|
|
KASIH ayah sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga. Namun, ada anak yang tidak pernah menghargai kasih sayang insan mulia itu ketika hayatnya masih ada. Selepas dipanggil menghadap Ilahi, barulah terasa betapa kosongnya hidup tanpa ibu tercinta tempat bermanja dan menumpang kasih. |
Justeru pada Hari Ibu yang di sambut 10 Mei setiap tahun, kepada yang masih ada ibu lakukanlah sesuatu untuk menggembirakan hatinya kerana entah bila beliau akan pergi meninggalkan kita. Meskipun beliau tidak mengharapkan sebarang balasan, sebagai anak balaslah pengorbanannya yang tidak terhitung banyaknya.
Zizie Izette Abdul Samad, 31, yang kini mengecapi populariti dan kemasyhuran hidup sebagai anak seni tidak pernah melupakan 'hari penting' mummynya, Fauziah Khatijah Musa (Khaty), 52, iaitu pada hari kelahirannya dan Hari Ibu.
Pelakon popular Spa Q itu sangat mengasihi mummynya kerana berkat sokongan wanita cekal itu, dia mampu mengecapi kejayaan kini.
"Selepas daddy meninggal hampir 14 tahun lalu, saya dan tiga lagi adik beradik hanya ada mummy mencurahkan kasih. Sesukar manapun mummy menjalani kehidupannya selepas ketiadaan daddy, perhatiannya pada kami tidak pernah kurang. Lantaran itu, sesibuk mana pun saya bekerja, mummy tetap diutamakan.
"Dalam dunia ini semua benda boleh dibeli, tetapi Allah hanya beri seorang ibu untuk kita. Jadi selagi ada hayat mummy, saya akan pastikan beliau bahagia. Setiap hari, saya berusaha menunjukkan kasih sayang kepada mummy.
"Pada Hari Ibu, beliau mendapat layanan lebih istimewa daripada saya, Abang Ngah (Samzy Fuzette, 33) dan adik (Shaheizy Sam, 27)," katanya.
Cerita Zizie, mereka mula meraikan Hari Ibu selepas masing-masing bekerja dan biasanya setiap tahun dia, Abang Ngah dan Shaheizy berbincang hadiah apa yang hendak dibeli untuk mummy dan ke mana hendak bawa pada hari itu.
"Syukur kepada Allah SWT selepas ketiadaan daddy, hubungan kami adik-beradik semakin akrab termasuk kakak (Joziet Ronalie, 34) yang kini menetap bersama keluarganya di Alaska, Amerika Syarikat.
"Waktu kecil dulu, kami suka bergaduh tambahan ketika itu daddy yang juga Timbalan Ketua Polis Selangor mendidik kami dengan tegas.
"Jika makan semeja dengan daddy, mulut jangan berbunyi. Sudu dan garfu tak boleh berlaga pinggan. Macam mana tertibnya daddy ketika di pejabat, dia turut menerapkan disiplin sama kepada anaknya. Tetapi dalam empat beradik, saya yang tidak takut dengan daddy. Pun begitu, jelingan daddy tetap membuatkan saya seram sejuk.
"Ingat lagi kerana tak puas makan bersama daddy, selepas daddy habis makan, kami akan makan lagi untuk kali kedua kerana tak kenyang. Saya berterima kasih kepada daddy kerana menjadikan kami sangat berdisiplin. Saya mengikut cara daddy yang sangat menepati masa.
"Kini daddy sudah tiada, hanya mummy tempat bermanja dan mengadu nasib. Jadi mana mungkin saya akan melupakan mummy yang sangat memahami kerenah anaknya. Jatuh bangun dalam dunia seni perkara biasa, namun tanpa sokongan mummy, mungkin saya akan tersungkur jua.
"Mummy banyak memberi nasihat dan selepas usia saya kian meningkat, kami bagaikan kawan baik. Tiada rahsia antara kami," katanya.
Walaupun sejak dua tahun lalu Khaty aktif berlakon dan mempunyai pendapatan sendiri, Zizie tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak.
"Mummy, kalau memerlukan apa-apa, dia akan terus minta pada saya. Insya-Allah jika kewangan mengizinkan, saya tidak akan menghampakan permintaannya, tetapi jika bulan itu agak kesempitan saya berterus terang kepada mummy.
"Saya tinggal sendiri di Taman TAR, Ampang manakala mummy tinggal bersama Abang Ngah dan Shaheizy di Bukit Antarabangsa. Walaupun tidak tinggal bersama, hati ibu boleh tahu apabila anaknya dalam kesusahan. Kadang-kadang mummy telefon suruh balik makan di rumah.
"Tahulah, dunia seni ada pasang surutnya. Belum sempat saya bercerita dengan mummy, dari kejauhan beliau boleh tahu susah senang hidup anaknya.
"Masih segar dalam kenangan, ketika saya mula berlakon pada usia 13 tahun, mummy menemani saya siang malam. Apabila lama sangat menunggu saya berlakon, saya tengok mummy tersengguk-senguk mengantuk. Mummy yang tahu saya ada bakat berlakon, selalu menyuruh saya berlakon di rumah bawa watak sedih dan macam-macam lagi.
"Jika bukan kerana usaha dan dorongan mummy tidak mungkin saya dikenali seperti hari ini. Saya akui perjalanan kerjaya saya agak perlahan pada mulanya, tetapi berkat restu dan keyakinan mummy, Alhamdulillah, orang mula nampak bakat saya," katanya.
Tidak kekok berlakon depan kamera namun hakikatnya Zizie pemalu apatah lagi jika terpaksa berhadapan ramai wartawan pada satu masa. Mulalah dia berpeluh dan tidak dapat fokus menjawab soalan diajukan. Disebabkan itu juga Zizie jarang menghabiskan masa di luar dan agak keberatan bertemu wartawan melainkan jika temu bual itu diadakan antara empat mata saja.
"Dengan sikap pemalu dan kurang bergaul, saya terselamat daripada gosip. Tetapi sekarang saya tahu untuk terus bertahan dalam dunia seni saya memerlukan sokongan wartawan. Sekarang saya belajar bersikap lebih terbuka, tetapi sejak wajah saya selalu terpampang dalam media, kena gosip pula.
"Tetapi tak apa, itulah harga yang perlu dibayar apabila memilih jalan ini. Asalkan gosip itu tidak keterlaluan saya 'telan' saja. Paling penting, mummy tahu siapa saya. Sejak kecil kami adik beradik diajar jangan suka meminta pada orang dan jaga maruah.
"Itulah pegangan yang saya amalkan sehingga sekarang. Susah macam manapun, jangan suka meminta dan bergantung hidup dengan orang lain. Selagi ada kudrat, bekerjalah sendiri untuk mencari rezeki," katanya.
Bagi meraikan Hari Ibu esok, Zizie bersama adiknya sudah membuat persiapan awal. Mereka bercuti di Melaka pada Sabtu dan Ahad kerana kebetulan ada majlis perkahwinan.
Mengenai hadiah untuk ibunya, Zizie belum putuskan kerana katanya, pada hari jadi ibunya pada 5 November lalu dia menghadiahkan ibunya beg tangan. Apa yang penting bagi Zizie, mereka sekeluarga dapat berkumpul bersama," katanya.
Khaty yang dikurniakan tiga cucu hasil perkahwinan Jozieta dengan jejaka Inggeris, masih jelita dan raut wajahnya yang berseri membayangkan kebahagiaan melingkari hidupnya.
"Syukur, Allah mengurniakan anak yang sangat mengambil berat mengenai saya. Waktu kecil biasalah suka bergaduh. Sekarang Samzy menjadi abang yang sangat bertanggungjawab terhadap saya dan adiknya.
"Zizie yang dulunya suka berkelahi dengan Shaheizy juga sekarang rapat dan mereka juga sudah pandai menunjukkan kasih sayang kepada saya dengan cara masing-masing.
"Barangkali mereka tidak berapa menyedari perubahan dilalui, tetapi sebagai ibu saya dapat lihat keakraban mereka adik beradik. Kini saya melalui peringkat kehidupan paling bahagia.
"Walaupun saya tidak mengharapkan apa-apa, mereka tidak pernah lupa meraikan hari jadi saya dan Hari Ibu. Apabila semua anak dah besar, saya layan mereka seperti kawan supaya mereka tidak segan berkongsi cerita dengan saya.
"Ketika kecil, Zizie paling degil dan tak takut pada orang. Apabila arwah suami garang, saya terpaksa menggunakan pendekatan berbeza, lebih relaks dan bertolak-ansur dengan anak.
"Arwah dulu menjalani latihan polis di Britain sebab itu dia mendidik anak cara orang British yang sangat mementingkan disiplin. Cara arwah bercakap juga perlahan dan sangat gentleman. Sikapnya itu diwarisi Shaheizy," katanya.
Menyentuh jodoh anak terutama Zizie yang masih bersendirian, jelas Khaty dia memberi kebebasan kepada mereka untuk mencari calon suami atau isteri sendiri.
"Saya tidak mahu memaksa bimbang terjadi perkara tidak baik. Sebagai ibu, saya restui siapa saja pilihan mereka. Dikelilingi anak-anak sudah cukup membahagiakan saya. Hati saya benar-benar lapang, moga Allah berikan saya kesihatan yang baik, anak hidup bahagia dan dimurahkan rezeki," katanya.
zizie TU gedik tak mlu mak ngan anak same je.
ReplyDeletetak lah...sam and samzy kawan2 i..i pernah jumpa mummy n zz..mereka tak gedik mebe because mummy tu friendly
ReplyDeletebtw, zizie mmg pemalu n dia tak ckp byk..jauh sekali perwatakan beliau d TV n secara real life...