Monday, May 11, 2009

Naak laris di Malaysia


BARU tiga minggu menjengah pawagam tempatan di seluruh negara bermula 16 April lalu, filem genre seram fantasi Thailand, Naak sudah mencecah kutipan lebih RM2.6 juta dan menduduki senarai tiga filem teratas 'pecah panggung' (box office) yang ditayangkan di pawagam.

Pengarah Pemasaran Sun Master (Bangkok) yang juga Ahli Jawatankuasa Persekutuan (AJK) Filem Kebangsaan Thailand, Michael Rafiq, berkata setakat ini, filem Hollywood, X Men Origins: Wolverine terus menduduki carta pertama filem 'box office' , Bohsia (kedua) dan disusuli Naak terbitan Phranakorn Film (ketiga).

"Pihak kami menjangkakan kutipan filem Naak yang diedarkan United International Pictures (UIP) ini terus meningkat sehingga tempoh tayangannya berakhir pada pertengahan bulan ini.

"Pada peringkat awal, pihak kami hanya mensasarkan kutipan Naak yang membabitkan bajet sebanyak RM300,000 ini kira-kira RM1.5 juta saja. Malah, ketika Naak ditayangkan di Thailand Januari tahun lalu, kutipannya juga sebanyak RM1.5 juta.

"Justeru, apabila Naak mendapat sambutan hangat di Malaysia, pihak kami menganggap ia sebagai satu bonus kerana ia juga bersaing dengan filem tempatan dan Hollywood," katanya.

Michael berkata, Naak yang bermaksud naga arahan Teerawat Rujintham ini mempunyai kekuatan dari segi teknik CGI sebanyak 30 peratus yang membabitkan paparan ular gergasi dalam cerita ini.

"Selain itu, jalan cerita Naak juga berbeza daripada cerita hantu Thai yang pernah disajikan kepada penonton tempatan sebelum ini," katanya.

Michael ditemui ketika prebiu filem Naak di pawagam GSC Mid Valley, di sini, baru-baru ini.

Michael berkata, lebih memberangsangkan, penampilan dua teraju utama filem itu, Nawin (Jesadaporn Pholdee) dan Jin (lakonan Ploy Jindachote) turut menjadi tarikan utama kepada penonton tempatan untuk menyaksikan filem ini hingga ke penghujungnya.

"Gandingan Jesadaporn dan Ploy memang ada keserasian dan ia dibantu lakonan mantap masing-masing ketika menjiwai watak diserahkan.



"Ploy adalah model dan pelakon jelita yang meningkat naik di Thailand. Sekalipun Naak adalah filem pertamanya, ternyata lakonan Ploy tidak menghampakan penonton. Ketika Naak ditayangkan di pawagam Malaysia, Ploy sibuk di lokasi penggambaran filem barunya pula.



"Jesadaporn yang diangkat sebagai Lelaki Paling Seksi 2009 di Thailand pula adalah model dan pelakon terkenal di negara gajah putih itu," katanya.

Michael berkata, filem Naak juga mendapat sambutan ramai apabila ditayangkan di negara lain seperti Indonesia, Singapura, Hong Kong, Korea dan Jepun.

"Naak ditayangkan serentak di pawagam Malaysia dan Indonesia. Tayangan di Indonesia pula serentak dengan tayangan di Thailand, Januari tahun lalu. Selain itu, filem ini juga dijual di Jerman, Kuwait dan Kanada.

"Filem ini ada dua versi iaitu untuk pasaran tempatan, judulnya Naak dan Deep In The Jungle untuk

pasaran antarabangsa," katanya.

Naak mengisahkan anggota pasukan khas Thailand, Nawin (lakonan Jesadaporn) yang keluar daripada pasukannya kerana menyedari mereka menjalankan prosedur siasatan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan pihak berkuasa antarabangsa.

Nawin juga cuba menyelamatkan Jin (lakonan Ploy) yang menjadi mangsa serangan kejam pasukan yang diterajui Manus yang jahat (Pasin Ruengwut).

Pada masa sama, Nawin memutuskan untuk membantu Jin dan membawanya pulang ke tempat kelahirannya. Ketika itulah, mereka jatuh cinta antara satu sama lain.

Jin pula, sebenarnya bukan manusia biasa sebaliknya dia adalah semangat ular yang hidup dalam badan manusia. Dia juga mampu bertukar menjadi ular gergasi yang menakutkan.

Selain Jesadaporn dan Ploy, filem ini dibintangi oleh Sakda Keawbuadee (Jaiy) dan Pasin Ruengwut (Manut).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: