| SITKOM terbitan Unit Hiburan RTM sememangnya mampu menarik minat penonton hingga mempunyai pengikut tersendiri. Antaranya Salam Pantai Timur yang masih segar di ingatan penonton dengan gelagat watak yang di ketengahkan. |
Ia juga tidak lari daripada mengetengahkan isu kekeluargaan, masalah sosial remaja dan kemasyarakatan yang cuba menyampaikan kritikan sosial dalam bentuk komedi.
Sitkom Angguk-Angguk Geleng-Geleng yang disiarkan setiap Isnin, jam 8.30 malam di TV2 mulai hari ini, tidak kurang menariknya dengan telatah pelakon seperti Sabri Yunus (Zakaria/Ayah), Khatijah Tan (Kiah Kasui/Emak), Along Cam (Dino/Abang) dan Nadia (Dina/Adik) serta dibantu oleh Imuda, Zami Ismail, Abon, Ayie, Ebby Yus dan Angeline Tan.
Drama komedi keluarga dengan durasi 30 minit, mengisahkan situasi yang berlaku dalam satu keluarga dalam membesarkan anak meningkat remaja dalam mengharungi kehidupan bandar. Selain memerlukan kesabaran dan hemah yang betul agar anak dapat dibentuk sebaik mungkin.
Menerusi episod pertama, Abang Jadi Hero penonton dapat mengenali watak Dina yang diminta menyediakan satu karangan mengenai perkara yang paling dibanggakan pernah dilakukan kalangan ahli keluarga. Namun ayahnya membuat cerita dengan menyatakan dirinya pernah menyelamatkan mangsa ragut.
Sementara itu Kiah Kasui risau dengan perubahan Dino yang kerap pulang lewat ke rumah dan mula berkawan dengan budak-budak nakal. Zakaria meminta pakcik Jay menasihati Dino.
Dino mula berkawan dengan Umar selepas Umar menemui telefon bimbit Dino yang hilang. Umar adalah bekas banduan yang sering diburuk-burukkan Jenal, rakan sekerjanya di pusat sukan. Jenal mengadu Umar selalu membuat masalah.
Begitu kenyataannya, Jenal yang membuat masalah dengan mencuri peralatan di pusat sukan, telefon bimbit dan lain-lain. Pada suatu malam, Dino berjaya menangkap Jenal yang mencuri di pusat sukan itu.
Dino membuat satu karangan mengenai kisahnya berjaya menangkap pencuri dan dirinya sebagai hero. Dia mendapat pujian daripada gurunya tetapi Kiah tetap dengan egonya tidak mengakui anaknya seorang hero.
Adakah Dino berjaya mengembalikan kejayakinan Kiah terhadapnya? Ikuti episod seterusnya dalam drama komedi Angguk-Angguk Geleng-Geleng yang diterbitkan Shamshuriah S Anwar dari Unit Hiburan TV, RTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: