|
| PENGUMUMAN kemasukan semula Khairil Azam Pilus (Aril) dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), menerusi undian sistem pesanan ringkas 'AF Masuk' yang diumumkan kelmarin, menjadi pertikaian penonton setia mahupun media. |
Ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan diambil Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua rancangan itu dan produksi pada konsert minggu kesembilan yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Rata-rata kebanyakan mereka (penonton dan media) berasakan untuk musim ini AF Masuk tidak perlu memandangkan baki peserta yang bakal beraksi di konsert akhir nanti sudah cukup kuat.
Sebelum ini dalam rancangan Diari AF7, pelajar seperti Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) pernah menyatakan AF Masuk tidak adil dilakukan kerana peserta yang bakal bersaing bersamanya pada konsert akhir mendapat laluan mudah.
Ini berbeza dengan baki peserta yang masih berada dalam Akademi yang perlu berusaha mengadakan persembahan setiap minggu.
Kemasukan semula Aril untuk beraksi di konsert akhir dijadualkan berlangsung pada 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil, jam 9 malam, juga seperti dirancang apabila dua pelajar disingkirkan pada konsert minggu ke lapan lalu iaitu Claudia Fay Geres (Claudia) dan Siti Aishah Bujang (Aishah).
Pada sidang akhbar sebaik konsert berakhir, Ketua Rangkaian Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, elemen AF Masuk sudah diwujudkan dalam rancangan realiti TV itu sejak Akademi Fantasia Musim Kedua (AF2) apabila Linda Nanuwil dibawa masuk semula menerusi SMS dihantar penonton setia.
"Ia bergantung kepada Tiara selaku pengetua dan atas perbincangan dengan pihak produksi. Undian bukan saja membabitkan Aril, tetapi semua pelajar yang sudah tersingkir sebelum ini termasuk Aishah dan Claudia.
"Bagaimanapun, sebaik saja undian AF Masuk ditutup pada jam 9 malam tadi (kelmarin), rezeki ternyata menyebelahi Aril apabila menerima undian paling tinggi," katanya.
Elemen AF Masuk juga dilihat sebahagian daripada gimik produksi AF7 dalam usaha menarik perhatian umum. Apatah lagi dengan mengadakan AF Masuk ia membolehkan produksi memperoleh sedikit keuntungan.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Khairul menafikan pihaknya mendapat keuntungan apabila undian AF Masuk dilakukan malah jika dinilai daripada jumlah undian diterima, ia tidak sebesar seperti AF Masuk musim kedua.
"Aril menerima 52 peratus daripada 300,000 undian diterima daripada penonton setia. Ini bermakna setengah daripada jumlah itu menyokong dia masuk kembali menyertai konsert akhir.
"Menilai daripada hasil undian itu, seperti umum tahu tidak semua jumlah wang daripada SMS diterima masuk ke dalam produksi dan ia perlu dibahagikan dengan syarikat telekomunikasi. Kos untuk menghasilkan konsert ini juga tidak murah dan memerlukan belanja yang besar," katanya.
Kelmarin, tiada penyingkiran dibuat dan empat peserta yang beraksi di konsert minggu ke sembilan, Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), Afiq Hakim Ahmad (Akim), Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) dan Ismaliza Ismail (Isma) akan terus beraksi pada konsert akhir.
Rata-rata persembahan mendapat pujian daripada penonton mahupun pengkritik iaitu Edrie Hashim, Ning Baizura dan Adlin Aman Ramli. Pujian terutama kepada Hafiz dan dan Akim yang sudah mula menampakkan kesungguhan mahu beraksi di konsert akhir.
Kelmarin, peserta turut diuji untuk mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Bagaimanapun, kebanyakan daripada peserta hanya menonjol pada satu daripada dua lagu yang didendangkan.
Mengambil contoh Akim yang cemerlang sewaktu mendendangkan lagu I'm Yours, nampak sedikit berlebih-lebihan sewaktu mendendangkan lagu Dewa 19, Larut.
Sementara Hafiz pula persembahannya nampak terlalu berselerak apabila beraksi bersama penari jemputan terdiri daripada kanak-kanak sewaktu menyanyikan lagu pertama Laskar Pelangi yang dipopularkan kumpulan popular seberang, Nidji.
Hafiz bangkit kembali apabila memberikan persembahan begitu mengagumkan sewaktu mendendangkan lagu I Believe I Can Fly nyanyian asal R Kelly.
Walaupun masih dalam kategori baik, ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki Isma yang menjadi peserta tunggal wanita bakal beraksi di konsert akhir, terutama stamina dalam penyampaian.
Peserta berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu cepat mengah apabila nyanyiannya memerlukan banyak pergerakan, sementara Yazid masih kurang penghayatan dan masih berhadapan dengan masalah nyanyian yang agak kosong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: