Tuesday, May 12, 2009

Respirasi Muzik: Balada masih jadi kekuatan


KUMPULAN semakin mencipta nama di seberang, Kerispatih mula dikenali di persada muzik tempatan apabila album dihasilkan sebelum ini iaitu Kejujuran Hati (2005) dan Kenyataan Perasaan (2007) dipasarkan di Malaysia.

Album: Tak Lekang Oleh Waktu
Artis: Kerispatih

Waktu itu muzik ditampilkan mereka sedikit berbeza berbanding apa yang diketengahkan kumpulan lain dari sana. Ia terlalu melankolik dan kuat pengaruh pop.

Meneruskan usaha untuk mengukuhkan nama di rantau Nusantara, kumpulan yang dianggotai Hendra Samuel (Sammy/vokal), Arief Nurdiansyah (Arief/gitar), RM Antonius (Anton/dram), Andika Putrasahadewa (Andika/bass) dan Doadibadai Hollo (Badai/keyboard-vokal), kembali dengan Tak Lekang Oleh Waktu.

Menampilkan 12 lagu baru, ia boleh dianggap terbaik daripada kumpulan yang berasal dari Jakarta ini.

Tiada konsep khusus ditampilkan, sebaliknya dengan berteras irama pop sepenuhnya, Kerispatih cuba menghasilkan muzik yang sedap didengar. Lebih penting mereka cuba menampilkan melodi dan lirik yang senang 'ditangkap' pendengaran telinga dan mudah diingati.

Tidak dinafikan lagu balada ditampilkan dalam album ini masih menjadi kekuatan Kerispatih untuk menarik perhatian pendengar, sebagai bukti dengarkan single pertama, Bila Rasaku Ini Rasamu yang citarasa romantis ditampilkan sangat kuat.

Penghayatan dan penyampaian Sammy turut memainkan peranan apabila vokalnya mampu menghidupkan lagi 'mood' yang didendangkan.

Menilai dari sudut pembikinan terutama susunan lagu ditampilkan ia sangat baik dan perkara ini boleh didengari peminat sendiri menerusi lagu Tak Lekang Oleh Waktu yang mana instrumen orkestra melatari melodi dihasilkan.


Antara lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini Kesalahan Yang Sama dan Masih Ada, dan tidak ketinggalan lagu berentak rancak Maaf Aku Terlalu Mencintainya dan Ada Aku Di Sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: