Monday, May 18, 2009

Soseh Soseh: Velvet dapat anak lelaki


TAHNIAH SS ucapkan buat Velvet Lawrence Aduk, 21, kerana kini bergelar ibu. SS difahamkan, Velvet selamat melahirkan anak lelaki pada 1 Mei lalu, jam 10 pagi di hospital swasta di Sabah dan diberi nama Joshia Richael Gimbang.

Velvet, finalis Akademi Fantasia musim keempat, melangsungkan perkahwinan dengan vokalis Estranged, Richael Datuk Lawrence Gimbang (Rich), 26, pada 5 Disember lalu.

Perkahwinan mereka itu sememangnya agak mengejutkan kerana berlangsung secara rahsia di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Kota Kinabalu, Sabah. Wakil media yang hadir untuk membuat liputan sebaik saja menghidu berita itu tidak dibenarkan membuat liputan.

Apabila keadaannya begitu, timbul spekulasi mengatakan keluarga Velvet dan Rich mengadakan hari bersejarah mereka secara rahsia kerana ada sesuatu yang hendak disorokkan. Tersebar khabar angin mengatakan Velvet sudah berbadan dua dan mereka terpaksa mempercepatkan perkahwinan.

Tidak mengapalah, itu kisah enam bulan lalu dan kini mereka bahagia menyambut kehadiran orang baru. Apapun, Rich dan Velvet tentunya tidak mampu menutup mulut orang yang memperkatakan mengenai kelahiran anak mereka tidak sampai sembilan bulan selepas berkahwin.

Seingat SS, Velvet dan Rich tidak pernah kelihatan bersama dalam mana-mana majlis selepas mereka berkahwin. Malah ketika Estranged berentap di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Februari lalu mempertaruhkan lagu Yang Pernah.

Agaknya Velvet berehat di Sabah sementara menanti detik melahirkan. Apapun, SS doakan mereka tabah menghadapi dugaan dan cabaran sebagai ibu bapa muda apatah lagi bagi mereka yang bergelar artis. Maklumlah, mereka sibuk dengan aktiviti seni.

Pastinya kelahiran cahaya mata ini menguatkan lagi cinta Rich dan Velvet sekali gus memberi semangat dan idea kepada Rich menghasilkan lagu menarik selepas dikenali menerusi lagu Itu Kamu, Yang Pernah dan Aurora.

Bagaimana dengan Velvet, apakah selepas ini meneruskan kerjaya seni ataupun menjadi isteri dan ibu sepenuh masa? Mungkin juga Velvet perlu sedikit masa sebelum kembali memeriahkan industri seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: