|
| MESKIPUN sudah lebih empat dekad ditubuhkan tetapi lagu Orkes Nirwana Johor Bharu (ONJB) seperti Tak Mengapa dan Syurga Idaman masih diminati sehingga ke saat ini. |
ONJB dibawah pimpinan Datuk A Rahman Hassan pernah mencatat sejarah apabila meraih Anugerah Band Pop Yeh Yeh Yang Paling Lama Bertahan selama 40 tahun di Malaysia menerusi catatan Malaysia Book Of Records (MBOR).
Malah sehingga ke hari ini ONJB yang sudah berusia 44 tahun terus mempertahankan anugerah itu.
Sejak ditubuhkan pada 25 Mac 1965 ONJB masih utuh. Persefahaman dan keharmonian yang dibentuk meletakkan ONJB pada kelas tersendiri berbanding band lain yang ditubuhkan sekitar 1960-an.
Selain Rahman, ONJB turut dianggotai isterinya, Datin Azizah Mohamad (penyanyi), E Elias (bass), B Badron (gitar), K Tajudin (dram) dan Khairulilmi Rahman (penyanyi/tamborin).
Khairulilmi juga anak kepada pasangan Rahman dan Azizah. Khairulilmi menggantikan anggota asal kumpulan itu yang meninggal dunia, A Rozi Shaari.
Selaku ketua, A Rahman bijak mengendalikan apa saja gelora melanda kumpulan itu. Ternyata selama menjadi ketua kumpulan, dia berjaya menentukan hala tuju kumpulan itu.
Rahman yang juga pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM) dan Presiden Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) mengakui sukar menjelaskan bagaimana nama kumpulan itu dapat bertahan dalam tempoh lama sebaliknya menyarankan setiap artis mesti berpegang kepada disiplin dan melaksanakan pekerjaan yang diberikan dengan ikhlas.
“Sukar untuk saya menjelaskan keistimewaan yang ada pada kumpulan kami. Pada saya setiap anggota kumpulan ini sentiasa berpegang kepada tanggungjawab sebagai artis dengan jujur dan amanah pada setiap tugas yang dilakukan. Kami juga bersyukur kerana masih dipanjangkan hayat dan diberi kesihatan yang baik daripada Allah.
“Kami selalu mengingatkan ahli setiap kerja yang kami lakukan perlu dilaksanakan dengan jujur dan betul. Usah fikir soal kemewahan atau anugerah apabila terbabit dalam bidang ini. Jika berusaha gigih pasti penghargaan itu akan datang sendiri nanti,” katanya.
Akui Rahman kejayaan mereka tidak akan dicapai tanpa sokongan dan bimbingan banyak pihak seperti keluarga, rakan, orang perseorangan dan agensi kerajaan.
Terlalu banyak pihak terbabit untuk menaikkan nama ONJB sehingga Rahman sendiri memaklumkan tidak dapat membalasnya ucapan terima kasih semata-mata.
“Allahyarham bapa saya, Hassan Baki, banyak menyokong cita-cita seni kami. Jadi segala makan minum, bapa saya tanggung. Untuk mengeratkan lagi silaturahim itu, saya minta mereka panggil bapa saya abah. Hubungan mereka dengan abah seperti anak sendiri.
“Keluarga, sahabat handai dan agensi kerajaan banyak membantu dalam menghidupkan langkah kumpulan ini. Malah paling penting pihak media sentiasa memberi sokongan menerusi publisiti sekali gus menyemarakkan semangat kami untuk aktif dalam dunia seni.
“Pada kami sokongan sebegini tiada tolok bandingnya. Kami berharap sokongan ini berterusan pada masa akan datang,” katanya.
Pihaknya turut menyimpan impian untuk menerbitkan album baru jika segala perancangan berjalan lancar. Begitupun, sebagai permulaan dia mahu mempertaruhkan lagu single yang menjadi trend sejak kebelakangan ini.
“Kami mempunyai impian untuk merakamkan album suara dengan lagu baru selepas lebih 20 tahun tidak ada album baru. Setakat ini saya ada sekitar sembilan lagu lama dan baru yang tidak pernah dirakamkan. Kebanyakan lagu itu saya cipta pada 1960-an.
“Kami juga berharap supaya kami sentiasa sihat dan boleh terus bermain muzik walaupun sudah mencatat rekod sebagai kumpulan pop yeh yeh tempatan paling lama ditubuhkan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai lagu irama 1960-an yang diubah mengikut irama masa kini Rahman menyifatkan ia persaingan sihat. Ia menunjukkan kreativiti tersendiri karyawan seni sekarang. Sebagai artis 60-an juga dia tidak berhak marah disebabkan karya asli diubah sebaliknya menerima perkara itu dengan positif.
Sementara itu, Khairulilmi atau Ilmi berkata untuk mencari kepuasan dalam diri bukan suatu perkara mudah. Minat yang mendalam adalah pokok utama seseorang itu berusaha selain sokongan keluarga akan membawa seseorang pada tahap kepuasan maksimum.
“Saya membesar di hadapan kumpulan ini sewaktu nama mereka melonjak naik sebagai idola masyarakat. Biarpun perbezaan umur agak ketara dengan ahli kumpulan ini yang semuanya mencecah 60 tahun dan menjadi ahli termuda, namun bagi saya tidak ada masalah untuk mendekati dan bermesra dengan mereka kerana mereka juga sudah dianggap sebagai pak cik saya.
“Saya sebelum ini pernah menyanyi dan mempunyai kumpulan sendiri. Saya juga tidak kisah menyanyi apa saja rentak lagu termasuk pop yeh yeh. Selagi ada kumpulan ini selagi itu saya akan bersama mereka,” katanya yang meminati irama 60-an sejak kecil.
Mereka ditemui pada majlis meraikan ulang tahun ke-44 ONJB di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Sabtu lalu. Pada majlis anjuran MMM, Sonic Velocity Sdn Bhd dan Pejabat Menteri Besar Johor seramai lebih 500 tetamu hadir bagi meraikan kejayaan ONJB bertapak di persada seni tanah air selama 44 tahun.
Pada majlis itu ONJB turut dianugerahkan sijil MBOR selain upacara simbolik memotong kek bagi meraikan kejayaan kumpulan itu bertapak pada tempoh berikut dalam dunia seni tanah air.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd Daud, Pengasas & Pengerusi MBOR, Datuk Danny Ooi, Timbalan Pengerusi MMM, Datuk Aziz Bakar, Pengerusi Sonic Velocity, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin.
Penonton dihiburkan dengan persembahan artis jemputan seperti Maisya, Aqiem, Amirul, kumpulan S'60 dan ONJB sendiri yang menyampaikan lagu popular mereka Syurga Idaman, Ku Rindu dan Tak Mengapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: