|
 |
| KONTROVERSI yang membabitkan dirinya suatu ketika dulu tidak pernah melunturkan semangat pelakon, Azizah Mahzan. Memori hitam gambar 'panas' bersama Zaefrul Nadzarine Nordin selain penampilan dengan imej seksi yang mendapat kritikan dalam drama bersiri Spa Q menjadikannya lebih berhati-hati. |
Menurut Azizah, kontroversi yang timbul itu adalah bahagian kecil dalam dunia seni memandangkan sebelum ini dia pernah diuji dengan pelbagai dugaan yang lebih besar.
"Pada saya isu itu sudah berlalu. Saya tidak mahu berdendam dan marah pada sesiapa kerana saya menganggap kontroversi dengan Zaefrul sebagai dugaan. Biar yang Maha Berkuasa yang menentukan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana rezeki saya semakin murah dan mendapat karektor yang saya mahukan," katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan pelakon Mana Setangginya.
Azizah melakonkan watak Mira dalam Mana Setangginya karya Sasterawan Negara ke-7, Datuk Noordin Hassan arahan Zaifri Husin. Sebagai persediaan dia mengakui terpaksa mengurangkan berat badan kerana supaya memudahkan pergerakan dalam teater itu.
"Sekarang, saya kena kuruskan badan lagi kerana akan digantung dalam teater ni. Buat masa ini, berat saya 53kg. Jadi saya perlu kurangkan lagi supaya ringan sikit sebelum digantung. Saya juga membuat latihan untuk fizikal dan menjaga masa tidur yang cukup," katanya.
Menurut Azizah, dia memang sudah lama mengimpikan untuk berlakon dalam teater karya hebat Sasterawan Negara itu. Naskhah itu sudah diperap hampir 10 tahun lalu dan sepatutnya dipentaskan semasa pembukaan Istana Budaya pada September 1999.
Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya Azizah turut menjadi sebahagian daripada tenaga produksi pertama yang cuba mementaskan teater itu. Begitupun disebabkan faktor tertentu teater berkenaan tidak dapat dipersembahkan.
Dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila teater itu akhirnya dipentaskan juga menerusi arahan Zaifri Husin.
"Saya berasa agak sensitif apabila mahu menceritakan apa yang berlaku dulu tetapi saya anggap mungkin masa itu belum rezeki kami untuk mementaskan Mana Setangginya.
"Karya itu mempunyai kekuatan tersendiri dan menyentuh mengenai isu berat yang mempunyai penerimaan berbeza pada waktu itu.
"Boleh dikatakan naskhah ini tidak sesuai dipentaskan waktu itu kerana bagi saya ceritanya seolah-olah menggambarkan mengenai kehidupan zaman Nabi Lut.
"Begitupun saya tidak bermaksud membuat rumusan manusia yang hidup sekitar 10 tahun lalu kurang bijak.
"Saya rasa, ini masa yang sesuai untuk mementaskan karya beliau. Insya-Allah, ia akan dapat diterima. Apa yang boleh saya katakan ialah saya cukup gembira apabila dapat menjadi sebahagian daripada mereka menjayakan pementasan teater ini," katanya.
Azizah melakonkan watak Mira iaitu seorang pendita dan anak raja. Menurut pemahamannya Mira adalah seorang pendatang yang memberi 'cahaya' dan menyebarkan apa yang dia percaya.
Selain Azizah, teater berkenaan turut dibintangi Sabrina Ali Dad Khan, Tony Eusoff, Azman Abu Bakar, Shaharuddin Thamby, Mohd Nor Fatih Moktar, Rudy De Luna Jr dan Iqbal Taufik. Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 21 Jun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: