Tuesday, May 5, 2009

Dugaan Chef Wan tukar menu


SETIAP dugaan yang datang pasti ada hikmahnya. Begitulah diumpamakan kejayaan Wan Faheda Wan Hazmanor (Faheda), 25, selaku juara musim ketiga, Pencarian Pesona Nona.

Malam sebelum dinobatkan sebagai juara, emosi Faheda terganggu apabila terpaksa menukar pengisian bahan bagi mewawancara Chef Wan selepas tukang masak terkenal itu mengubah menu masakannya pada saat-saat akhir.

"Malam kelmarin (Sabtu) selepas selesai latihan dengan penerbit, saya sudah tetapkan sebaik makan malam, mahu ke bilik hotel dan terus tidur untuk mendapatkan rehat yang cukup kerana keesokannya adalah final.

"Namun, kira-kira jam 9.45 malam saya dimaklumkan Kartina Ayu Harun, Chef Wan menukar menu masakannya kambing kuzi kepada ayam Moroccan iaitu satu menu yang saya tidak tahu.

"Kebetulan walaupun hotel (Palace Of The Golden Horses) bertaraf enam bintang, namun tiada kemudahan wifi. Jadi tanpa sebarang pilihan saya terpaksa turun ke 'media centre' untuk buat rujukan di Internet dengan kadar bayaran RM20 sejam.

"Kira-kira jam 2.30 pagi jugalah baru saya tidur. Mana tidaknya, selepas membuat kajian mengenai resipi ayam Morroccan, saya perlu menulis skrip dan menyediakan soalan yang bakal ditanya kepada Chef Wan.

"Seperti yang kita ketahui, Chef Wan bukan calang-calang orang dan berfikiran tajam. Justeru soalan yang diajukan perlulah mencapai tahap pemikirannya," katanya.

Pada Pertandingan Akhir Pesona Nona yang berlangsung di Hotel Palace Of The Golden Horses Ahad lalu, Faheda menang set barang kemas tajaan Rafflesia bernilai RM50,000, baucar fabrik Jakel (RM10,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM5,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal dan hamper barangan Safi.

Kejayaan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Of Sydney, Australia, yang bertugas di bahagian pengurusan Terengganu Equestrian Resort itu, menewaskan empat calon lain, Herleena Rizalpahlavy, 23, (kedua), Nurul Anida Ahmad Fadzil, 23, (ketiga), Nur Shaznida Hassan, 23 dan Rini Mohd Arshad, 24.

Gaun polos gabungan warna biru lembut dan hitam yang diperagakan Faheda juga memberi tuah kepada Hazwani Othman apabila diumumkan Pereka Terbaik. Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin.



Mengagumi pengacara Wan Zaleha Radzi, gadis yang meminati pengacaraan program berbentuk travelouge ini menyerahkan segala keputusan kepada TV3 sama ada untuk menyerapkannya sebagai pengacara atau tidak.



"Meskipun menyukai konsep program travelogue, sebagai orang baru saya tidak boleh memilih kerana nanti dikatakan 'demanding'. Yang pasti, saya sedia mengacarakan apa jua bentuk program yang ditawarkan sebagai proses menimba pengalaman.

"Buat masa ini, saya tidak boleh bercakap panjang kerana semuanya di tangan pengurusan TV3. Saya sendiri masih terkejut dengan kemenangan ini.

"Apa yang boleh dikatakan, jika khidmat saya diperlukan saya akan mempertimbangkan keputusan meletak jawatan di tempat kerja saya sekarang," katanya.

Sementara itu, Syarida Shariff selaku Penerbit Nona berkata, berdasarkan penilaian dilakukan melalui tugasan serta cabaran mingguan dan peringkat akhir, kemenangan Faheda adalah wajar.

"Dia menunjukkan ciri-ciri diperlukan seorang pengacara. Bukan saja cantik dan bijak, tetapi dapat mengatasi masalah dan mencari penyelesaian dengan tenang.

"Bukan finalis lain tidak bagus bahkan mereka semua juara. Cuma kelebihan Faheda mungkin kerana dia lebih menyerlah. Tugasan yang dilakukan pada hari ini menunjukkan dia mampu menjadi pengacara versatil," katanya.

Pada pertandingan itu, pemenang tempat kedua memilih topik fesyen pengantin membawa pulang set barangan kemas RM30,000, baucar Fabrik Jakel (RM7,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM3,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal serta hamper barangan Safi.

Sementara Anida (gendang) membawa pulang set barangan kemas RM20,000, baucar Fabrik Jakel (RM5,000), wang tunai sumbangan TV3 (RM1,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal serta hamper barangan Safi.

Shaznida (poco poco) dan Rini (motor besar) juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana turut membawa hadiah sumbangan Rafflesia berupa barang kemas bernilai RM5,000, baucer fabrik Jakel (RM7,000), piala sumbangan Langkawiicrystaal berserta hamper Safi.

Majlis yang turut dihadiri pasangan sensasi, Mejar Dr Faiz Khaleed dan bekas pengacara Nona, Nurul Syuhada Nurul Ain diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Alyah dan Dafi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: