| MENGAMATI Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), 19, dari sudut luaran tiada yang menarik kerana banyak perkara berkaitan penampilan perlu dipertingkatkan untuk membentuk imej 'superstar' selain skil komunikasi. Masa dan pengalaman saja akan mendewasakannya nanti. |
Namun, seperkara yang sangat membanggakan mengenai pemuda ini sehingga peminat 'menggilai' dan 'menyayanginya' kerana bakat nyanyian anugerah Yang Maha Esa kepada anak jati Kuching, Sarawak ini.
Hafiz barangkali pemuda pendiam dan naif, namun dalam sifat memencilkan personalitinya itu, dia seorang berjiwa besar, sangat kebal pada tekanan dan tidak tunduk pada cabaran.
Kerana itulah, dapat peminat saksikan apa saja tugasan yang diberikan setiap minggu dengan pemilihan lagu yang mencabar kewibawaan, dia berjaya melaksana dan menyempurnakannya dengan cemerlang.
Barangkali, inilah jawapannya mengapa Hafiz menjadi pilihan peminat serta penonton untuk diangkat sebagai juara Akademi Fantasia 7 (AF7) pada konsert akhir program realiti popular terbitan Astro itu kelmarin, di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Kejayaan Hafiz bukan saja melakar sejarah kemenangan pertama bagi warga Bumi Kenyalang, tetapi turut merampas kembali takhta juara yang didominasi peserta lelaki seawal kemunculan pertama AF pada 2003 yang dimenangi Vince diikuti Zahid (AF2), Mawi (AF3) dan Faizal (AF4) sebelum peserta wanita mengambil alih tampuk juara, Mila (AF4) selaku juara pertama kemudian, Stacy (AF6).
Hafiz mendahului peratusan undian sebanyak 46 peratus, meninggalkan naib juara, Khairil Azam Pilus, 24, dari Kuala Lumpur, yang memperoleh 22 peratus diikuti Akim (18 peratus), Yazid (9 peratus) dan Isma (5 peratus).
Hafiz membawa pulang kereta mewah Honda Accord 2.0 liter, percutian ke New York untuk dua orang bernilai RM10,000, Arezzo Hoffman 5.1 Home Theatre System, kamera jenama Olympus U1030dan Hyundai Air Purifier - HYAP-202, jam Hugo Boss BRAND's InnerShine selama setahun, Nokia 5730 XpressMusic, wang tunai RM20,000 dan trofi Astro. Hadiah disampaikan Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina.
Hafiz berkata, dia amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaannya kerana itulah impian sejak awal menyertai AF7.
"Saya mula mengikuti pertandingan nyanyian sejak kecil dan menanam azam untuk muncul sebagai juara sejak usia tujuh tahun. Selepas 12 tahun berjuang, nyata AF7 berjaya merealisasikan impian saya.
| |
"Kejayaan ini membakar semangat saya untuk meneroka dunia nyanyian dengan lebih meluas. Saya mahu menjadi penyanyi disegani selain merakamkan album.
| |
"Bagaimanapun, sekarang ini saya belum dapat bayangkan apa-apa lagi kerana masih terkejut dengan kemenangan ini dan belum berkesempatan mengadakan perbincangan lanjut dengan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB)," katanya.
Mengenai rencana masa depannya, pencinta muzik pop ini juga belum pasti sama ada ingin menyudahkan baki satu tahun pengajiannya dalam bidang Diploma Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), Sarawak atau menundanya bagi memberi laluan pada karier seni yang baru bermula.
"Kedua-dua sama penting dan menjadi keutamaan saya. Menjadi penyanyi adalah impian saya sementara pelajaran jaminan masa depan. Ikutkan, saya mahu menyertai AF musim depan sebaik tamat pengajian, tetapi atas dorongan ibu yang menyedari saya sebenarnya sudah lama menantikan saat ini, saya beranikan diri untuk mencuba.
"Alhamdulillah, malam ini rezeki saya. Meskipun, akan sibuk dengan pelbagai aktiviti selepas ini saya tetap berazam untuk melangsaikan baki pengajian kerana itulah harapan ibu yang mahu melihat cita-cita dan pendidikan berjalan seiring.
"Jika Astro boleh bertolak-ansur, saya akan ke kolej semula. Jika tidak, saya akan berusaha membahagikan masa sebaik-baiknya untuk berjaya dalam kedua-dua bidang," katanya ingin bekerjasama dengan komposer, Audi Mok yang menerbitkan banyak lagu untuk idolanya, Faizal Tahir.
Hafiz menyampaikan dua lagu pada malam itu, Kau Bunga Cintaku, lagu rancak dipopularkan Anuar Zain yang kurang memberikan impak pada persembahan pusingan pertama serta lagu baru juga single pertamanya, Masih Jelas ciptaan Aidit Alfian dan lirik AD Samad.
Sementara itu, peserta tersingkir di minggu ketujuh yang dimasukkan semula melalui undian AFMasuk, Aril, bersyukur dengan kemenangannya sebagai naib juara.
Kemasukan semula Aril yang dianggap 'anak emas' Astro mencetuskan rasa tidak puas hati penonton AF7 yang menganggap kehadirannya sebagai pengacau sekali gus menggugat kedudukan peserta lain.
"Itu orang yang kata. Dalam masyarakat ada dua jenis golongan yang 'good thinker' dan terbuka. Sementara sekelompok kumpulan lagi mungkin tidak begitu terbuka. Saya tidak salahkan sesiapa dan tidak rasa saya pengacau.
"AFMasuk dibuat atas kehendak Astro dan saya tidak minta pun untuk berada di final kerana saya sendiri menerima hakikat sudah tersingkir di konsert minggu ketujuh. Saya juga melihat pelbagai reaksi masyarakat terhadap saya sepanjang dua minggu di luar, ada yang suka dan ada yang mencaci sehingga perasaan saya sendiri campur aduk, serba- salah apabila dimasukkan semula ke AF.
"Namun, apa boleh buat kalau penonton sendiri yang mahukan saya, menentukan nasib dan memberi kepercayaan kepada saya menyertai semula AF7. Justeru, dengan penghormatan yang diberikan wajarlah saya memberikan persembahan sehabis baik malam ini.
"Memang AF program realiti yang penuh kejutan dan AFMasuk ini sudah dilakukan melalui beberapa musim terdahulu. Dengan ini, saya menyangkal dakwaan saya adalah pengacau.
"Apapun saya berbangga dengan kemenangan ini, terima kasih kepada pengundi, keluarga dan kawan-kawan. Kejayaan ini akan terus memacu saya ke depan untuk menjadi penyanyi, penghibur yang disegani, ikon kepada Astro dan remaja," katanya.
Mendominasi peserta lain di pusingan pertama menerusi lagu Kasih Tak Sampai dipopularkan oleh Padi, Aril terus mempamerkan persembahan menarik pada set kedua melalui single pertamanya,Toksik (ciptaan Alim/ Shazee Ishak dan lirik oleh Nurfatima).
Aril menang percutian bernilai RM3,000 tajaan Maybelline, Camera U1030 (Olympus), Karaoke Set Arezzo Hoffman (Arezzo), Penapisan Udara Hyundai (MPS Advance), jam tangan Hugo Boss (Hugo Boss), wang tunai RM10,000 serta trofi.
Tempat ketiga disandang peserta 'underdog', Afiq Hakim Ahmad (Akim), 18, yang menunjukkan peningkatan drastik pada minggu terakhir AF7. Kemenangan itu, melayakkan Akim menerima baucar percutian bernilai RM2,000 tajaan Maybelline, Camera F3320 (Olympus), wang tunai RM8,000 serta trofi.
Berasal dari Johor Bahru, Johor, pemuda tinggi lampai itu memukau penonton dengan persembahan bertenaga, penuh drama dan 'attitude' menerusi lagu Bercinta nyanyian asal Faizal Tahir serta lagu baru Bengang.
"Saya tidak berkecil hati dengan komen Adlin yang menggelarkan saya sebagai peserta 'underdog' kerana sedar kenyataan itu berhubung dengan persembahan sebelum ini.
"Tidak dinafikan sebagai orang baru, banyak kelemahan saya pada peringkat awal, tetapi saya cuba memperbaikinya dari masa ke semasa dengan mengambil komen pengkritik serta ilmu yang disalurkan tenaga pengajar. Mungkin kejayaan ini tanda usaha keras saya selama ini," katanya.
Tempat keempat Mohd Yazid Mohd Ibrahim atau Yazid, 22, dari Johor Bahru, Johor dengan lagu Dewa 19, Qasidah Cinta serta lagu baru Ya Pa Pa. Pemuda iras wajah Adlin Aman Ramli itu membawa pulang kamera FE320 tajaan Olympus, wang tunai RM3,000 serta trofi.
Sementara peserta tunggal wanita, Ismaliza Ismail atau Isma, 30, daripada Kuala Lumpur hanya mampu berpuas hati di tempat kelima. Kakak kepada vokalis kumpulan New Boyz, Tomok yang baru saja muncul juara One In A Million musim ke-3, nyata tidak bertuah malam itu.
Isma menyampaikan lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian asal Misha Omar serta lagu baru, Bisikan... Godaan hasil ciptaan suaminya, Zul dan Slen.
Acara malam itu diserikan lagi dengan persembahan Stacy serta tarian pembukaan dari Hardstyle Republic. Finalis AF7 sendiri membuat persembahan pembukaan menerusi lagu Revolusi yang dipopularkan Bunkface.
Konsert dikendalikan AC Mizal dengan bantuan Sarimah Ibrahim, dihangatkan lagi dengan kemunculan tiga pengkritik, Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: