Tuesday, May 12, 2009

SOSEH SOSEH: Kekasih artis lain agama


SEMUA wanita di dunia ini mengimpikan kebahagiaan untuk hidup berumah tangga. Begitulah juga dengan artis wanita popular ini. Maklumlah, usianya pun bukan muda lagi, sudah mencecah pertengahan 30-an.

Justeru selepas bertemu dengan jejaka idaman hati, artis wanita ini pun bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya itu.

Pada peringkat awal hubungan mereka, ramai yang meragui sama ada si kekasih hati itu mampu untuk menyara kehidupan artis wanita popular yang tubuhnya sentiasa disalut barangan berjenama dan mewah. Tapi, artis wanita itu berusaha meyakinkan semua orang termasuk peminatnya, cintanya kepada si jejaka mengatasi segalanya di dunia ini.

Selang tidak berapa lama kemudian, alih-alih artis wanita itu memberitahu kepada pihak media, dia sudah pun putus tunang dengan kekasih hatinya itu dengan alasan mereka tiada persefahaman lagi.

Hakikatnya, kata rakan SS, artis wanita jelita itu nekad memutuskan tali pertunangan mereka kerana dia sudah hilang kepercayaan terhadap tunangnya itu.

Semuanya gara-gara dia mendapat tahu si tunang tersayang mengeluarkan duit yang disimpan dalam akaun bersama mereka tanpa pengetahuannya.

Selepas apa yang berlaku itu, barulah artis wanita itu sedar, dia sudah tertipu dengan kebaikan kekasihnya itu dan terus mengakhiri hubungan mereka.

Bagaimanapun, kata rakan SS, selepas putus tunang, artis wanita itu sekarang sudah pun menemui penggantinya. Khabarnya, teman lelaki barunya kali ini ahli perniagaan yang kaya raya dan setaraf dengan kedudukannya sebagai artis terkenal tanah air. Cuma mereka ada perbezaan agama kerana teman lelakinya itu bukan Melayu.

Malah, kata rakan SS, masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana hubungan artis wanita itu dan teman barunya setakat ini.

Apapun, SS harapkan semoga artis wanita itu lebih berhati-hati mencari pengganti supaya pisang tidak berbuah dua kali.



Maklumlah, zaman sekarang, bukan senang untuk mencari calon suami yang ikhlas menerima diri artis wanita itu seadanya. Jika tersalah langkah, SS bimbang, artis wanita itu terjebak dengan lelaki mata duitan atau si hidung belang pula selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: