Tuesday, May 12, 2009

SOSEH SOSEH: Kita perlu kualiti bukan kuantiti


SABAN tahun tumbuh bagai cendawan selepas hujan, artis di negara kita ini hasil daripada program realiti. Namun, adakah SMS benar-benar membantu pelajar program realiti berjaya ke puncak?

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam kerana SS dapati undian SMS sebenarnya tidak sepenuhnya membantu mencari bintang. Sebagai contoh, lihat saja pencapaian Aizat, bekas pelajar Akademi Fantasia yang kelima(AF5), yang suatu ketika kita maklum dengan fizikalnya yang berisi.

Aizat pula bukanlah juara AF5, kerana yang menjuarai AF5 adalah Mila, tetapi berjaya mewakili negara ke Festival Muzik Pop Antarabangsa (Discovery) ke-18 di Varna, Bulgaria.

Bukan apa, SS cuma meragui kuasa yang diberikan kepada peminat untuk memilih calon pilihan mereka.

Sukar untuk SS memperkatakan kerana sudah menjadi ‘trend’ kita memberi peluang orang ramai menjadi juri. Hasrat penganjur memberikan kuasa memilih kepada penonton memang baik, tetapi harus diingat terdapat pihak yang menggunakan kekayaan mereka untuk memilih pelajar kegemaran mereka.

Bukan memilih kualiti yang dimiliki oleh pelajar. Pelajar yang berbakat, tersingkir. Yang dipuja, terus kekal. Dalam soal ini, SS percaya sukar bagi pelajar berbakat memenangi program realiti jika undian melalui SMS sepenuhnya diguna pakai. Apakah akan berkurang jumlah undian sekiranya keputusan juri disertakan bersama undian SMS ?

Faizal Tahir berjaya walaupun sekadar meraih tempat kedua One In A Million (OIAM), manakala Adam dari AF2 juga lebih menonjol berbanding juara AF2, Zahid. Bagaimanapun, SS berharap pihak penganjur lebih prihatin situasi masa kini. Persada seni kita memerlukan kualiti, bukannya kuantiti.

Justeru, pengundi perlu bijak memilih bagi memastikan pelajar berbakat terpinggir. Pelajar popular diagung-agungkan. Sememangnya undian SMS diragui ketelusan dalam memilih juara. Mana lebih penting, popular atau bakat?

Apapun, sebagai peminat persada seni tanah air, SS mengharapkan rancangan realiti akan terus melahirkan bakat baru yang berkualiti dan penonton juga perlu peka dalam pengundian yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: