Friday, May 8, 2009

'Selesa low profile'...Zally


MUNGKIN tidak banyak publisiti mengenai pelakon kacak Razali Hussain atau Zally dipaparkan di akhbar atau majalah sejak kebelakangan ini.

Namun, kata Zally, 31, yang dikenali menerusi drama Pesona Bintang dan Susuk, dia berasa cukup selesa dengan cara hidupnya yang `low profile' sejak setahun lalu.

"Terus terang, kehidupan saya lebih tenang berbanding dulu. Memang saya tidak hidup mewah kerana masih memandu kereta terpakai yang digunakan sejak awal pembabitan saya dalam bidang seni dulu tetapi saya akui selesa dengan hidup saya sekarang.

"Saya menceburi bidang lakonan kerana ingin mencari tapak di persada seni tanah air. Maklumlah, saya menceburi bidang seni pada usia lewat iaitu 29 tahun sebab itu saya tidak ghairah mengejar glamor seperti pelakon muda zaman sekarang.

"Saya memang tidak suka dengan cerita kontroversi atau publisiti murahan untuk dikenali ramai. Pada masa sama, saya berlakon untuk mengumpul wang sebagai pelaburan dalam perniagaan diceburi," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem 90 Minit, baru-baru ini.

Katanya, selain berlakon dan menyanyi, fokusnya kini pada syarikatnya, Raz-1 Resources Sdn Bhd yang ditubuhkan pada April tahun lalu.

"Saya menubuhkan syarikat ini sebagai jaminan masa depan. Sampai bila saya akan menyanyi dan berlakon saja sedangkan usia semakin meningkat. Justeru, bila ada peluang buat bisnes, saya tidak ingin lepaskan peluang keemasan itu.

"Dalam kemelut ekonomi global sekarang, artis juga perlu bijak mencari peluang dan tidak boleh bergantung pada bidang seni semata-mata. Kalau tidak boleh plan A, carilah plan B pula," katanya.

Demi memajukan syarikatnya itu, Zally berkata, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama bersiri sebelum ini.

"Saya banyak dapat tawaran berlakon tahun lalu tetapi terpaksa menolak kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen ketika itu. Saya tidak ada masalah berlakon telefilem kerana waktu penggambarannya tidak membabitkan tempoh yang panjang," katanya.



Antara telefilem lakonannya sebelum ini ialah Puisi Untuk Anis, Bidadari Mimpi bersama Marsha AF, Emel dari Angkara, Dendam Adam, Paku Di Dinding Hati (bersama Ady Putra), Pentas Opera bersama Elly Mazlein. Selepas menjadi artis undangan dalam filem Selamat Pagi Cinta, Zally juga sempat berlakon filem Cyber-X. Tidak ketinggalan, program Rumahku Syurgaku bergandingan dengan Azza Akademi Fantasia untuk RTM, tahun lalu.



Mengenai kerjaya nyanyian, kata Zally, dia juga kecewa kerana mini album yang dihasilkan sebelum ini tidak dapat dipasarkan seperti direncanakan.

"Saya cuba menjual mini album itu di pasaran tapi saya dimaklumkan pengedar, mereka tidak mahu mini album seperti itu. Saya kecewa perkara itu berlaku kerana saya hasilkan album itu dengan duit sendiri menerusi syarikat yang ditubuhkan bersama rakan kongsi dulu.

"Insya Allah, jika ada rezeki, saya tetap ingin menghasilkan album penuh pada penghujung tahun ini dengan duit sendiri nanti. Sebenarnya, mennyanyi adalah ketamaan saya tetapi saya terpaksa akur rezeki saya nampaknya pada bidang lakonan sekarang," katanya.

Bagaimanapun, kata Zally, dia tetap mendapat banyak undangan menyanyi sekalipun tanpa album.

"Saya masih banyak dapat undangan menyanyi di sebelah utara terutama di Kedah atau Pulau Pinang. Saya juga dapat tahu album saya itu tidak dipasarkan lagi kerana setiap kali memenuh undangan menyanyi, orang akan bertanya bila saya ingin muncul dengan album?

"Justeru, saya berharap, album penuh yang dihasilkan nanti boleh memberi kepuasan pada diri dan peminat yang ternantikan bingkisan album saya itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: