Monday, May 11, 2009

Soseh Soseh: Aduh Saliha dapat heroin baru


KALAU tak salah SS, dah hampir dua tahun filem Aduh Saliha terperap. Penulis skrip filem itu, Loloq pun dah lama pergi meninggalkan kita. Hanya tinggal lagu yang lirik diilhamkannya menjadi kenangan buat kita semua.

Pelbagai kontroversi melanda filem itu, ada yang kata pasal masalah kewangan dan entah apa-apa lagi sehingga penggambaran terhenti separuh jalan. Filem itu memulakan penggambaran ketika Mawi yang diangkat menjadi hero filem itu bujang lagi. Sekarang Mawi pun dah berkahwin dan berbahagia dengan isteri tercinta, Ekin.

Selepas lama tak mendengar cerita mengenai filem itu, khabarnya filem itu akan disambung semula dengan mengekalkan Mawi sebagai pelakon utamanya. Tetapi SS difahamkan heroin asal filem itu, Puteri Sarah akan digantikan dengan orang lain, tak lain dan tak bukan, Ekin.

Oleh kerana sudah bertukar heroin, filem itu akan dibuat semula. Memang begitulah selayaknya kerana takkan awal cerita muka heroin orang lain dan pada pertengahan cerita keluar muka orang lain pula.

SS yakin jika benar berita disampaikan itu, pasti ramai tidak sabar untuk melihat gandingan suami isteri popular itu dalam Aduh Saliha versi baru. SS juga dengar ramai memuji lakonan Mawi dalam filem Jin Noti dan jika projek Aduh Saliha diteruskan, Mawi yang sudah ada pengalaman berlakon tentu dapat menunjukkan mutu lakonan yang lebih baik lagi.

Mawi juga tentu tambah bersemangat kerana dapat berlakon dengan isteri sendiri. Tiada lagi halangan untuk membawa watak sebagai kekasih dan tiada yang marah jika Mawi terpaksa melakukan adegan intim dengan heroinnya.

Tetapi biarlah berpada-pada kerana mesti ramai penonton kecil hendak tengok sama. Nanti timbul banyak pula kemusykilan di hati mereka. Biarpun sudah menjadi suami isteri, jika perlu melakukan adegan romantik, mesti ada batas dan sempadannya.

Semoga pembikinan semula filem itu menjadi kenyataan. Seperkara lagi mungkin pengarah filem itu akan bertukar, tetapi SS belum sempat merisik siapakah orangnya dan syarikat mana pula yang akan mengambil alih menerbitkan filem itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: