Friday, May 8, 2009

Abby kongsi cabaran


WANITA kini bukan saja menjadi isteri dan ibu, tetapi turut membantu menjana pendapatan keluarga. Oleh itu, sempena Hari Ibu pada 9 Mei ini, molek benar jika ada yang menghargai jasa dan sumbangan bakti wanita bergelar isteri dan ibu terhadap kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga.

Selain pemberian pelbagai hadiah, makan malam dan sebagainya, apa kata jika pada sambutan Hari Ibu kali ini, suami memberi kelainan kepada isteri dengan mendaftarkan mereka menghadiri bengkel kecantikan dan penjagaan kesihatan di Hotel Quality, Kuala Lumpur, pada 9 Mei ini, jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bengkel Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan Mak Dara itu akan membongkar rahsia kebahagiaan rumah tangga. Mak Dara atau nama sebenarnya, Halimah Shuib, 65, yang juga pengasas Jamu Mak Dara menegaskan wanita memerlukan kecantikan dalaman dan luaran.

"Wanita terutama yang sudah bersuami dan melahirkan cahaya mata memerlukan penjagaan dalamam yang lebih teliti kerana kesihatan yang baik akan menaikkan seri wajah. Kebanyakan wanita mula mengabaikan penampilan selepas berkahwin dan melahirkan.

"Dalam bengkel itu juga, saya akan menyingkap rahsia keintiman pasangan suami isteri. Jangan masa bercinta saja segalanya indah dipandang mata, selepas berkahwin pun kita perlu menjaga penampilan diri," katanya.

Untuk memeriahkan lagi bengkel itu, pelakon popular, Abby Abadi, 31, akan tampil berkongsi rahsia hati dan kekuatan dirinya berhadapan pancaroba hidup.

Kata Abby, bukan dia ingin memburukkan sesiapa namun yakin di luar sana ramai wanita menghadapi masalah sama dengannya.

"Sebagai wanita, isteri dan ibu yang sudah melalui pengalaman pahit manis dalam kehidupan, saya ingin memberi semangat kepada semua supaya jangan mudah mengalah dengan keadaan," katanya.

Melengkapkan lagi atur cara bengkel itu, juru solek artis terkenal Deq Sha, turut serta memberi tunjuk ajar cara bersolek seperti artis terkenal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: