki yang dimaksudkan itu ialah seorang pelakon baru yang boleh tahan kacaknya iaitu Kamal Adli. Malah mereka turut berlakon sama di dalam drama Bionik yang bakal menghiasi slot Aksi di TV3 tidak lama lagi.
Paling mengelirukan, Kamal sebelum ini difahamkan sudah mempunyai kekasih. Apakah Kamal dan Intan masing-masing mungkin sedang mengubat kedukaan selepas putus cinta? Ditanya kepada Intan mengenai kisah ini dia sebolehnya tidak mahu memberikan komen lanjut.
"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu isu ini terus digembar-gemburkan. Saya rasa isu dengan Kamal ini timbul mungkin disebabkan kami sudah kembali solo. Difikir-fikirkan stres juga apabila ia mula hangat diperkatakan sedangkan kisah saya dengan Kevin baru saja dapat dihidu media.
"Apa yang dapat dikatakan hubungan saya dengan Kamal masih di peringkat berkawan. Masih terlalu awal untuk dibicarakan. Saya tidak mahu kisah ini terus meluputkan ingatan masyarakat terhadap kerjaya saya yang baru saja berkembang," katanya memulakan bicara.
Pertemuan dengan pelakon yang juga model iklan ini baru-baru ini bukan sekadar mahu berkongsi perkembangan terbaru dan gosipnya dengan Kamal, malah mengenai isi hatinya selepas kembali solo. Malahan, susuk tubuhnya yang semakin melidi turut disangka akibat jiwa yang lara.
"Saya kurus bukan sebab makan hati kerana mengenang cinta lalu. Sebenarnya saya kurus sebab diet. Saya hanya menjamah makan pagi dan tengah hari dalam kuantiti yang sedikit. Kalau lapar sekalipun, saya sanggup bertahan dan tidak mengambil ubat-ubatan semata-mata untuk kurus.
"Mungkin juga saya terlalu sibuk menerima dan memenuhi undangan berlakon dan bayangkan tahun lalu saya memang tak menang tangan hingga tidak bercuti langsung. Bahkan gara-gara terlalu sibuk bekerja, saya pernah sampai jatuh sakit.
"Sebelum ini berat saya 43 kilogram, tapi sekarang saya tidak timbang pun berat badan. Saya selesa dengan berat sekarang ini sebab dulu pun saya berasakan diri saya terlalu berisi. Dengan saiz saya sekarang, saya dapat mengurangkan 'kebesaran' saya di kaca TV atau pun di skrin layar perak," katanya kala sedang disolek jurusolek Riezza Amour dan pendandan rambut, Zul Bastari.
"Mungkin saya kurang baik untuk dirinya"
MEMANG benar transformasi berat badannya begitu ketara kerana dia memang kurus kering. Perubahannya tidak dibiarkan begitu saja dan dek kepakaran yang ada termasuk konsep yang diingini Hip, Intan yang sudah pun muncul sebagai teraju utama drama Suria Kasandra di TV3 sejak 30 April lalu dijelmakan dalam gaya mendiang pelakon jelita lagi klasik, Audrey Hepburn.
Lagaknya persis peragawati bagi persalinan itu dan persalinan kedua cukup mempesonakan malah memudahkan kerja jurugambar bertugas bagi merakamkan pose yang dikehendaki. Mengagumi kecantikan semula jadi yang tersendiri dimiliki Hepburn, Intan sedar masih jauh lagi perjalanan seninya, lalu, dia tidak terus menjadikan alasan putus cinta sebagai tekanan untuk tidak memandang ke depan.
"Tipulah kalau saya cakap saya tidak sedih di atas perpisahan ini tapi apa nak buat, semuanya sudah tertulis begini. Bermula dengan tidak berjumpa seterusnya tidak berhubung sesama sendiri, hubungan kami menjadi tawar. Apa yang terjadi, saya anggap sebagai tiada jodoh dan ia terlalu peribadi untuk dikongsi bersama.
"Mungkin juga saya tidak cukup baik untuk dirinya dan saya yakin dia boleh dapat wanita yang lebih sesuai berbanding diri ini. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlalu memikirkan soal ini dan saya gembira dengan kehidupan sekarang. Kesibukan bekerja sedikit sebanyak membuatkan saya leka dan terus melupakan kesedihan ini," katanya.
Tidak mahu terus diasak dengan kisah peribadi, Hip mengalih perbualan mengenai survivor Intan di dalam dunia hiburan.
Katanya, masih banyak yang perlu dikejar, diasah dan dipelajari dalam usaha menjadi artis yang baik. Mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, Intan juga tidak menafikan menanam impian untuk menggenggam anugerah suatu hari nanti.
Katanya, yang bergandingan dengan Jehan Miskin dalam drama 25 episod, Suria Kasandra itu, dia tidak pernah puas dalam apa juga yang dicapainya kini. Namun, berkat kejujuran yang diterap demi mencapai sesuatu, Intan tidak sesekali menggunakan jalan pintas yang cenderung ke arah negatif demi mendapatkan tawaran serta undangan berlakon.
"Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki dan dikecapi. Itu lumrah, tapi saya hanya mengikut jalan normal serta prosedur yang betul untuk terus bergelar pelakon dan mendapatkan apa yang dikehendaki. Geram juga apabila ada segelintir manusia yang mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.
"Apa yang saya lakukan untuk terus mengekalkan kepercayaan pihak produksi, penerbit serta pengarah ialah dengan menjaga kerja yang diamanahkan, disiplin dan meningkatkan mutu lakonan. Saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak sesekali menjadi sombong dan bongkak kerana tiada apa yang perlu dibanggakan kerana nikmat yang dimiliki hanya bersifat sementara," katanya mengakhiri bicara kerana perlu bergegas ke satu lokasi bagi menyudahkan proses rakaman suara untuk filem Rempit V3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: