|
| BARU-BARU ini SS ada baca cerita mengenai artis menjayakan Minggu Setiausaha tidak dibayar atas khidmatnya melayan peminat dan menghiburkan mereka dengan telatah dan persembahan di pentas. |
Memanglah kasihan SS mendengarnya kerana artis ini ibarat penyeri mana-mana majlis, tetapi tidak semua pihak menghargai sumbangan mereka.
SS ada satu lagi kisah sedih mengenai khidmat percuma. Bagaimanapun, ini bukan membabitkan artis, tetapi orang awam bagi menjayakan satu program televisyen. Cerita ini diluahkan peserta satu program game show.
Tidak perlulah SS sebutkan nama programnya kerana apa yang penting, SS harap ia memberi kesedaran kepada penerbit dan mereka yang bertanggungjawab menguruskan satu-satu program menggunakan kerjasama orang luar. Janganlah pergunakan mereka yang begitu teruja mahu masuk televisyen hingga sanggup buat apa saja.
SS percaya tanpa komitmen penonton sebagai peserta program itu, sudah tentu sukar untuk penerbit menjayakan program mereka. Jadi, janganlah buat mereka yang menyumbangkan tenaga menjayakan program mereka dengan sedemikian rupa.
Katanya, dia seorang anggota satu kumpulan menjayakan program game show popular yang menjalani penggambaran di sebuah pusat beli-belah, baru-baru ini.
SS difahamkan, penggambaran bermula jam 2 petang tapi jam 10 pagi mereka sudah diminta datang kerana takut lambat dan boleh menimbulkan masalah kepada rakaman. Sebelum itu, mereka sudah melepasi uji bakat yang diadakan.
Apa yang membuat peserta ini geram ialah mereka diminta datang awal dan diarahkan siap mekap dan pakai baju sendiri. Mereka minta pakai songket, jadi terpaksalah sewa baju sebagai bukti komitmen.
Apabila datang awal, mereka ingatkan disediakan makan tengah hari, rupa-rupanya tidak ada. Apabila rakaman selesai jam 4 petang, mereka belum makan lagi, terpaksalah beli makanan sendiri.
Peserta itu banggalah juga kerana mendapat tempat kedua, tapi sekali lagi dia hampa dan kecewa apabila melihat hadiah diberikan hanyalah hamper kecil daripada penaja. Difahamkan, tempat pertama mendapat RM1,000.
Katanya, cuba bayangkan adakah patut cuma hamper dan beg saja. Apabila perkara itu diajukan kepada orang kuat produksi, dengan selamba dia berkata yang penting minat bukannya hadiah.
"Ketika ditanya ketika uji bakat apakah hadiah disediakan jika menang, kata mereka rahsia. Saya bukan harap besar sangat, tapi saya kesal kerana makan tengah hari tidak disediakan, baju dan mekap pun sendiri. Takkan RM50 pun tidak boleh beri sebagai komitmen peserta?," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: