| APABILA ada pihak mendakwa merekalah yang pertama paparkan wajah anak Erra Fazira, Engku Aleesya Engku Emran untuk tatapan peminat pada 11 Mei lalu, pastinya sedikit sebanyak menimbulkan kekecohan. |
Kecohnya bukan saja di kalangan masyarakat, tetapi juga media. Mana tidaknya, ketika mesyuarat bulanan Meja Hiburan Harian Metro pada 7 Mei lalu, Pengarang Hiburan, Adam Salleh ada mengingatkan perkara itu.
Katanya, walaupun Erra mengatakan hanya membenarkan gambar anaknya diambil pada majlis cukur jambul selepas tamat tempoh pantang, tidak mustahil ada pihak yang berjaya merakamkan dan menyiarkan gambarnya. Ternyata kebimbangan Adam menjadi kenyataan selang beberapa hari saja selepas itu.
Erra dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin tidak merahsiakan berita kelahiran bayi perempuan seberat 4.04 kilogram di Hospital Pakar Damansara pada 30 Mac lalu, jam 11.40 pagi. Bayi comel itu dinamakan Engku Aleesya, hasil pilihan Erra, bermaksud dilindungi.
Sesuai dengan namanya, Erra dan Emran tidak membenarkan wajah anak mereka dirakamkan pada hari itu atas alasan mahu berlaku adil kepada media yang lain. Walaupun kecewa dengan permintaan pasangan itu, apakan daya pada waktu sama perlu menghormatinya.
Masalahnya, apabila meletakkan syarat seperti itu, sebenarnya ia membuka ruang kepada orang lain membuat pelbagai spekulasi. Dalam situasi Erra, ada pihak lain mengambil kesempatan dengan menawarkan gambar dan mendakwa kononnya itulah wajah anak Erra.
Siapa yang dapat mengesahkan itu bukan anak Erra kerana tiada siapa berpeluang menatap wajah puteri kesayangan Erra dan Emran. Sebelum itu, ada juga mendakwa mempunyai gambar anak Erra. Ternyata gambar itu diambil dalam satu majlis ketika Erra sarat mengandung dan dia ketika itu mendukung bayi rakannya.
Sebelum ini, Nora Danish yang melahirkan bayi lelaki turut meletakkan syarat sama tidak mahu wajah anaknya dirakamkan sehinggalah tiba majlis cukur jambul. Tapi, situasinya tidak sama dengan Erra kerana tidak pula timbul berita ada pihak mendakwa itulah gambar anak pelakon yang popular menerusi sitkom Puteri.
Berbeza dengan Erra kerana Miss Malaysia 1993 itu juga digelar Ratu Filem Melayu dan selayaknya peminat ingin tahu apa saja kehidupan peribadinya. Siapa gerangan insan yang menambat hatinya? Apabila sudah berkahwin, ingin tahu pula sudah berbadan dua atau belum dan apabila melahirkan, ingin menatap bayi comel artis kesayangan mereka.
Semua itu lumrah bukan saja dalam kalangan masyarakat kita malah orang Barat sekali pun. Malah di sana lebih hebat lagi hingga muncul paparazi yang sentiasa mengejar dan mencari peluang merakamkan gambar selebriti popular untuk dijual kepada media. Harga yang diletakkan pula bergantung kepada tahap populariti selebriti itu.
| |
Keinginan peminat untuk melihat majlis perkahwinan atau wajah bayi mereka menyebabkan artis di sana menjual hak eksklusif kepada penerbitan tertentu sebagaimana dilakukan Angelina Jolie, Julia Roberts dan juga Tom Cruise.
| |
Siapa yang tawarkan harga tinggi akan dipilih manakala penerbitan lain tidak mungkin mahu gigit jari sebaliknya mencari alternatif lain, gambar yang ditawarkan paparazi.
Mujurlah keadaan dunia hiburan kita di sini belum sampai ke tahap seperti itu hingga dianggap menceroboh ‘privacy’ mereka. Kalau tidak, tentu Aleesya terpaksa berkurung dalam rumah dijaga rapi supaya tidak ada paparazi berpeluang merakamkan gambarnya.
Kalau perlu keluar rumah, terpaksalah tutup muka dengan kain, topi atau apa saja untuk mengelakkan wajahnya diambil jurugambar.
Agaknya kalau penyanyi nombor satu, Datuk Siti Nurhaliza disahkan mengandung kemudian melahirkan anak, tidak tahulah bagaimana pula situasinya. Majlis sidang media mengumumkan tarikh pernikahannya pada Julai 2006
sudah cukup menjadi bukti apabila keadaannya sungguh sesak dengan kehadiran terlalu ramai wakil media yang entah dari mana datangnya.
Media di sini juga masih bertolak ansur dan menghormati permintaan artis. Bagaimanapun, apabila ada pihak menawarkan gambar, tentu peluang itu tidak mungkin ditolak. Jadilah sebagaimana yang berlaku minggu lalu. Difahamkan, gambar itu diberikan sendiri jururawat yang bertugas di hospital tempat Erra melahirkan.
Saya ada membaca kenyataan Erra mengenai tindakan satu portal hiburan menyiarkan gambar bayi yang didakwa Aleesya. Walaupun mendakwa belum sempat melihat gambar itu dan tidak dapat mengesahkan sama ada itu gambar anaknya, tapi kata Erra, ada yang tidak amanah.
Memetik kata-kata Erra, katanya, setahu dirinya tiada rakan terbabit dalam perkara itu kerana mereka tidak mengambil gambar anaknya dan mungkin ada petugas hospital berbuat demikian, tetapi Erra tidak mahu tuduh mereka yang melakukannya.
Bagaimanapun dalam ruangan Soseh-Soseh hari ini, Erra mengakui sudah melihat gambar yang disiarkan itu dan mengatakan ia bukan gambar Aleesya.
Kata Erra, kalau dinilai daripada kain yang membalut wajah anak kecil itu ia memang daripada hospital sama dan kalau dilihat sekali imbas, memang wajahnya nampak seperti Aleesya, tetapi selepas diamati, ia bukan Aleesya.
Katanya, muka bayi yang dipaparkan itu memang tidak sama dengan puteri kesayangannya. Bagi mereka yang ingin sangat menatap wajah anaknya, tunggu selepas majlis cukur jambul pada 23 Mei ini. Majlis itu diadakan di lokasi sama tempat pernikahan Erra dan Emran di Restoran Puteri, Sungai Penchala, pada 25 Oktober 2007.
Mungkinkah sebelum majlis itu berlangsung, ada pihak lain berjaya menyiarkan wajah Aleesya? Pastinya tiada yang mustahil. Apapun, bersabarlah menanti 23 Mei ini.
Apakah wajah Aleesya nanti berjaya mengatasi gambar perkahwinan pasangan Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramlie yang akan melangsungkan perkahwinan pada hari sama di Ipoh, Perak?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: