|
 |
| PUBLISITI mengenai dirinya agak kurang di media, namun ia tidak menghalang gadis manis ini untuk semakin galak mengorak langkah menerokai dunia hiburan tempatan. |
Baginya, apa yang penting dalam persada glamor, bukan hanya tertumpu kepada populariti sahaja malah lebih kepada penonjolan bakat.
Berpegang pada prinsip sedemikian, Nurul Aqilah Faiqah Mad Noor (Talya), 18, yang terkenal menerusi watak Maria dalam komedi Bong, cuba menceburi bidang ini tanpa memikirkan usaha efektif meraih populariti murahan.
Malah, bagi tuan empunya badan, menginginkan peminat dunia hiburan tanah air mengenali dan menilainya melalui bakat yang dipertontonkan dan bukan daripada cerita rekaan yang langsung tidak membawa kepada pembangunan diri.
"Saya tidak bermaksud publisiti tidak penting terutama apabila memasuki alam yang penuh dengan kehidupan glamor.
"Bagaimanapun, saya fikir biarlah publisiti mengenai sesuatu yang positif dan membina dalam pembentukan karier agar lebih cemerlang lagi.
"Maksudnya, saya tidak mahu dikenali dengan cerita yang ada kala tidak masuk akal seperti 'kucing hilang' dipaparkan kepada umum semata-mata bertujuan mempromosikan diri," katanya.
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, gadis kelahiran Brunei Darussalam ini mengakui walaupun sudah berlakon banyak drama, namun dia belum puas dengan lakonannya dan mahu mencuba pelbagai watak yang lebih mencabar.
"Saya percaya mereka yang terbabit dalam bidang ini tidak akan pernah berasa puas dengan apa yang dikecapi.
"Bukannya bermaksud tidak tahu mengucapkan perkataan Alhamdulillah dengan setiap yang diperoleh, namun sebagai pelakon perlu mempunyai sikap sukakan sesuatu yang baru dan sentiasa ada keinginan untuk belajar.
"Jadi, saya ingin mempelbagaikan watak yang berbeza dengan apa yang selalu saya lakonkan. Sekiranya berpeluang, saya ingin sekali diberi kesempatan memegang watak yang tidak banyak menzahirkan pengucapan, namun lebih kepada ekspresi wajah seperti filem Sepi.
"Bagaimanapun, tidak dinafikan pembabitan menerusi drama komedi keluarga, Bong meninggalkan kesan besar dalam diri saya. Sewaktu terbabit dalam siri ini, banyak pengalaman manis dan pengetahuan yang saya peroleh. Bong sudah memasuki musim keenam, walaupun mengekalkan hampir semua pelakonnya, karakter drama bersiri berkenaan ternyata semakin berkembang dan menarik.
"Saya masih menerajui watak sama iaitu Marlia. Namun, kali ini menampilkan Marlia lebih ke arah feminin dan bertanggungjawab kepada adiknya. Imej gothik yang dibawa oleh Marlia sebelum ini, tidak diteruskan lagi kerana sesuai dengan perkembangan usia.
"Drama arahan Hafiez Othman itu turut menampilkan teraju utama, Mohd Khairul Ikhwan, Mustapha Kamal, Jasmin Hamid, Faizul dan Syahir. Bong, musim keenam ini akan disiarkan pada 18 Mei ini di TV9," katanya.
Selepas Histeria, anak bongsu daripada lapan beradik ini menantikan reaksi penonton terhadap penampilan keduanya di layar perak menerusi filem Remp-It V3 arahan pengarah muda, Farid Kamil. Ia dijangka ditayangkan di seluruh pawagam tempatan, Ogos ini.
"Dalam filem ini, saya diberi kepercayaan untuk memegang watak Liza. Walaupun peranan saya dalam Remp-It V3 sekejap saja, namun saya puas kerana dapat berlakon di bawah arahan Farid dan membawa watak yang belum pernah saya pegang sebelum ini.
"Nama pun Remp-It V3 dan sudah tentu memaparkan penggunaan motosikal dalam filem ini. Saya sebenarnya memang takut tunggang motor, namun kerana impian untuk mencuba sesuatu yang baru, saya terima.
"Walaupun ada sedikit kecederaan ketika melakonkan watak Liza, namun ia meninggalkan satu memori manis dalam diri kerana akhirnya saya berjaya mengatasi ketakutan, menunggang motosikal," katanya.
Selain berlakon, Talya juga aktif memperagakan pakaian pereka tempatan menerusi beberapa pertunjukan fesyen yang dianjurkan di sekitar ibu kota.
"Saya tidak mahu tertumpu pada satu bidang saja iaitu berlakon. Sekiranya boleh, saya ingin pelbagaikan bidang yang saya ceburi untuk menambah sumber pendapatan," katanya.
Mengenai perancangan masa depan, kata Talya, dia mengimpikan duduk di kerusi pengarah dan penerbit suatu hari nanti.
"Insya-Allah, apabila ada rezeki, saya akan melanjutkan pelajaran untuk menggapai impian sebagai pengarah dan penerbit.
"Saya percaya, pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini perlu seiring untuk merealisasikan cita-cita saya suatu hari nanti," katanya.
Di samping pembabitannya dalam dunia hiburan, kata Talya, dia juga mempunyai impian untuk mengusahakan perniagaan bersama keluarga sebagai bekalan masa depan.
"Kita tidak akan tahu apa berlaku pada masa hadapan. Tambahan pula, apabila terbabit dalam dunia hiburan. Justeru, saya merasakan perlu buat sesuatu seperti mengusahakan perniagaan bagi menjamin kehidupan.
Antara drama lakonan gadis kacukan Melayu, Arab, Portugis dan Bangkahulu itu ialah Misi XX Ray, Puteri, Elly, Kau Bukan Mama dan Cahaya Nur Iman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: