![]() LAKONAN menjadi periuk nasi Aaron Aziz. |
Berusaha sentiasa memastikan diri bersih daripada kontroversi dan gosip negatif
NAMANYA memang laris ketika ini. Di layar lebar mahupun kaca televisyen, peminat sentiasa dapat mengenali dan mengikuti lakonan Aaron Aziz. Mulai 23 April lalu, umpamanya, dia muncul menerajui drama bersiri Rahsia Hati keluaran Suhan Movies, digandingkan bersama Rita Rudaini, Arash Mohamad, Watie Sadali, Ifa Raziah dan ramai lagi pelakon lain.
Siri sepanjang 40 episod terbitan Rosyam Nor itu disiarkan di saluran Astro Prima.
Pada tarikh yang sama, filem Bohsia lakonannya bersama Nabila Huda, Salina Saibi, Syamsul Yusof, Diana Danielle dan Shaheizy Sam turut ditayangkan di seluruh negara. Bukan filem arahan Syamsul itu saja yang akan menghiasi skrin pawagam tanah air pada tahun ini, malah dua lagi judul lakonannya, Shh... Dia Datang dan Pisau Cukur, akan juga menemui penonton di panggung, masing-masing pada Jun dan Oktober depan.
Sesuai dengan kemasyhuran dikecapinya saat ini, Aaron turut disenaraikan pada kedudukan lima pelakon filem lelaki popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang baru saja berlalu. Walaupun tewas kepada Que Haidar, aktor ini bersyukur kerana peminat tetap mengingatinya dan meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon terkenal berpengalaman yang lain.
Lebih membuatkan dirinya terharu, apabila pelakon dan produser terkenal, Rosyam, meletakkan dirinya antara pelakon lelaki yang dikatakan bakal mewarnai lagi dunia perfileman tempatan. Rosyam yang ditemui pada majlis pelancaran drama Rahsia Hati baru-baru ini juga menganggap aktor terbabit sebagai pelakon Melayu yang benar-benar kelihatan jantan lagi berbakat.
![]() |
| AARON bahagia di samping isteri, Diyana Halik. |
Sebelum itu, pada ABPBH 2008, Rosyam turut mengeluarkan kenyataan jika ada pelakon yang mampu menggantikannya, orang itu ialah Aaron Aziz!
"Saya memang terharu dengan pujian dan penghormatan diberikan Rosyam itu. Isteri saya sendiri terkejut apabila Rosyam mengeluarkan kata-kata sedemikian. Ia satu penghormatan yang berupa tanggungjawab lebih besar buat saya. Maknanya, saya perlu bekerja lebih keras untuk bukan saja tidak mengecewakannya, malah peminat secara keseluruhan.
"Insya-Allah, perjalanan karier seni saya akan berlangsung dalam keadaan yang baik. untuk memastikan perkara itu, saya sendiri haruslah bersih daripada segala kontroversi atau pun gosip. Setakat ini, saya meneruskan langkah dalam bidang ini dengan cara saya sendiri, sebagai bapa dan suami.
"Keluarga saya juga banyak membantu dalam memastikan saya sentiasa terhindar daripada semua cerita tidak baik. Saya sendiri bekerja untuk mencari rezeki, bagi menampung kehidupan kami anak-beranak. Saya bekerja keras kerana bukan sedikit bil yang perlu diselesaikan, di sini mahu pun di Singapura. Lakonan ialah periuk nasi saya, jadi, saya kena lakukannya dengan sebaik mungkin," ujar lelaki berusia 33 tahun ini.
![]() |
| BERSAMA pelakon Rahsia Hati, Azlan Kamiran (kiri) dan Arash Mohamad, serta penerbit Rosyam Nor. |
Menurut pelakon yang bersinar menerusi filem Evolusi KL Drift ini, dia percaya, sekiranya seseorang itu memasang niat yang baik, Tuhan pasti membantu hamba-Nya menunaikan pekerjaan dalam keadaan yang baik juga.
Ketika dia mengambil tindakan memindahkan karier seninya ke Malaysia, jejaka yang juga bapa kepada dua anak ini mengaku, selain mencari rezeki yang halal, niatnya juga untuk mempertingkatkan lakonan serta mencari peluang bekerja bersama pengarah yang mampu membawa dirinya ke peringkat lebih tinggi dalam bidang ini.
Idamkan watak kampung
APABILA beberapa rakan pelakon di republik itu meminta petua daripadanya, bagaimana untuk mengintai peluang berlakon di Malaysia, dia memberitahu mereka, semuanya terletak pada niat. Jika mereka inginkan glamor, lalu mungkin hanya glamor yang mereka akan dapat.
Dia pula amat menyedari tanggungjawab besar digalas di bahunya sebagai ketua keluarga. Atas kesedaran itu, dia melihat kerjaya lakonan yang diceburi sebagai karier yang amat serius, yang mampu menyediakan rezeki buat diri, anak dan isteri.
Menyentuh perkembangan terbarunya, Aaron memberitahu, dia baru saja menamatkan penggambaran filem Suaka arahan Pierre Andre, yang dibintanginya bersama Julia Ziegler.
Bersama Astro pula, kontraknya disambung untuk tempoh setahun lagi selepas dia melangsaikan segala ‘hutang jam siaran’ tahun lalu bersama stesen televisyen berbayar berkenaan. Sehingga kini, dua projek bersiri lakonannya, Cinta Gila dan Rahsia Hati sudah pun disiarkan stesen berkenaan.
Di samping dua projek bersiri, dia juga membintangi tiga telefilem sebagaimana termaktub dalam perjanjian. Telefilem Oh Ibu dijadualkan tayangan sempena Hari Ibu, manakala Hang Tuah pula dijangka tayangannya Jun depan.
"Mengikut kontrak yang baru, pembabitan saya dalam drama bersiri dikurangkan. Sebaliknya jumlah telefilem pula akan ditambah. Saya berbuat demikian apabila mendapati, projek bersiri mengambil masa yang agak lama, yang membataskan aktiviti saya bersama projek lain," kata suami kepada Diyana Halik ini.
Kata Aaron juga, jika diberikan pilihan, dia tidak lagi mahu melakonkan terlalu banyak watak romantik. Dia berbuat demikian bagi memastikan kepelbagaian dalam lakonannya, agar peminat tidak hanya memandangnya sebagai wira cinta semata-mata.
"Jika diberikan watak negatif sekali pun, saya tidak kisah, asalkan ia karakter yang benar-benar memberikan kesan. Saya juga teringin membawakan watak pemuda kampung, biarpun ramai produser beranggapan wajah saya hanya sesuai untuk watak lelaki urban," katanya yang menyimpan impian beraksi di sisi pelakon berwatak seperti Nasha Aziz dan Umie Aida.
Profil
Nama: Aaron Mustapha Aziz
Tarikh Lahir: 23 Februari 1976
Asal: Singapura
Status: Berkahwin
Isteri: Diyana Halik
Anak: Danish Anaqi, 5, dan Dwi Ariana, 3
Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Penerbit
Filem: Evolusi KL Drfit, Bohsia, Shh... Dia Datang, Pisau Cukur, Evolusi KL Drift II, Suaka
Drama: Suspek, Janji Diana, Gerak Khas, Permintaan Aisyah, Haryati II, Sumayyah, Emil Emilda, Bulan Bertemu Matahari, Sadiq & Co, Cinta Gila, Rahsia Hati
Telefilem: Dilemma Wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi, Oh Ibu
Model / Jurucakap: Artis Eksklusif Astro, Celcom, L’Oreal Men Expert



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: