| KETIKA rakan SS menemu bual pelakon Hanny atau Siti Hani Nur Zara Harmi, 27, yang juga anak dara produser Julie Dahlan di penggambaran telefilem terbarunya, 90 Minit di AU3 Keramat, Kuala Lumpur, minggu lalu, Hanny sempat menunjukkan kepada rakan SS beberapa keping gambarnya ketika menghadiri kursus perkahwinan di Pusat Kursus Kesedaran Insan, Bangunan Cahaya Suria, Pudu Raya, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Apri lalu. |
Kata Hanny, dia bakal menamatkan zaman solonya dengan jurugambar bebas, Hamzah Talib yang dikenalinya lebih empat tahun, awal tahun depan. Lebih bermakna, hubungan mereka berdua direstui keluarga kedua-dua belah pihak.
Malah, kata Hanny, dia dan Hamzah kini bekerja keras untuk mengumpul duit sebagai persiapan untuk majlis bersejarah mereka nanti.
Jika Hanny sibuk dengan penggambaran telefilem terbitan produksi ibunya, JD Productions, bakal suaminya, Hamzah pula kini berada di Kemboja kerana penggambaran musim baru Rasa Halal Orient bersama Farah AF.
Selain jurugambar bebas, rakan SS difahamkan, Hamzah juga mempunyai syarikat sendiri, KiloMeter O Sdn Bhd yang menerbitkan drama, dokumentari, video korporat, video klip, pengurusan acara dan membekalkan peralatan dalam bidang penyiaran.
Dalam pada itu, kata Hanny lagi, dia juga tidak bersendirian menghadiri kursus perkahwinan itu sebaliknya bersama dua lagi rakan artis, pelakon Serina Redzuawan dan Kamal (Akademi Polis).
Seperti diuar-uarkan sebelum ini, anak tukang masak terkenal, Chef Wan itu juga bertunang dengan usahawan dari England, Salahuddin Abdullah, 33.
Bagaimanapun, majlis akad nikah mereka pula ditunda pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian kerana masalah dokumen imigresen dan sebagainya. Cuma majlis resepsi mereka akan diadakan pada 1 Januari 2010.
Apapun, seluruh warga kerja SS turut mendoakan semoga impian Hanny, Serina dan Kamal untuk mendirikan masjid itu menjadi kenyataan seperti direncanakan.
Justeru, selepas tersiarnya cerita ini nanti, SS harap janganlah mereka bertiga lupa untuk melayangkan kad undangan perkahwinan kepada meja SS nanti sekali gus berkongsi hari bahagia mereka dengan pembaca Rap nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: