Monday, May 11, 2009

Dilema ibu hidap HIV


KASIH sayang seorang ibu tiada penghujungnya meskipun terpaksa berkorban nyawa demi mempertahankan kebahagiaan anak tersayang. Bergelar pesakit HIV lantaran kecurangan suami dan dihimpit kenyataan menanti saat untuk menghembuskan nafas terakhir.

Seorang ibu berusaha untuk mendapatkan penjaga memastikan anaknya mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya selepas kematiannya.

Begitu kisah yang melatari drama menarik khas Hari Ibu, Payung Kasih mengisi slot Citra@2 jam 8.30 malam di TV2 pada 14 Mei ini.

Drama ini mengisahkan kehidupan Maria, doktor yang disahkan menghidap HIV dijangkiti daripada hubungan sulit Rudi, suaminya dengan seorang wanita asing. Rudi memohon maaf daripada Maria, tetapi hingga Rudi menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia tetap enggan memaafkannya. Kini Maria sudah sembilan tahun disahkan menghidap HIV positif.

Maria kemudian membuka farmasi untuk terus berbakti kepada masyarakat. Sebagai bekas doktor, Maria menjaga dirinya sebaik mungkin sehingga dia tidak kelihatan sakit. Namun, Maria sedar ajal semakin menghampirinya. Maria tidak takut akan kematian, tetapi dia takut meninggalkan anak gadisnya, Melati yang baru berusia 11 tahun.

Maria berterus terang jangka masa hayatnya kepada Melati, tetapi dia merahsiakan penyakitnya. Melati terlalu muda untuk memahami mengenai Aids akibat kecurangan arwah bapanya. Maria ingin melindungi Melati. Maria tidak mahu Melati tertekan.

Dia tidak mahu Melati disisihkan atau diejek kawannya sekiranya mereka tahu ibu bapa Melati pesakit Aids. Namun begitu, Melati tetap tertekan dan selalu menangis kerana tidak mahu berpisah dengan Maria.

Maria dan Melati cuba mencari keluarga angkat buat Melati. Persinggahan pertama mereka di rumah ibu Maria yang bersuami baru selepas ayah Maria meninggal dunia lima tahun lalu. Ibu Maria, Maisarah, gembira untuk menerima kehadiran Melati dalam hidupnya tetapi bapa tiri Maria, Rashid ternyata hanya berpura-pura.

Maria dapat menghidu ketidakikhlasan hatinya. Maria tidak sanggup meninggalkan Melati di situ. Maria ke rumah ibu bapa bekas suaminya tetapi mereka tidak mahu menerima Melati. Mereka yakin Melati mewarisi penyakit Maria dan Rudi. Ada yang sanggup menerima Melati tetapi Maria tidak yakin dengan ketulusan mereka.

Maria dan Melati meneruskan ekspedisi 'pencarian kasih' mereka dan terus berhadapan dengan kegagalan. Sebelum keputusan itu, Maria dan Melati menghabiskan hari berikutnya berdua di rumah banglo di tepi pantai.



Ketika Melati sedang membuat istana pasir dia didatangi Intan dan Azhar yang menyangka Melati adalah anak mereka dan cuba untuk mendapatkan Melati menyebabkan Melati lari mendapatkan Maria.



Siapakah pasangan suami isteri itu? Apakah hubungan keduanya dengan Maria? Berjayakah usaha Maria untuk mendapatkan perlindungan dan penjaga untuk anaknya setelah kematiannya kelak? Saksikan kesudahan kisah pilu menyayat hati itu, usah ketinggalan menonton drama istimewa itu.

Drama terbitan Pentas Wayang Production Sdn Bhd ini menyaksikan gandingan hebat pelakon Nor Albaniah, Erynne Erynna, Esma Daniel dan Watie Sadali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: