Saturday, May 9, 2009

'Saya lalui jalan sukar'


PERTAMA kali melihatnya beraksi dalam pementasan teater Mahsuri, ramai terpaku dengan lelaki ini yang mula berjinak-jinak dalam dunia teater.
Apatah lagi tampil dengan watak utama sebagai Wan Darus, membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah dia.

Berbekalkan paras rupa menarik dan suara yang merdu, ia dilihat sebagai satu pakej bagi personaliti baru ini untuk memiliki harapan cerah bergelar anak seni berjaya suatu hari nanti.

Arja Lee, 25, atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, tidak menafikan pemilihannya untuk memegang watak utama dalam teater itu sedikit sebanyak membantu mempromosi dan memperkenalkan dirinya kepada peminat industri hiburan tempatan.

Malah, dirinya sehingga hari ini masih bersyukur dan berterima kasih kepada Fauziah Nawi, pengarah teater Mahsuri kerana memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk menjadi Wan Darus dan bergandingan dengan Vanidah Imran, pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2007.

"Saya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk terbabit dalam Mahsuri, namun mungkin ini rezeki untuk terus melebarkan sayap sebagai anak seni.

"Watak yang saya pegang agak besar dan berat, namun kerana minat dan tanggungjawab, saya cuba menggalasnya sebaik mungkin.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa berada di sisi untuk memberi motivasi. Jika tidak, memang saya tidak dapat melakukannya.

"Bagaimanapun, saya berasa lega apabila teater itu berjaya dipentaskan dan mendapat reaksi memberangsangkan. Melalui Mahsuri, saya mengharapkan lebih banyak tawaran yang mendatang selepas ini," katanya.

Bercerita mengenai projek terbaru selepas Mahsuri, kata Arja, dia akan menjalani latihan teater muzikal, Kaki Blue, arahan Faridah Marican bermula Jun ini.

Mengenai wataknya dalam Kaki Blue, kata Arja, dia belum lagi mendapat penjelasan lanjut mengenai peranannya dalam teater muzikal berkenaan.



"Saya diberitahu terdapat 10 watak utama dalam teater muzikal ini dan salah satu watak itu diberikan kepada saya.



"Mengenai watak dan jalan cerita akan dijelaskan melalui mesyuarat pada 18 Mei ini bersama semua tenaga produksi yang terbabit dalam Kaki Blue.

"Saya turut diberitahu, latihan pementasan teater musikal ini mengambil masa dua bulan dan akan dipentaskan pada Ogos ini di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).

Menyentuh persoalan sama ada dirinya mendapat tawaran daripada Faridah kerana wataknya sebagai 'hero' dalam teater Mahsuri, Arja terus menyangkal dakwaan itu.

"Saya memang mengharapkan lebih banyak tawaran mendatang selepas Mahsuri. Namun, pemilihan saya dalam Kaki Blue bukan melalui jalan mudah kerana saya juga perlu menghadiri uji bakat yang diadakan.

"Persaingan sengit kerana semuanya berbakat. Cuma, apa yang saya lakukan buat sebaik mungkin dan syukur akhirnya saya terpilih," katanya.

Selain itu, Arja juga sedang menunggu uji bakat pusingan akhir untuk filem Anu Dalam Botol, terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman bagi watak Ruby.

"Saya diberitahu pembantu Raja Azmi yang saya terpilih untuk uji bakat pusingan akhir filem ini dan kata mereka, ia akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, anak bongsu daripada empat beradik ini pernah menyertai program realiti Audition ntv7 (2004), finalis program realiti Gangstarz TV3 bersama Kumpulan Equal Starz (2007) dan memiliki pelbagai pengalaman pentas seperti penyanyi utama dalam pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang musim pertama dan kedua (2006 dan 2007) serta pernah tampil memegang watak utama dalam telemovie Alahai Anak Omak untuk saluran Astro Ria.

Melihat pembabitannya dalam industri hiburan bukan sahaja tertumpu kepada lakonan, malah turut meliputi nyanyian dan tarian, kata Arja, dia ingin mempelbagaikan kariernya dalam industri hiburan.

"Saya tidak mahu mengehadkan pembabitan saya dalam persada seni. Kalau boleh, saya ingin cuba semuanya.

"Lagipun, sudah ada tawaran mendatang dan orang kata jangan tolak rezeki. Sekiranya tidak terima, rugilah pula," katanya.

Bagi Arja, dirinya tidak pernah mensasarkan populariti sebagai matlamat utamanya menceburi bidang yang penuh dengan glamor ini.

"Soal populariti pula jatuh nombor dua kerana saya tidak mahu nama saja popular, namun hakikatnya tiada apa yang harus dibanggakan.

"Saya menceburi industri ini kerana minat dan ingin menjadikannya sebagai karier. Oleh itu, saya tidak boleh main-main dan perlu serius mencari peluang yang ada untuk memasarkan diri," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Arja berkata, dia ingin menyambung pelajaran dalam teater dan pengarahan di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menggapai cita-citanya menjadi pensyarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: