Saturday, May 9, 2009

Zamarul, Diana gembira dalam penat


SELEPAS lapan tahun bercinta, akhirnya aktor Zamarulhisham (Zamarul) Mohamed, 38, dan tunangnya juga pelakon utama filem Susuk, Adiana (Diana) Rafar, 27, bakal mengakhiri zaman duda dan dara.

Pasangan ini akan bernikah di Masjid Shah Alam pada 16 Mei dan diikuti majlis resepsi di Bougainvilla Garden, Seksyen 9, Shah Alam, jam 8 malam. Pasangan ini juga sudah menetapkan jumlah wang hantaran sebanyak RM16,500.

Ketika ditemui dalam sesi fotografi khas bersama Rap di butik Syahrir Nurdin, Plaza Masalam, Shah Alam bagi melihat persalinan pernikahan dan persandingan sedang disiapkan, pasangan yang kini sibuk membuat persiapan terakhir kelihatan gembira walaupun pada waktu sama nampak kepenatan kerana ada beberapa urusan masih belum selesai.

Zamarul sendiri menjelaskan, kini kad jemputan masih ada lagi yang belum dihantar walaupun hari pernikahan dan persandingan berbaki seminggu (sewaktu ditemu bual).

"Saya kalau boleh tidak mahu poskan kad undangan. Kata orang lebih afdal sekiranya kita menghantar sendiri, tetapi kerana beberapa masalah yang berlaku sebelum ini membuatkan urusan penghantaran tergendala.

"Sekarang mahu atau tidak, ada sebahagian kad terpaksa juga kami poskan demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

"Diana sendiri sudah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kenalan bagi memberitahu mengenai kad sedang dihantar dan sekiranya tidak sampai, kami menjemput mereka menerusi SMS terbabit," katanya.

Bercerita lanjut mengenai masalah yang berlaku, jelas Zamarul, segalanya berpunca daripada kesibukannya di lokasi selama tiga bulan dan kemudian pada waktu sama, sibuk memikirkan apa yang perlu dilakukan pada hari persandingan nanti.

"Hendak diikutkan saya mahupun Diana mahu mengadakan majlis secara kecil-kecilan. Tetapi memikirkannya kembali, ia tidak adil buat tunang tersayang.

"Ini bukan perkahwinan pertama saya tetapi tidak Diana. Selepas berbincang dengan ahli keluarga, kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis yang sempurna iaitu berinai pada 14 Mei, pernikahan dan persandingan.


"Dalam membuat persiapan majlis resepsi, kami sempat menjengah beberapa lokasi berhampiran rumah Diana dan keputusannya ia diadakan di Bougainvilla Garden berhampiran Hotel Concorde Shah Alam, kerana sesuai dengan tema perkahwinan dalam taman.


"Pertama kali melihat padang yang luas, di kepala ligat memikirkan banyak perkara yang harus dilaksanakan dan ia sedikit sebanyak memberikan kami tekanan.

"Maklumlah sebagai tuan rumah yang mahu tetamu berkongsi kegembiraan bersama, sebaik mungkin kami mahu segalanya berjalan dengan sempurna. Begitupun, saya memikirkan kemeriahan bukan terletak kepada hiasan yang berlebih-lebihan tetapi kehadiran ahli keluarga dan tetamu sebenarnya yang akan menyerikan lagi majlis kami," katanya.

Zamarul sempat juga berkongsi cerita membabitkan kesihatannya yang terganggu, baru-baru ini sehingga menyebabkan urusan penghantaran kad undangan tergendala.

"Kejadian berlaku pada 27 April lalu ketika saya sedang melalui Jalan Duta untuk mengedarkan kad. Tiba-tiba saya berasa hendak pitam. Memandangkan keadaan saya yang tidak menentu waktu itu, saya sempat berhenti di stesen minyak berhampiran dan menghubungi Diana.

"Tiga kali juga saya tidak sedarkan diri. Kali ketiga itu memang saya pengsan terus. Mujur waktu sama Diana datang bersama pembantu dan ambulans. Saya hanya sedar semula apabila berada dalam ambulans dan melihat Diana ada di sisi. Saya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Tiga hari juga saya dimasukkan ke hospital. Menurut doktor, saya menghadapi kekurangan gula dalam darah. Tertekan dan kerja secara berterusan tanpa rehat dikatakan menjadi punca.

"Apabila sedar, saya lihat ada kad jemputan dalam dua kotak besar belum diedarkan dan perkara itu amat merisaukan saya," katanya.

Menyentuh mengenai pandangan dua orang anaknya hasil perkahwinan terdahulu, Izzat Haiqal, 10, dan Iqmal Haiqal, 7, tahun mengenai pernikahannya dengan Diana, jelas Zamarul, mereka tidak mempunyai sebarang masalah, malah berasa sangat teruja.

"Terutama anak sulung saya. Sebelum ini, dia selalu bertanya bila saya akan bernikah sekali lagi. Dan apabila saya memberitahunya mengenai keputusan diambil (bernikah dengan Diana), Izzat sibuk membilang hari.

"Dia juga sering mengingatkan saya agar jangan lupa membawanya untuk mencuba baju bakal digayakan pada hari pernikahan dan persandingan nanti," katanya.

Jelas Diana pula yang sibuk mencuba baju pengantinnya menjelaskan, sepanjang lapan tahun bercinta dengan Zamarul, dia tidak pernah mengharapkan ia berakhir dengan perkahwinan.

"Saya meletakkan segalanya pada jodoh. Saya cuba lalui hari-hari mendatang tanpa meletakkan sebarang sasaran. Bagaimanapun, sewaktu kami mengikuti kelas motivasi, tiba-tiba Zamarul terbuka hati untuk melamar saya. Pernikahan dan perkahwinan ini saya anggap rezeki," katanya.

Menyentuh mengenai perbezaan usia, jelas Diana, perkara itu tidak pernah dijadikan ukuran.

"Dulu masa mula-mula bercinta, memang saya rasa pelik. Maklumlah waktu itu usia saya 19 tahun dan Zamarul, 32. Saya berasakan seperti bercinta dengan orang tua.

"Walaupun dia tidaklah terlalu tua waktu itu tetapi pemikirannya sangat matang. Tetapi apabila berkawan, Zamarul banyak mempengaruhi sikap dan cara saya berfikir, malah penampilan saya juga dia juga yang jaga," katanya.

Menyandang status ibu 'segera' juga bukan masalah bagi Diana kerana katanya, sepanjang berkenalan, dia sudah diperkenalkan dengan Izzat dan Iqmal.

"Saya sudah mempunyai 13 anak buah dan sebagai anak bongsu, saya sudah biasa menjaga mereka. Kadang-kadang anak Zamarul bertandang ke rumah dan bermain dengan anak buah saya, dan secara tidak langsung mereka sudah rapat dengan keluarga saya," katanya.

Diana dan Zamarul turut bertuah apabila dalam kesibukan membuat persiapan, adik-beradik pelakon yang kini membabitkan diri dalam perniagaan spa itu turut membantu.

Mengambil contoh, sewaktu melihat pakaian yang dihasilkan Syahrir, kakak Diana iaitu Asilla dan Anita juga anak buahnya, Nuzul Hanis Hamid turut sama melihat bagi memastikan penampilannya benar-benar memuaskan hati dan menjadi seperti apa yang digambarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: