Monday, May 18, 2009

Soseh Soseh: Bayi di laman web bukan Engku Aleesya


MASIH berkisar mengenai kelahiran anak, tetapi agak kecoh juga apabila wajah comel bayi itu tidak diizinkan untuk tatapan ramai di media atas permintaan ibu bapa mereka. Bayi perempuan yang dinamakan Engku Aleesya itu hanya dibenarkan diambil gambarnya pada hari cukur jambul yang akan diadakan selepas ibunya habis pantang.

Tapi apabila membabitkan bayi Ratu Filem Melayu, Erra Fazira, tentulah kecoh kerana semua orang mahu tahu bagaimana rupa bayi Erra. Bagi mereka tentu comel seperti ibunya.

SS secara peribadi faham, apabila Erra dan suami mengumumkan tidak mahu wajah anak kesayangan mereka dirakamkan dengan alasan mahu bersikap adil kepada semua media.

Tapi masalahnya, kesan daripada itu, banyak pihak berlumba-lumba mahu menjadi orang pertama menyiarkan wajah puteri kesayangan pasangan itu. Sudah tentu media juga tidak duduk diam berusaha mendapatkan gambar bayi Erra.

Kecoh juga apabila beberapa laman sesawang dan blog persendirian menampilkan gambar wajah bayi mendakwa itu Engku Aleesya, anak Erra dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Menurut penulis laman sesawang itu, gambar yang disiarkan itu diberikan sendiri seorang jururawat bertugas di hospital tempat Erra melahirkan Aleesya. SS sendiri tidak pasti apakah benar itu Aleesya kerana tidak pernah berpeluang menatap wajahnya.

Bagi mendapatkan kepastian, rakan bertanya sendiri kepada Erra. Pada mulanya Erra memberi alasan belum melihat gambar yang disiarkan di laman sesawang itu dan berjanji akan melakukannya apabila ada peluang.

Baru-baru ini rakan SS mendapat jawapannya. Kata Erra yang kini dalam proses akhir berpantang, dia sudah melihat sendiri gambar yang disiarkan. Jelasnya, kalau dinilai daripada kain yang membalut wajah anak kecil itu, ia memang daripada hospital yang sama.

Katanya lagi, dilihat sekali imbas memang wajahnya nampak seperti Aleesya, tetapi selepas diamati, ia bukan. Jelas Erra, mukanya memang tidak sama dengan puteri kesayangannya itu.

Erra turut menegaskan dengan penjelasan diberikan diharap peminat tidak keliru dan kepada mereka yang teringin sangat menatap wajah anaknya, tunggu selepas majlis cukur jambul selesai diadakan pada 23 Mei nanti.



SS sendiri mengharapkan agar penjelasan diberikan itu dapat memuaskan hati peminat dan tidak terpengaruh dengan gambar yang disebarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: