MUHAMMAD Aizat Amdan, 20, bukan artis tempatan pertama mewakili negara ke pertandingan lagu dan muzik antarabangsa di Kazakhstan dan Bulgaria. |
Sejak 1995 (melainkan 2006 dan 2007), Malaysia tidak pernah ketinggalan menghantar wakil ke pertandingan International Song & Music Festival-Voice Of Asia, Astana International Contest Of Kazakh Song, The Shanghai Music Festival serta International Pop Music Festival-Discovery.
Lebih membanggakan, jarang sekali penghibur kita pulang dengan tangan kosong. Datuk Siti Nurhaliza mencatat pencapaian paling cemerlang dan gemilang apabila muncul juara keseluruhan di International Song & Music Festival-Voice Of Asia pada 2002 manakala Ziana Zain tempat pertama pertandingan sama pada 1995.
Tahun lalu, penyanyi kecil molek, Mila AF5 mewakili negara ke pertandingan ini dan meraih kemenangan bagi kategori Lagu Terbaik, Artis Muda Berbakat dan Miss Tourism Bulgaria Award.
Jika ada yang gagal mendapat pengiktirafan tertinggi sekalipun, pasti pulang dengan sesuatu yang membanggakan. Misalnya naib juara, tempat ketiga, persembahan terbaik termasuk hadiah juri.
Namun, sejauh mana festival seumpama ini berkesan dalam membantu penghibur tanah air mengembangkan bakat serta kerjaya mereka ke peringkat antarabangsa? Berdasarkan pemerhatian 10 tahun lalu, prestasi artis yang pernah bertanding di acara itu tiada banyak peningkatan atau perubahan. Justeru, apa relevannya Aizat menyertai pertandingan ini?
Aizat yang popular dengan Hanya Kau Yang Mampu berkata penyertaannya ke International Pop Music Festival Discovery 2008 di Varna, Bulgaria mulai esok hingga 10 Mei ini untuk menimba pengalaman bertanding di festival antarabangsa.
"Namun saya akui agak tertekan, bimbang kalau pulang tangan kosong. Saya sebenarnya lebih teruja melihat dunia luar kerana sebelum ini tidak pernah ke Bulgaria. Islam sendiri menyarankan supaya umatnya melihat dunia, justeru saya berbangga kerana mendapat peluang ini," katanya.
Yakin mampu bersaing, Aizat yang berangkat Rabu lalu dan kembali 15 Mei ini berpendapat, keunikan muzik dan vokal penyanyi tempatan lebih variasi berbanding penyanyi luar.
|
"Lagu ini hasil ciptaan saya sendiri. Selain menyanyi, keupayaan saya mencipta lagu dan bermain muzik, mungkin membezakan saya dengan peserta lain sekali gus menjadi tarikan juri memberikan markah lebih.
"Ikutkan, banyak koleksi lagu dalam simpanan saya cuma ia tidak dirakamkan. Apa yang boleh saya katakan, Lagu Kita adalah karya paling jujur daripada saya kerana ia mengisahkan kehidupan saya sendiri.
"Penting bagi artis untuk jujur dalam apa jua yang dilakukan. Justeru pada pertandingan itu nanti, saya akan bermain gitar dan membawakan lagu ini dengan cara saya," katanya.
Persediaan lain kata Aizat, dia berharap diberi kesihatan yang baik dan truut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum bertolak ke Bulgaria. Lebih-lebih lagi ketika ini berita selsema babi (H1N1) melanda Mexico dan menular ke Eropah, hangat diperkatakan.
Bercerita lanjut perjalannya sepanjang di Bulgaria, Aizat mahu memanfaatkan peluang itu untuk mempromosi nama Malaysia sebaik-baiknya. Misalnya cakera padat rakan artis seperti Meet Uncle Hussain dan Hujan termasuk kepunyaan sendiri, majalah dan makanan tempatan untuk dipromosikan di Bulgaria. Aizat juga akan memperagakan baju batik.
Selain mengikuti jadual pertandingan yang padat, Aizat turut terikat dengan sesi temubual bersama stesen radio dan televisyen negara berkenaan dan dia melihat peluang itu satu lagi usaha mempromosikan muziknya serta memperkenalkan nama Malaysia.
Sebanyak 30 helai kain batik dan sehelai baju kemeja batik disumbangkan Kraftangan Malaysia untuk dibawa ke Bulgaria.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nellomar Productions Sdn Bhd, Nelly Omar yang juga penganjur rasmi pertandingan di Malaysia berkata, Aizat dipilih mewakili negara bukan saja kerana kemantapan vokalnya tetapi turut dinilai faktor lain seperti pencapaian dicipta sepanjang tahun lalu.
"Walaupun masih baru, pencapaian seni Aizat cukup membanggakan seperti layak ke Anugerah Juara Lagu mempertaruhkan Lagu Kita ciptaan sendiri. Sebab itu kami usulkan namanya kepada penganjur Discoveryfest, Varna, Bulgaria, disamping beberapa nama calon lain.
"Untuk pengetahuan ramai, pemilihan Aizat ke Bulgaria ditentukan juri luar yang terbabit dalam pertandingan itu dan bukan dari pihak kami. Pun begitu, kami yakin Aizat adalah calon paling layak menggalas tugas ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: